AWASI BUAH PINGGANG ANDA

Sistem perkumuhan merupakan salah satu sistem yang penting dalam badan kita. Salah satu organ yang terlibat dalam sistem perkumuhan adalah buah pinggang. Manusia normal mempunyai dua biji buah pinggang yang terletak kiri dan kanan sebelah -menyebelah tulang belakang dan bawah sedikit kepada tulang rusuk.

Antara fungsi buah pinggang adalah mengawal tekanan darah, mengawal keseimbangan paras garam galian badan, mengawal proses penghasilan darah merah, mengawal kesihatan dan ketumpatan tulang. Penyakit buah pinggang boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang peringkat akhir jika tidak dikesan atau tidak menerima rawatan awal. Merujuk kepada kegagalan buah pinggang kronik, ini adalah keadaan yang mengancam nyawa dan pesakit memerlukan pemindahan buah pinggang atau dialisis untuk meneruskan hidup.

Buah pinggang merupakan organ yang sangat penting kepada kita. Ia memproses darah kita setiap hari untuk menapis bahan buangan yang dihasilkan proses metabolisme badan. Bahan buangan itu dikeluarkan dari dalam badan melalui air kencing atau najis. Apabila buah pinggang rosak atau menjadi lemah disebabkan penyakit, keupayaan untuk menapis darah akan menurun. Jadi, bahan buangan berkenaan dan air akan terkumpul di dalam badan menyebabkan air di dalam badan bertambah dan tisu-tisu membengkak.

Darah tinggi merupakan antara salah satu penyebab utama sakit buah pinggang. Tekanan darah tinggi atau ‘Hypertension’ menyerang 10-20% penduduk. Sesiapa pun boleh mendapat tekanan darah tinggi tetapi yang berisiko lebih tinggi ialah meraka yang mempunyai berat badan berlebihan, keturunan, merokok, ketegangan hidup (stress) dan juga umur melebihi 50 tahun. Tekanan darah tinggi di dalam saluran darah dalam buah pinggang menyebabkan ia mengental dan keras. Ini mengurangkan bekalan darah kepadanya, mengakibatkan kekurangan kecekapannya. Ini akan membawa kepada keadaan dimana garam dan cecair berlebihan di dalam badan. Cecair berlebihan ini menjadikan satu beban kepada jantung. Jika tekanan darah tinggi tidak dikawal dengan pengubatan, kerosakan dan akhirnya kemusnahan buah pinggang akan berlaku.

Batu karang juga merupakan salah satu penyakit buah pinggang yang popular dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Batu dalam ginjal jarang-jarang menimbulkan masalah ketika ia mula terjadi. Tetapi apabila batu-batu itu beralih atau bergerak di dalam ginjal atau di dalam saluran kencing, kesakitan yang amat sangat akan
dirasai dan pendarahan biasanya berlaku sehinggalah sesudah batu itu keluar.

Dalam sesetengah kes, batu itu tersekat menyebabkan kesakitan berlaku dan ini membahayakan apabila kuman itu merebak. Bila ini berlaku, tanda-tanda seperti berikut akan dirasai iaitu pedih ketika buang air kecil, rasa loya dan air kencing berbau busuk. Ini memerlukan rawatan perubatan yang segera. Batu yang terdapat buah pinggang terjadi dari tumbuhan kristal halus dari beberapa jenis kimia. Saiz batu karang ini ada yang halus seperti pasir dan boleh jadi sebesar bola golf. Kebanyakkan batu tumbuh membesar dalam buah pinggang kemudian bergerak ke bawah dalam saluran kencing dimana ia menjadi bertambah besar. Biasanya orang lelaki pertengahan umur lebih ramai yang mengidap penyakit ini dari kaum wanita. Ada di antara penyakit batu karang ini disebabkan oleh zuriat keturunan. Pengubatan penyakit ini berbeza mengikut keadaan seseuatu kes itu. Jika batu-batu ini dapat keluar dengan spontan maka pengubatannya ialah dengan mengelakkannya dari berlaku lagi. Dalam hal ini pesakit akan disuruh minum air dengan banyak, sebanyak 3 liter sehari. Cara ini akan dapat membersihkan ginjal. Makanan pesakit juga akan diubahsuai bagi mengurangkan bahan kimia yang terdapat dalam badan pesakit. Dalam kes-kes yang lebih serius, apabila batu itu terlalu besar untuk keluar sendiri dan memudaratkan pesakit, suatu pembedahan diperlukan.

Akhirnya, sebagai langkah pencegahan kepada penyakit-penyakit ini dari terus memburukkan lagi keadaan maka haruslah bagi kita untuk mengetahui tanda-tanda awal bagi penyakit berkaitan sakit buah pinggang ini. Antaranya ialah merasa sakit atau rasa susah apabila nak kencing, kencing lebih kerap terutama di sebelah malam, kencing yang bercampur dengan darah dan juga bengkak disekeliling kedua-dua mata, tangan dan kaki. Apabila terdapatnya tanda-tanda ini, silalah berjumpa dengan doktor agar langkah susulan dapat diambil seterusnya dapat menyelamatkan buah pinggang anda yang tersayang.

 

Mohammad Shakir Izani

Kuliah Perubatan Tahun 2, Cairo University

 

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri 8

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *