DENYUT NADI SEORANG HAMBA

Setiap insan tidak terlepas dari aturan sistem yang Allah SWT tetapkan dalam kehidupan dunia ini yang dikenali sebagai sunnatullah. Ia tidak membebankan manusia, bahkan hikmahnya adalah bagi memudahkan segala kerja buat dan segala urusan kita di dunia. Antara perkara yang menunjukkan kasih Allah SWT kepada hambaNya adalah Dia menganugerahkan kepada kita satu elemen yang cukup penting dalam sistem tubuh manusia. Satu organ yang sangat banyak memberi kesan kepada kesihatan juga kelangsungan hidup seseorang, yan dikenali sebagai ‘jantung’.

Jantung berperanan untuk mengepam darah ke seluruh badan melalui aorta dan merupakan sistem tertutup. Sistem yang berlaku ini adalah cukup kompleks. Proses pengepaman ini menghasilkan tekanan ke atas salur darah, seterusnya menampakkan pengembangan dan pengecutan padanya. Salur darah yang mengembang dan mengecut secara beritma ini membolehkan kita mengira kadar denyutan nadi. Denyutan nadi atau ‘Heart Rate’ ditakrifkan sebagai kadar degupan jantung (pengepaman darah oleh jantung) dalam seminit. Bagaimana terhasilnya atau susur galur bagi berlakunya denyutan ini kembali kepada sunnatullah yang cukup tersusun satu persatu. Untuk memudahkan pemahaman dan tidak terkeliru dengan terminologi, sepanjang entri ini akan digunakan istilah ‘Heart Rate’ (HR).

HR boleh diukur dengan meletakkan jari pada arteri, yakni salur-salur darah yang membawa darah keluar dari jantung ke tisu badan. Antaranya ialah pada pergelangan tangan (radial artery), leher, belakang lutut dan sebelah anak telinga. Kira berapa kali ia berdenyut selama 10 saat, kemudian darabkan dengan 6. Purata HR ialah 75 denyut/minit. Nilai antara 60-100 denyut/minit adalah dikira normal. HR melebihi 100 denyut/minit disebut sebagai ‘tachycardia’, dan kurang 60 denyut/minit pula disebut sebagai ‘bradychardia’. Ketika melakukan aktiviti lasak, HR blh meningkat sehingga mencecah melebihi 200 denyut/minit.

Antara faktor fisiologi yang mempengaruhi HR seseorang ialah umur. HR bagi bayi yang baru lahir ialah sekitar 130 denyut/minit dan ia menurun secara berperingkat dengan meningkatnya umur seseorang sehingga mencapai umur 20 tahun, kemudian HR cenderung untuk kekal stabil. Manakala ketika seseorang mencapai umur 45 tahun, HR akan mula meningkat disebabkan faktor peningkatan usia. Bukanlah satu kebimbangan kepada ibu bapa sekiranya bayi atau anak kecil mereka mempunyai HR yang tinggi melebihi remaja kerana ia merupakan suatu perbezaan yang normal, malah dikira tidak normal andainya mereka mempunyai HR yang rendah.

HR juga dipengaruhi oleh jantina seseorang. HR bagi kaum hawa adalah lebih tinggi berbanding kaum adam disebabkan perbezaan saiz jantung. Saiz jantung individu lelaki lebih besar sekiranya dibandingkan dengan saiz jantung wanita. Mengapa wujudnya perbezaan yang dilihat seperti tidak adil? Tidak, bahkan inilah yang menunjuk kekuasaan Allah SWT. Seperti yang kita sedia maklum bahawa jantung berperanan untuk mengepam darah ke seluruh tubuh, saiz jantung yang lebih besar mampu mengisi kuantiti darah yang lebih banyak. Setiap kali jantung seseorang lelaki mengepam, maka darah yang dipam adalah lebih banyak berbanding wanita. Manakala saiz jantung yang kecil bagi wanita pula menyebabkan darah yang dipam adalah sedikit jumlahnya. Disebabkan inilah mereka kaum hawa mempunyai HR yang lebih tinggi jika dibandingkan kaum adam, untuk mengalirkan darah ke seluruh tubuh mengikut keperluan yang diperlukan. Dapat kita lihat perbezaan yang berlaku ini adalah cukup istimewa dan bukanlah sekadar terjadinya tanpa sebab. Seperti firmanNya dalam surah al-Imran, ayat 191 yang bermaksud ‘’Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka’’.

Pernah atau tidak kita merasa tiba-tiba sesak di dada saat mana gema wahyu ilahi diperdengarkan? Sehingga tanpa sedar mutiara mata mengalir di pipi mulus kita. Sebagai mana kita ma’ruf di bumi kinanah terkenal dengan alunan-alunan imam dalam solat yang mampu membuatkan makmum merasai perasaan yang penuh syahdu dan beremosi. Keadaan ini disebut sebagai ‘Psychocardiac Reflex’. Psychocardiac Reflex akan menyebabkan HR seseorang meningkat. Yang mana, ia memberi maksud bahawa degupan jantung seseorang akan lebih cepat. Refleks ini juga terjadi bila mana kita terfikir atau merindui seseorang yang telah pulang ke tanah air sebagai contohnya.

Denyut nadi seorang hamba menandakan kita masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk terus berusaha mengenalNya sebagai Pencipta yang Maha Berkuasa. Rebutlah peluang itu sebelum denyutan itu tidak lagi dapat kita rasai, yang membawa maksud terpisahnya kita dari ‘tempat beramal’ untuk ke ‘tempat balasan’. Semoga kita ditetapkan hati untuk terus berusaha menjadi hamba yang bertaqwa.

Muhammad Fitri Hakim bin Ab. Razak,
Perubatan Universiti al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri 84

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *