PUASA DAN ROKOK

Firman Allah:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Al-Baqarah:183)

LUMRAH kita sebagai hamba Allah maka selayaknyalah bagi Allah Taala sebagai tuan ataupun bos kita menyuruh ataupun melarang kita melakukan sesuatu perkara. Lojiknya kerana kita hanyalah hamba-Nya. Justeru , bilamana Allah menyuruh atau melarang sesuatu perkara maka sudah tentulah ada hikmah di sebalik suruhan atau larangan tersebut. Kita tahu ataupun tidak, jawapan terpundak pada diri sendiri.Bagi orang yang beriman sudah tentu dia mematuhi segala perintah Allah ta’ala tanpa ada syak dan sebagainya.Bagi orang beriman dan berilmu pula, sudah tentu dia akan mengkaji mengapa Allah ta’ala memerintah sedemikian dan melarang perkara sebaliknya jika dilakukan. Dan bagi orang yang berilmu dan beriman ini Allah ta’ala mengangkat darjatnya beberapa darjat melebihi daripada orang yang hanya beriman sahaja.Jadi,antara perintah Allah ta’ala adalah berpuasa di bulan Ramadhan.Puasa Ramadhan ini merupakan satu kewajipan kepada seluruh umat Islam yang berakal, baligh, mampu berpuasa dan tidak haidh atau nifas.Puasa di bulan Ramadhan juga merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima.

Salah satu daripada kelebihan dan barakah berpuasa adalah dapat menghilangkan ketagihan kepada rokok. Walaupun para ulama’ telah meletakkan fatwa bahawa merokok adalah haram, namun masih ramai yang tidak mampu untuk menghilangkan ketagihan ini. Jadi ,salah satu cara untuk mengatasi ketagihan rokok adalah dengan cara berpuasa. Berpuasa sangat digalakkan di dalam bulan selain ramadhan kerana dalam hal ini ia merupakan satu bentuk latihan keazaman serta kesungguhan di samping training atau melatih diri berhenti merokok secara berperingkat. Dari kajian mendalam berkaitan bidang perubatan, berpuasa dianggap sebagai suatu bentuk terapi semula jadi yang boleh mengatasi beberapa masalah akibat pemakanan tidak betul disebabkan lebihan makanan yang seringkali timbul di negara maju dan negara yang sedang membangun. Di antara masalah ini termasuklah pengumpulan lemak di saluran darah (Atherosclerosis), tekanan darah meningkat (Hypertension) penyakit jantung alahan dan penyakit kencing manis (diabetes).

Merokok dapat disamakan sebagai proses memasukkan bahan beracun dengan cara hisapan ke dalam tubuh. Melalui hisapan sebatang rokok tidak kurang dari 3,800 jenis racun akan disedut ke dalam tubuh semasa seseorang itu merokok. Secara semulajadi, bahan racun yang disedut masuk akan dikeluarkan dari tubuh melalui proses perkumuhan (ekskresi) air kencing, najis atau pernafasan. Jika tabiat ini dilakukan secara berterusan setiap hari, maka jumlah racun yang dihisap akan melebihi jumlah yang berupaya dikeluarkan oleh badan. Ini akan menghasilkan penggumpulan bahan racun di dalam badan. Kalau kita mempertimbangkan cara kemasukan racun melalui saluran lain seperti makanan atau minuman mahupun udara tercemar, maka pertambahan racun di dalam tubuh tidak dinafikan meningkat berkali ganda. Dalam mengurangkan beban bahan racun yang terkumpul di dalam badan, maka alternatif yang ada ialah mengurangkan kemasukan bahan racun melalui saluran p e r n a f a s a n a t a u pemakanan. Oleh itu amalan berpuasa selain dari memenuhi tanggungjawab agama, bertujuan untuk mencegah kemasukan bahan racun. Selain itu membolehkan badan melakukan proses pembersihan racun yang sedia terkumpul dalam badan. Keadaan yang berlaku semasa berpuasa dapat diumpamakan sebagai memberi rehat kepada badan daripada bekerja pada maksimum dalam mengeluarkan bahan racun yang memasuki tubuh.

Kesimpulannya, setiap perintah atau larangan Allah Taala sudah tentu mengandungi hikmahnya kerana Dialah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita sebagai hambaNya.Maka,seharusnyalah kepada perokok-perokok agar tidak melepaskan peluang bulan Ramadhan ini untuk menghilangkan ketagihan kepada rokok-rokok anda.Wallahua’lam.

SELAMAT MENYAMBUT SYAWAL DENGAN PENUH HARMONI!

 

Mohammad Shakir Bin Izani

Tahun 2 Kuliah Perubatan Universiti Kaherah

 

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri  3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *