BAHAYA SINAR ULTRAVIOLET DAN CARA MENGATASINYA

Negara Timur Tengah sedang berada di permulaan musim panas. Para penuntut ilmu mula merasai bahang kepanasan dari sehari ke sehari. Walaubagaimanapun, apa jua keadaan dan cuaca yang perlu dihadapi, semangat menuntut ilmu tidak boleh pudar dan harus diteruskan.

Cahaya matahari yang terlalu terik mengandungi sinar ultraviolet atau lebih dikenali sebagai sinar UV. Ia merupakan salah satu bentuk sinar yang menembusi atmosfera dan masuk ke bumi. Sinar ini walaupun tidak dapat dilihat, namun dapat dirasai oleh tubuh kita.
Ia merupakan sinar yang paling banyak memberi kesan radiasi dan boleh merosakkan sel kulit dengan menembusi lapisan dermis kulit kita.

Apakah kesan sinar UV kepada kita ?
1) Kemerahan kepada kulit dan terasa seperti terbakar. Kesan ini biasanya disebabkan oleh sinar UV-B. Kulit akan mengalami kegatalan dan kekeringan dan jika berlanjutan boleh menyebabkan luka-luka yang serius.

Cara mengatasi :

-Menyapu sunblock pada kulit terutamanya kulit muka yang mana lebih sentisitif sebelum keluar dari rumah
-Memakai baju dan seluar panjang yang menutupi seluruh tubuh.
-Memakai topi.
– Tidak berada dibawah sinar matahari yang terlalu terik antara pukul 10 pagi hingga 4 petang.

2) Dapat menimbulkan Eritema pada kulit. Eritema merupakan kesan kemerahan dan bengkak-bengkak pada bahagian kaki. Kesan ini juga disebabkan oleh sinar UV-B.

Cara mengatasi :

-Mengenakan seluar panjang dan tidak nipis apabila keluar rumah.
– Memakai kasut yang bertutup penuh agar kaki tidak terdedah secara langsung kepada cahaya matahari. Sebaiknya sarungkan sekali stokin untuk lebih perlindungan.

3) Menyebabkan katarak pada mata. Katarak merupakan selaput yang berwarna putih pada anak mata menyebabkan pandangan menjadi kabur dan tidak jelas. Katarak selalunya timbul seiring dengan pertambahan usia namun dengan terdedahnya pada sinar UV menyebabkan golongan remaja juga turut berisiko menghidap penyakit ini.

Cara mengatasi :

-Mengenakan cermin mata hitam apabila berada di luar rumah.
– Menggunakan topi ketika berada di bawah terik matahari.
-Tidak menatap matahari secara langsung tanpa sebarang penapis.

4) Merosakkan sel-sel kulit. Sinar UV-A yang menembusi kulit kita menyebabkan kerosakan pada sel-sel kulit. Akibatnya, kulit akan kehilangan keanjalan dan berlaku proses penuaan pada kulit dengan lebih cepat. Hal ini menjadi kegerunan kepada setiap orang terutamanya golongan wanita.

Cara mengatasi :

-Menyapu sunblock pada kulit terutamanya kulit muka yang mana lebih sentisitif sebelum keluar dari rumah.
-Memakai pakaian yang menutupi seluruh tubuh , lengan, kaki dan bahagian leher.
-Menggunakan penutup kepala seperti topi atau payung.

Berikut beberapa tips pemilihan kaca mata hitam dan sunblock :
1) Elakkan membeli cermin mata hitam tiruan kerana bimbang tidak mempunyai perlindungan kepada cahaya UV. Cermin mata hitam yang tidak disertakan perlindungan UV akan lebih menyerap cahaya matahari dan lebih membahayakan kesihatan mata. Sekiranya tidak yakin dengan kemampuan lapisan perlindungan UV, lebih baik memilih lensa yang berwarna kelabu kerana dianggap warna yang paling optimum dalam penyerapan cahaya, begitu juga warna hijau dan coklat.

2) Digalakkan menggunakan sunblock yang memiliki Sunburn Protection Factor (SPF). Kadar SPF dalam sesuatu produk berkisar dari 15, 30, 45, 60, 90, dan mungkin boleh menjangkau 120 seiring kemajuan semasa. Bagi kulit yang bermasalah dan memerlukan perlindungan yang lebih, disarankan agar menggunakan sunblock yang mengandungi SPF yang lebih tinggi. Jika anda perlu berada dibawah cahaya matahari buat jangka masa yang lama, maka perbaharui sapuan sunblock sebanyak 20 minit sekali. Sekian.

Fatnin Afiqah binti Sa’adun
Kuliah perubatan, University al-Azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri 74

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *