Month: February 2019

CERAMAH MAULIDUR RASUL 2018

KAHERAH, 24 November 2018 – Telah berlansung semalam ‘Ceramah Maulidur Rasul’ anjuran Lajnah Dakwah dan Tarbiah KPKM 18/19 bersempena dengan bulan kelahiran baginda Nabi Muhammad SAW. Tajuk ceramah pada malam tadi iaitu “Hadirmu Membawa Rahmat” telah disampaikan oleh ustaz Syed Ahmad Ridwan bin Sayed Md Zain, Anggota Lembaga Penasihat KPKM 18/19. Majlis bermula selepas solat Isyak berjemaah, bertempat di surau Wisma Sultan Muhammad V.

Acara majlis bermula dengan alunan qasidah, diiringi berzanji dan selawat yang telah didendangkan oleh anak-anak Kelantan Mesir. Seterusnya, majlis diserikan lagi dengan bacaan hadis maulid daripada Kitab Syamail Muhammadiah yang telah disampaikan oleh pengisi jemputan, ustaz Syed Ahmad Ridwan. Kira-kira seramai 400 lebih mahasiswa Mesir telah menghadiri majlis tersebut.

SULUH MADAH TAHUN 1 FASA 1

15 November 2018, Khamis – Sesi pembelajaran kuliah telah bermula, sehubungan itu, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir dengan rasa caknanya telah menganjurkan sebuah program khusus bagi mahasiswa tahun 1. Program yang diberi nama “Suluh Madah” dikelola di bawah Unit Pendidikan di bawah Jabatan Timbalan Yang Dipertua, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2018/2019.

Program Suluh Madah yang bertujuan memberi penerangan berkaitan madah kuliah tahun 1 bagi fasa 1 telah diadakan pada 15 November 2018 pada hari khamis. Program ini bermula selepas solat isyak, pukul 7.00 malam di dua tempat yang berbeza. Mahasiswa ikhwah ditempatkan di Surau Wisma Sultan Muhammad V. Manakala mahasiswa akhawat pula bertempat di Surau Wisma Tengku Mahkota Kelantan. Para mahasiswa telah diingatkan supaya membawa kitab kuliah masing-masing semasa sesi penerangan.

Penerangan berkaitan kitab kuliah tahun 1 bagi fasa 1 diserikan dengan pengisi-pengisi yang berpengalaman dalam bidang kuliah masing-masing. Pengisi ikhwah terdiri daripada 4 orang pengisi iaitu Ustaz Muhamad Haziq bin Radzi selaku pengisi bagi Kuliah Syariah Islamiah, Ustaz Khairul Faris bin Abdul Aziz, Pengisi Kuliah Bahasa Arab, Ustaz Mohammad Haikal ‘Azim bin Hashim, Pengisi Kuliah Usuluddin dan Ustaz Muhammad Hanif bin Che Kamaluddin selaku pengisi Kuliah Dirosat Islamiah.

 

Program Suluh Madah di sebelah akhawat pula terdiri daripada 3 orang pengisi. Pengisi bagi Kuliah Syariah Islamiah ialah Ustazah Tharwati binti Ibrahim. Manakala bagi Kuliah Usuluddin, Ustazah Sofiyyah binti Ariffin dan pengisi terakhir ialah Ustazah Nurul Amirah binti Ahmad Pekeri selaku pengisi Kuliah Bahasa Arab.

REHLAH TAUTAN UKHUWAH (EVENT’S 2O18)

KAHERAH, 17 – 18 Ogos 2018  – Program Muzakarah Berkelompok Anak-Anak Kelantan ini bermula pada malam hari jumaat 17 ogos 2018. Program bermula dengan sesi pendaftaran peserta-peserta program sekitar jam 10 malam bertempat di perkarangan Wisma Sultan Muhammad ke-iv iaitu wisma bagi anak-anak kelantan. Selepas itu, program diteruskan lagi dengan sesi taklimat daripada penganjur program bagi melancarkan dan memudahkan lagi gerak kerja program.

 

Sekitar jam 1 pagi,bas dan beberapa lagi kenderaan lain mula bergerak meninggalkan perkarangan Wisma Sultan Muhammad Ke-iv dan menuju ke tapak program iaitu di Pantai Ain Sukhnah. Perjalanan ini telah memakan masa sekitar 2jam. Tepat pada waktu subuh, peserta mula tiba ditapak program dan terus melaksanakan kewajipan solat subuh berjemaah di sebuah masjid yang berhampiran dengan tapak program. Kemudian, peserta diberikan beberapa ketika untuk berehat ataupun kendiri

 

Semasa ditapak program ,program dimulakan dengan kata-kata aluan yang telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Subhi seterusnya merasmikan program ini. Antara pengisian awal yang disediakan bagi peserta-peserta selepas daripada perasmian adalah tazkirah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Al-Baidhawi Bin Md.Ghazali berkenaan dengan tajuk amal islami. Ini menandakan program yang dianjurkan Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir bukan sahaja untuk berhibur semata-mata malah ianya tidak pernah sunyi daripada aktiviti-aktiviti yang bersifat tarbiah sebegini. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan beberapa taklimat ringkas daripada unit pengisian dan penyusunan ketua kumpulan. Sebelum program beralih ke acara modul dan permainan, peserta disajikan terlebih dahulu dengan sarapan pagi yang telah disediakan oleh unit persegaran.

 

Memandangkan program ini merupakan program gabungan semua tahap mahasiswa Kelantan di Mesir, jadi ianya dimulakan dengan ta’ruf secara ringkas bersama dengan ahli kumpulan masing-masing untuk memudahkan lagi proses kenal antara satu sama lain. Seterusnya program diteruskan lagi dengan acara yang agak menarik iaitu acara sukaneka yang berbentuk modul (explorace). Acara ini diadakan dalam bentuk kumpulan dan dan ianya telah disertai oleh kesemua 15 kumpulan peserta tanpa ada pengecualian. Para peserta program  dikehendaki untuk menyiapkan kesemua 6 checkpoint yang telah disediakan oleh unit permainan. 3 daripadanya merupakan checkpoint  yang berbentuk pengetahuan (tsaqafah) dan 3 lagi yang berbaki berbentuk permainan. Kesemua checkpoint ini diselitkan dengan beberapa input yang mampu memberi pengetahuan dan peringatan kepada kesemua peserta

 

Selepas penat bersukaneka, peserta diberi kelonggaran untuk kendiri dan rehat seketika bagi mengambil nafas baru untuk program selanjutnya. Seterusnya para peserta diisi dengan program santai berbentuk talkshow yang bertajuk  “Apa Keperluan Roh Kita’’ dan ianya telah disampaikan oleh Ustaz Syed Ahmad Ridhwan bin Sayed Md Zain. Slot ini adalah dibawah kendalian unit pengisian program. Sekitar jam 10:30-11:30 pagi, program diteruskan lagi dengan gerak kerja berkumpulan iaitu ta’ruf secara detail bagi ahli kumpulan masing-masing. Ianya bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama ahli Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir(KPKM) itu sendiri. Selepas daripada itu, peserta-peserta disajikan dengan makanan tengahari yang telah disediakan seterusnya melaksanakan kewajipan untuk solat zohor dan asar secara jamak .

 

Program terus berjalan rancak dengan slot pengisian seterusnya yang berbentuk forum dibawah tajuk ‘’Aku, Kamu Dan KPKM’’. Slot ini menampilkan beberapa ahli panel yang hebat yang mana nama mereka tidak asing lagi dipentas KPKM iaitu Ustaz Ahmad Muhaimin Bin Mohd Zain, Ustaz Muhammad Khairi Bin Che Sulaiman dan juga Ustaz Atif Bin Abdul Wahab. Banyak pesanan dan nasihat yang telah disampaikan oleh ketiga-tiga ahli panel tersebut lebih-lebih lagi kalam semangat yang ditinggalkan buat para pendokong KPKM khusunya mahasiswa-mahasiswa baru yang mula mengorak langkah dibawah tarbiah KPKM.

 

Seterusnya, majlis dimeriahkan lagi dengan acara kemuncak yang dinanti-nantikan iaitu mandi pantai.acara ini bermula sekitar jam 2:15 – 4:30 petang. Disamping itu juga, acara ini juga tidak sunyi daripada beberapa permainan yang menarik seperti permainan bola pantai, tarik tali dan lain-lain aktiviti. Bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini, acara ini telah diawasi oleh beberapa ajk disiplin dan kesselamatan yang mengawasi dari awal hingga selesai mandi. Selepas daripada acara mandi, majlis berpindah pula kepada slot terakhir iaitu ucapan penutup. Ucapan penutup ini telah disampaikan oleh Ustaz Haziq Bin Radzi selaku Ex- Officio program kali ini. Disamping itu juga, para peserta disajikan dengan jamuan bbq yang telah disediakan oleh unit persegaran program.

 

Seterusnya, kesemua  peserta dan ajk program bersiap-siap mengemas barang untuk pulang ke Kaherah. Disamping kegembiraan dalam berprogram, para psesrta juga tidak leka dari menunaikan kefardhuan solat yang telah lazim bagi seorang yang bergelar muslim. Para peserta dan ajk program menunaikan solat maghrib dan isya secara jamak di tapak program sebelum berangkat pulang ke kaherah. Selepas daripada itu bas mula bergerak meninggalkan tapak program untuk pulang ke kaherah dan ini menandakan berakhirnya program pada kali ini. Perjalanan pulang ini mengambil masa sekitar dua hingga dua jam setengah untuk sampai. Kesemua Peserta dan petugas program selamat sampai ke perkarangan Wisma Sultan Muhammad Ke-IV sekitar jam 9:30 malam.

HTS LANGKAH PERTAMA MENGENAL MESIR

KAHERAH, Mei 2018 – Hari Tautan Silaturahim (HTS) merupakan satu program orientasi yang diadakan khususnya bagi mahasiswa dan mahasiswi baharu. Program yang dijalankan di bawah Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baru 2018 yang bertemakan “Mahasiswa Pewaris Nubuwwah” ini berlangsung selama tiga hari iaitu pada 26, 28 dan 29 April  bertempat di Wisma Sultan Muhammad V.

HTS membuka tirainya dengan pengisian diskusi kitab Risalah al-Azhar yang disampaikan oleh ustaz Syed Ahmad Ridwan bin Sayed Md Zain, Pengerusi Lembaga Penasihat KPKM 2017/2018. Kemudian pengisian diteruskan dengan tips kesihatan oleh saudara Tasnim bin Muslim wakil daripada Persatuan Pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN).

Menginjak malam, forum yang bertajuk “Mahasiswa Pewaris Nubuwwah” diadakan. Panel ustaz Abdullah bin Hussien, Pengarah Akademi Tok Guru sesi 2017/2018 dan  ustazah Farida Hamimie binti Mohd Saupi, Ahli Lembaga Penasihat KPKM 2017/2018 mengupas berkaitan peranan menuntut ilmu dan kewajipan menjadi khalifah di atas muka bumi Allah. Sebagaimana nabi Muhammad  SAW bersabda: “Ulama itu pewaris bagi sekalian nabi”.

Tidak cukup dengan pengisian pada hari pertama berkaitan institusi keilmuan al-Azhar, mahasiswa dan mahasiswi baharu dibawa wadah pemikiran mereka untuk mengenali entiti organisasi yang sekian lama menaungi mahasiswa dan mahasiswi di bumi nabi Musa ini melalui pengenalan terhadap Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM), Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) serta Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri (MGBKAN). Sejarah dan kepentingan melibatkan diri di dalam gerak kerja berpersatuan menjadi antara subtopik yang dibicarakan di dalam slot ini. Slot penerangan organisasi ini berakhir dengan slot taaruf AJKT dan AJKH KPKM bagi sesi 2017/2018 pada jam 8.00 pagi.

“MESIR: Antara Kaca dan Permata”. Sebuah tajuk yang menjadi pilihan untuk dibicarakan di dalam slot forum pada malam harinya. Dua panel yang didatangkan oleh pihak program, ustaz Muhammad Asrol Hasnan bin Mohd Zin, Timbalan Yang Dipertua KPKM 2017/2018 serta ustazah Tharwati binti Ibrahim, Ketua Biro Kebajikan KPKM 2017/2018  menjelaskan berkaitan tiga elemen penting yang wajib diterapkan di dalam diri penuntut ilmu di Mesir melalui  kaedah yang pernah dijalani para ulama terdahulu iaitu melalui kaedah 3 J (Jami’, Jam’iyyah dan Jami’ah).

Beransur kepada penutup HTS pada kali ini, mahasiswa dan mahasiswi baharu sempat dihidangkan berkaitan diskusi kitab yang bertajuk “Kewajipan Pemuda Islam pada Hari Ini” yang disampaikan oleh ustazah Sofiah Az Zahrah binti Norizam, Setiausaha HEWI KPKM 2017/2018 pada siang harinya. Tidak cukup dengan itu, tips muamalat bersama warga tempatan oleh ustaz Mohammad Farid bin Sakri, Timbalan Pengarah 1 USMB ‘18 turut diberikan. Sebelum menjengah ke majlis penutup, forum berkaitan Unit Bait Muslim (UBM), Unit Biah Solehah (UBS) dan Hisbah turut disajikan kepada semua peserta usai solat Maghrib secara berjemaah.

Sajian demi sajian ilmu sebagai santapan minda dan rohani selama tiga hari ini ditutup tirainya dengan ucapan pada malam hari daripada ustaz Ahmad Muhaimin bin Mohd Zain selaku Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir bagi sesi 2017/2018. Harapan YDP agar manfaat serta pengalaman yang dikongsikan mampu melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang bermanfaat untuk agama khususnya dan masyarakat amnya.

BAZAR DARUL NAIM 2018

14, 15, 17 & 18 FEBRUARI 2018, KAHERAH – Bazar Darul Naim ’18 anjuran Lajnah Ekonomi KPKM 2017/2018 bertemakan “Kekuatan Ekonomi Teras Organisasi” telah diadakan di Wisma Sultan Muhammad V. Program bermula pada jam 12:30 tengahari dan berakhir pada jam 10:00 malam.

 

Program Bazar Darul Naim ’18 dianjurkan sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan penjanaan serta untuk mengukuhkan lagi kewangan KPKM bagi meneruskan kelangsungan KPKM sebagai organisasi yang berkebajikan terhadap ahlinya dalam setiap aspek. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah sesama ahli serta individu luar, memupuk semangat kerjasama dalam kalangan ahli KPKM, mewujudkan dan membudayakan muamalat patuh syariat serta menyediakan ruang dan peluang kepada ahli untuk menjana pendapatan.

 

Bazar Darul Naim ‘18 menyajikan beraneka jenis pilihan makanan yang sangat menarik lagi menyelerakan dengan harga yang sangat berpatutan kepada para pengunjung. Terdapat 8 petender yang mengambil bahagian untuk membuka gerai jualan makanan dalam bazar pada kali ini dan tidak ketinggalan juga Gerai KPKM yang menyediakan pelbagai menu minuman, air batu campur (ABC) serta roti canai. Selain itu, terdapat juga booth yang dibuka seperti booth Lajnah Ekonomi, booth Lajnah Penerbitan dan booth Unit Fotografi, Audio & Video (UFO).

Pihak penganjur mengambil kesempatan berinteraksi dan melayani pimpinan BKAN lain yang hadir dengan mengadakan temu ramah mesra melalui deejay. Para pengunjung dapat membuat seleksi lagu nasyid pilihan serta membuat ucapan khusus kepada sahabat dan kenalan yang ada di kaunter Unit TTK. Program ini turut dimeriahkan lagi dengan permainan dan aktiviti yang tidak kurang menariknya seperti teka kacang, gusti lengan, sepak penalti, khat, chess, kupas buah, musang berjanggut, origami kreatif, dan gubahan kain bagi kategori mutazawwijin. Selain itu, Lajnah Penerbitan dan Lajnah Perumahan turut menganjurkan pertandingan Wallpaper sempena Ulang Tahun KPKM kali ke-53 dan pertandingan Bait Idaman Rumah Negeri sempena Bazar Darul Naim ’18.

Hari terakhir bazar menyaksikan Wisma Sultan Muhammad V dibanjiri pengunjung yang cukup ramai yang datang untuk menikmati keenakan dan keunikan makanan yang ada. Acara kemuncak Bazar Darul Naim ’18 iaitu majlis penutup bermula pada pukul 9:00 malam dan dimulakan dengan ucapan pengarah program, Ustaz Abdullah Naseh bin Mohamad yang juga merupakan Ketua Lajnah Ekonomi KPKM 2017/2018. Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap pertandingan yang telah dianjurkan, termasuklah pemenang anugerah AJK Terbaik serta anugerah Gerai Terbaik yang bertujuan untuk memberikan galakan dan motivasi serta sebagai tanda penghargaan kepada semua penggerak bazar yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan program mega ini.

Majlis penutup Bazar Darul Naim ’18 telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat KPKM 2017/2018, al-Fadil Ustaz Syed Ahmad Ridwan bin Sayed Md Zain yang mana menjadi lebih istimewa dan bermakna kerana diserikan lagi dengan gimik memotong pulut kuning sempena sambutan ulang tahun KPKM kali ke-53. Majlis diakhiri dengan tayangan video sejarah KPKM yang memaparkan sorotan nostalgia anak-anak Kelantan sepanjang keberadaan KPKM di Mesir dari awal penubuhan sehingga ke hari ini dan juga video Bazar Darul Naim ’18 yang memaparkan rakaman momen-momen sepanjang program berlangsung.

Mudah-mudahan pencapaian objektif utama program ini dianjurkan, iaitu untuk menjana kewangan KPKM sedikit sebanyak dapat membantu mengukuhkan ekonomi KPKM bagi meneruskan kelangsungan KPKM sebagai badan yang berkebajikan terhadap ahlinya dalam setiap aspek yang telah sekian lamanya menaungi anak-anak Kelantan di bumi Mesir. Semoga melalui pelaksanaan program ini juga ukhuwah sesama ahli KPKM dapat dikukuhkan lagi bagi merealisasikan usul yang telah disepakati di dalam Muktamar Sanawi KPKM kali ke-22 pada tempoh hari.

MEDIA 18

KAHERAH – MEDIA 2018 yang julung-julung kali diadakan pada tahun ini membawakan tiga siri bengkel iaitu Bengkel Penulisan, Bengkel Adobe Photoshop dan Bengkel Adobe Premiere Pro. Unit Multimedia dibawah Lajnah Penerbitan mengambil inisiatif menganjurkan program ini bertujuan menggarap bakat ahli dalam bidang karya kreatif termasuk bidang penulisan, graphic editing dan video editing.

Siri pertama MEDIA 2018 iaitu Bengkel Penulisan telah diadakan pada 13 Februari 2018 yang lalu dan telah mendapat penyertaan yang amat memberangsangkan daripada ahli KPKM dan BKAN Taakhi. Para peserta mendapat pengisian yang mantap daripada dua pengisi terkenal, Ustaz Abdullah bin Hussin dan Dr. Amirul Azmeer bin Asmadi. Pada akhir program, para peserta berpuas hati dengan pengisian dan memberikan maklum balas yang positif.

Kemudian, siri kedua MEDIA 2018 iaitu Bengkel Adobe Photoshop pula menyingkap tirainya pada 8 Mac 2018 bertujuan memberikan pendedahan kepada ahli berkaitan seni grafik yang kian hebat dikembangkan dalam dunia teknologi pada hari ini yang menyaksikan segala berita dan informasi disalurkan melalui medium ini. Oleh itu, mempelajari bidang ini merupakan suatu nilai tambah yang amat berguna kepada ahli dalam mendepani arus dan medan dakwah yang serba moden.

Akhir sekali, MEDIA 2018 siri ketiga iaitu Bengkel Adobe Premiere Pro telah diadakan pada 21 Mac 2018. Bengkel pada kali ini memberi pengalaman yang baharu kepada para peserta dalam menerokai bidang editing atau penghasilan video. Peserta diajarkan teknik-teknik asas serta pendedahan dalam menggunakan perisian Adobe Premiere Pro daripada pengisi, Ustaz Wan Mohamad Fakhuruddeen bin Wan Jamaluddin.

Kesimpulannya, ketiga-tiga siri MEDIA 2018 ini mampu melahirkan ahli yang kreatif dan kritis menjalankan gerak kerja dakwah islam disamping mencari pelapis dan tenaga baharu dalam meneruskan survival KPKM.