BAGAIMANA MENGHINDARI PENYAKIT KENCING MANIS?

Perubahan cara hidup mampu mengelakkan penyakit kencing manis terutama bagi mereka yang mempunyai kecacatan pada ketahanan daya glukosa (impaired glucose tolerance–IGT), atau kecacatan puasa glukosa(impaired fasting glucose- IFG). Kajian menunjukkan kedua-dua keadaan merupakan tanda awal penyakit kencing manis tetapi mampu diterbalikkan dengan kawalan pemakanan yang betul.

Selain itu, tidak salah bagi mereka yang tidak mempunyai masalah awal untuk turut serta mengambil langkah berjaga- jaga dengan melakukan beberapa perkara iaitu:

1. PEMAKANAN

Ramai berpendapat bahawa pemakanan yang bercirikan gula sahaja yang mampu mengakibatkan kencing manis. Walaupun pemakanan bercirikan gula seharusnya disekat, ini tidak bermakna makanan – makanan lain dapat dimakan dengan kadar yang banyak. Makanan selain gula juga seharusnya dimakan secara sederhana dan tidak diambil secara berlebihan. Catatkan apa yang sering dimakan dan bincangkan bersama doktor.

2. SENAMAN

Senaman juga penting tetapi ianya perlu dimulakan secara beransur – ansur dan diiringi nasihat doktor. Senaman berfungsi dengan tiga cara iaitu membantu menggunakan lebihan kalori, membantu mengurangkan berat badan serta menambahkan kesihatan jantung dan paru-paru.

3. PENJAGAAN BERAT BADAN

Telah dikenalpasti bahawa mereka yang mempunyai berat badan yang tidak terlalu berat lebih mudah untuk mengawal kandungan gula di dalam darah dan seterusnya mengurangkan penggunaan ubat. Sesetengah daripada golongan pesakit kencing manis dapat menghentikan penggunaan ubat setelah berat badan berjaya dikawal.

4. PEMERIKSAAN KESIHATAN SECARA BERKALA

Pemeriksaan awal daripada pihak doktor dapat membantu mengesan penyakit kencing manis pada peringkat awal. Selain itu, rawatan awal kencing manis mampu mengurangkan 30% hingga 70% kegagalan buah
pinggang berfungsi. Penjagaan anggota kaki tangan mampu mengurangkan kes anggota badan dipotong akibat komplikasi jangkitan sebanyak 45% hingga 85%.

5. PEMERIKSAAN SENDIRI

Seseorang itu seharusnya berwaspada tentang perubahan pada badan mereka iaitu dari segi kulit dan anggota badan yang lain. Contohnya, rasa kebas pada bahagian hujung jari tangan atau kaki. Sebarang perubahan yang kurang menyenangkan haruslah segera dirujuk kepada pihak berkenaan. Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk menghindari penyakit kencing manis. Tumpukan pada perkara yang boleh anda ubah seperti diet dan sangat digalakkan untuk meminta nasihat daripada doktor mengenai perkara ini.

Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud ; “Mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai Allah berbanding mukmin yang lemah, dan pada keduanya ada kebaikan. Bersungguh- sungguhlah mendapatkan apa yang bermanfaat bagi kamu dan mintalah pertolongan daripada Allah (dalam segala urusanmu) serta janganlah sekali- kali kamu merasa lemah…”1

Sumber: pmr.penerangan.gov.my/index.php/com 1 Sahih Muslim : no 2664

Nur Hanun binti Rusdi
Kuliah Syariah Islamiyah, Universiti Al-Azhar.

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri 88

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *