MAKAN UNTUK SIHAT DAN…?

“AKAL yang cerdas datangnya daripada badan yang sihat”. Ungkapan ini amat biasa kita dengari di mana-mana sahaja. Namun demikian, berapa ramaikah daripada kita yang mengambil berat akan ungkapan ini, dan seterusnya mengamalkannya? Kita semua tahu badan yang cergas dari segi fizikal adalah kunci utama dalam meningkatkan aspek kehidupan yang lain, misalnya pendidikan dan kerjaya. Salah satu aspek penting untuk mencapai kesihatan badan yang optimum adalah melalui pemakanan.

Pemakanan yang seimbang dapat memberikan sel-sel dalam badan segala nutrisi yang diperlukan. Makanan yang baik ialah apabila ia mengandungi semua jenis zat yang diperlukan oleh tubuh dalam kuantiti yang secukupnya. Apabila segalanya dipenuhi maka tubuh kita dapat menjalankan fungsinya secara menyeluruh. Ini dapat menjamin kesihatan badan secara jangka panjang.

Seseorang patut menjaga segala perkara mengenai hal ehwal pemakanan mereka, walau yang remeh sekalipun seperti waktu makan yang tetap dan konsisten setiap hari. Di sini dapat dirumuskan 5 prinsip yang dapat kita amalkan untuk menjaga kesihatan agar ia menjadi batu loncatan kepada kita untuk melakukan lebih banyak perkara yang berfaedah dalam hidup.

Prinsip yang pertama adalah makan hanya apabila anda berasa lapar. Bagaimanapun, kebanyakan daripada kita akan makan walaupun tidak lapar. Mengapa berlaku demikian? Inilah yang dipanggil sebagai tabiat yang akhirnya akan memudaratkan diri kita sendiri. Sesetengah daripada kita mempunyai tabiat untuk makan walaupun tidak berasa lapar, tetapi sesetengah daripada kita pula tidak akan makan sehingga apabila terasa seperti kebuluran. Sebenarnya kita perlu mempunyai keseimbangan di antara dua sifat ini. Kita perlu tahu, skala kelaparan bagi kita untuk makan adalah ketika kita berasa agak lapar. Bukannya ketika kita berasa kita hendak makan walaupun perut kita tidak lapar. Kita juga hendaklah makan sebelum kita sampai ke tahap kebuluran kerana jika tidak tubuh badan kita akan ditimpa dengan pelbagai penyakit kerana tidak cukup nutrisi yang diperlukan. Ini adalah satu tabiat yang perlu diubah dan anda, jangan tergolong di dalam mana-mana dua golongan ini.

Prinsip yang kedua pula adalah makan apa yang anda inginkan dan bukan apa yang anda rasa anda perlu makan. Anda harus kenal apa yang anda ingin makan dan anda boleh mengetahuinya kerana badan anda sendiri akan menyampaikan isyarat apakah makanan yang anda inginkan. Ini kerana apabila kita berfikir mengenai sesuatu, otak kita akan berfungsi dengan menghantar isyarat itu kepada tubuh badan dengan mengatakan kita inginkan sesuatu makanan. Contoh yang boleh diberikan adalah sekiranya anda melihat nasi bersama ayam goreng di depan mata anda, dan ketika itu ia membuatkan anda terliur, maka itu bererti anda menginginkan makanan tersebut dan demikian anda perlu mengambil makanan itu dengan syarat anda sememangnya sudah terasa agak lapar. Sekiranya ketika itu anda masih lagi terasa kenyang tetapi anda inginkan
sesuatu makanan itu, bermakna anda hanya mengikut perasaan anda saja.

Prinsip yang ketiga adalah makan secara sedar tanpa mengikut nafsu dan perasaan. Lakukan ini sambil menikmati setiap kunyahan anda dengan cara memperlahankan kecepatan pemakanan anda dan kunyah betul-betul setiap suapan. Minimum kunyahan adalah sebanyak 21 kali dan setiap kali di antara suapan itu anda perlu meletakkan sudu garpu anda di atas pinggan. Jangan makan dengan tergesa-gesa dan lahap kerana ia akan membuatkan anda berasa lebih lapar dan makan lebih banyak. Bagi melakukan prinsip ini anda perlulah mempunyai tahap disiplin dan kesabaran yang tinggi.

Prinsip yang keempat pula adalah berhenti makan apabila anda rasa sudah sederhana kenyang. Sekiranya anda tidak berhenti, ia akan membuatkan anda mengambil makanan yang berlebihan dan pada tahap ini juga anda sudah tidak lagi menikmati makanan itu. Ini kerana ketika anda sudah kenyang tetapi anda meneruskan juga dengan alasan tidak mahu membazir, anda sendiri yang akan menanggung kesannya. Perlu diingatkan bahawa ketika anda mengambil atau meletakkan makanan di dalam pinggan, letak dalam keadaan sedar. Dengan itu anda tidak akan meletakkan makanan secara berlebihan. Di sini berbalik kepada tabiat anda sendiri.

Prinsip yang terakhir adalah anda harus faham akan keajaiban air. Sekiranya anda terasa lapar, minum dahulu lebih kurang segelas air dan sekiranya anda tidak lapar selepas itu, ini bermakna ia hanyalah dahaga. Dengan cara ini anda tidak akan mengambil makanan secara berlebihan. Bagaimanapun, sekiranya selepas minum anda masih lagi berasa lapar, ini bermakna tubuh anda memerlukan makanan. Justeru, anda perlu mengambil makanan sebanyak mana yang diperlukan. Kajian sudah menunjukkan bahawa diet yang mengakibatkan kita meminum air yang banyak adalah lebih efektif dalam jangka masa panjang. Apatah lagi jika air yang digunakan adalah air yang sudah dirawat dan mengandungi khasiatkhasiat seperti air zam-zam dan air daripada sumber semula jadi.

 

Mohd Faris Bin Mohd Hussin

Tahun 2 Kuliah Perubatan Universiti Kaherah

 

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri 5

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *