BAZAR DARUL NAIM 2018

14, 15, 17 & 18 FEBRUARI 2018, KAHERAH – Bazar Darul Naim ’18 anjuran Lajnah Ekonomi KPKM 2017/2018 bertemakan “Kekuatan Ekonomi Teras Organisasi” telah diadakan di Wisma Sultan Muhammad V. Program bermula pada jam 12:30 tengahari dan berakhir pada jam 10:00 malam.

 

Program Bazar Darul Naim ’18 dianjurkan sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan penjanaan serta untuk mengukuhkan lagi kewangan KPKM bagi meneruskan kelangsungan KPKM sebagai organisasi yang berkebajikan terhadap ahlinya dalam setiap aspek. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah sesama ahli serta individu luar, memupuk semangat kerjasama dalam kalangan ahli KPKM, mewujudkan dan membudayakan muamalat patuh syariat serta menyediakan ruang dan peluang kepada ahli untuk menjana pendapatan.

 

Bazar Darul Naim ‘18 menyajikan beraneka jenis pilihan makanan yang sangat menarik lagi menyelerakan dengan harga yang sangat berpatutan kepada para pengunjung. Terdapat 8 petender yang mengambil bahagian untuk membuka gerai jualan makanan dalam bazar pada kali ini dan tidak ketinggalan juga Gerai KPKM yang menyediakan pelbagai menu minuman, air batu campur (ABC) serta roti canai. Selain itu, terdapat juga booth yang dibuka seperti booth Lajnah Ekonomi, booth Lajnah Penerbitan dan booth Unit Fotografi, Audio & Video (UFO).

Pihak penganjur mengambil kesempatan berinteraksi dan melayani pimpinan BKAN lain yang hadir dengan mengadakan temu ramah mesra melalui deejay. Para pengunjung dapat membuat seleksi lagu nasyid pilihan serta membuat ucapan khusus kepada sahabat dan kenalan yang ada di kaunter Unit TTK. Program ini turut dimeriahkan lagi dengan permainan dan aktiviti yang tidak kurang menariknya seperti teka kacang, gusti lengan, sepak penalti, khat, chess, kupas buah, musang berjanggut, origami kreatif, dan gubahan kain bagi kategori mutazawwijin. Selain itu, Lajnah Penerbitan dan Lajnah Perumahan turut menganjurkan pertandingan Wallpaper sempena Ulang Tahun KPKM kali ke-53 dan pertandingan Bait Idaman Rumah Negeri sempena Bazar Darul Naim ’18.

Hari terakhir bazar menyaksikan Wisma Sultan Muhammad V dibanjiri pengunjung yang cukup ramai yang datang untuk menikmati keenakan dan keunikan makanan yang ada. Acara kemuncak Bazar Darul Naim ’18 iaitu majlis penutup bermula pada pukul 9:00 malam dan dimulakan dengan ucapan pengarah program, Ustaz Abdullah Naseh bin Mohamad yang juga merupakan Ketua Lajnah Ekonomi KPKM 2017/2018. Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap pertandingan yang telah dianjurkan, termasuklah pemenang anugerah AJK Terbaik serta anugerah Gerai Terbaik yang bertujuan untuk memberikan galakan dan motivasi serta sebagai tanda penghargaan kepada semua penggerak bazar yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan program mega ini.

Majlis penutup Bazar Darul Naim ’18 telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat KPKM 2017/2018, al-Fadil Ustaz Syed Ahmad Ridwan bin Sayed Md Zain yang mana menjadi lebih istimewa dan bermakna kerana diserikan lagi dengan gimik memotong pulut kuning sempena sambutan ulang tahun KPKM kali ke-53. Majlis diakhiri dengan tayangan video sejarah KPKM yang memaparkan sorotan nostalgia anak-anak Kelantan sepanjang keberadaan KPKM di Mesir dari awal penubuhan sehingga ke hari ini dan juga video Bazar Darul Naim ’18 yang memaparkan rakaman momen-momen sepanjang program berlangsung.

Mudah-mudahan pencapaian objektif utama program ini dianjurkan, iaitu untuk menjana kewangan KPKM sedikit sebanyak dapat membantu mengukuhkan ekonomi KPKM bagi meneruskan kelangsungan KPKM sebagai badan yang berkebajikan terhadap ahlinya dalam setiap aspek yang telah sekian lamanya menaungi anak-anak Kelantan di bumi Mesir. Semoga melalui pelaksanaan program ini juga ukhuwah sesama ahli KPKM dapat dikukuhkan lagi bagi merealisasikan usul yang telah disepakati di dalam Muktamar Sanawi KPKM kali ke-22 pada tempoh hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *