DI BAHUMU ADA HARAPAN

Personaliti yang matang tidak lahir daripada kejahilan dan penyelewengan sebaliknya memerlukan insan yang berfikiran rasional, berjiwa tenang dan berakhlak mulia. (Said Hawwa; 1992)

Alhamdulillah, panjatan tahmid di panjangkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah kurnia yang menatijahkan segar dan sihat kita hingga ke detik dan tika ini.

Selawat serta salam tidak ditinggalkan buat junjungan besar Nabi dan rasul Muhammad Bin Abdullah Sallahu Alaihi Wasallam, Keluarga baginda, para sahabat, tabi’en, tabi’ tabi’en, para ulamak yang sentiasa basah keringat, suci jiwa dan ikhlas niat melebarkan sayap Islam atas muka bumi ini. Amma ba’du.

Ketika kunjungan ke Rumah Kelantan Baru, Hayyu Sabei’ sebulan yang lepas untuk menjenguk sahabat yang secara kebetulannya merupakan ketua unit Fajat Jumaat Lajnah Penerbitan KPKM, saya diajukan permintaan untuk menukilkan buah fikiran atau tazkirah mingguan katanya secara berseloroh. Rasa tercabar muncul pada asalnya menatijahkan tersasul mulut saya menyahut seruan dan memahat janji untuk menulis.

Lama saya berfikir dan memerah otak mencari idea untuk dikongsikan bersama warga Kelantan Mesir. Atas kapasiti dan kondisi diri, terasa amat kerdil dan daif sekali untuk melayakkan saya menukilkan sesuatu yang pastinya akan dibaca atau paling tidak dikerling ustaz dan ustazah mahupun doktor perubatan atas nama anak-anak Kelantan Mesir. Namun, walau apa dan siapa pun anda dan saya, letakkan dalam kotak minda kita untuk sentiasa menghormati dan menghargai pandangan atau sekurang-kurangnya ia dijadikan pelembap iman taqwa di hati. Dikesempatan ruang yang terbatas ini tidak terlalu awal rasanya untuk saya dedikasikan ucapan selamat menghadapi peperiksaan kepada seluruh anak-anak Kelantan Mesir dengan harapan agar sama-sama pugarkan usaha, banyakkan doa serta sentiasa letakkan di hati nurani gantungan harap pada Allah jua.

Tidak ada jalan pintas untuk mencapai matlamat hidup. (Covey & Merill, 1994)

Justeru, sebagaimana tiada jalan mudah mahupun jalan pintas untuk kita memiliki syurga melainkan dengan amal takwa, begitulah jua keadaannya dengan sebuah kejayaan. Sebelum saya menulis artikel ini, sempat saya membelek kertas kerja di skrin komputer berkenaan dengan tips-tips untuk menghadapi peperiksaan. Fikir saya, mungkin ia hanya teori semata-mata. Apa lagi ia disusun mengikut pandangan dan kajian yang rujukannya bukanlah seratus peratus disaring daripada Al-Quran tapi diadun daripada pelbagai pandangan dan buah fikiran ahli falsafah dan psikologi barat khususnya.

Namun otak saya cepat menepis ego seorang ustaz yang sejenak menjengah, sekiranya ia elok dan bermanfaat, apa salahnya jika diambil dan diteliti.
Bukankan Islam mengajar umatnya untuk belajar, mengkaji dan menggunakan otak untuk mentadbir dunia. Semuanya semata-mata untuk mendekatkan diri pada Allah jua dan menjadikan kita hamba yang bersyukur.

Justeru, saya lampirkan enam panduan asas sebagai panduan diri untuk memburu kejayaan.
1. Lakonkan watak orang cemerlang Sentiasa sematkan di hati lakaran kejayaan dan kecemerlangan. Dr H. M Tuah Iskandar Al-Haj dalam bukunya ‘Membina Imaginasi Cemerlang’ juga menyebut perkara yang sama iaitu sentiasa melazimkan diri dengan imaginasi dan tindakan orang-orang yang cemerlang. Orang cemerlang tidak pernah membuang masa sia-sia malah sentiasa bertemankan buku dan majlis ilmu. Tersentak diri, tika otak mentafsir panduan yang diberi lantas memaksa jari menekan keyboard, apakah benar si penulis juga mengamalkannya? Saya sedar, amat susah untuk beraksi selayak orang cemerlang tapi setidak-tidaknya kita pernah mencuba untuk melakukanya. Letakkan di minda sedar kita, apakah salah dicuba walau lakonan semat-mata sebagai salah satu ikhtiar untuk kita memburu kecemerlangan. ‘Better have than nothing’, jadikan lakonan itu suatu realiti yang natijahnya bukan mutlak milik kita, samada cemerlang atau sebaliknya tapi yang penting kita telah berusaha.

2. Berkawan dengan orang berjaya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyebut dalam banyak hadis soal melazimi diri dengan ulamak dan orang-orang soleh. Dengan kata lain sentiasa berkawan dengan orang-orang yang cemerlang samada cemerlang sahsiah, akademik mahupun tinggi takwa di hati sebagaimana hadis nabi sallallahu alaihi wasallam : ‘Seseorang adalah mengikut cara hidup sahabatnya’
Wujudkan persekitaran yang merangsang biah peperiksaan dan jauhi elemen perosak yang menjauhkan diri dari nur ilah kerana ‘ilmu itu cahaya dan cahaya ilahi tidak akan menyinari hati rosak yang penuh maksiat’

3. Dalami ilmu kecemerlangan ‘Sukarnya menjadi permata yang bersinar seandai tidak mahu tunduk pada keegoan sekiranya tidak mahu berpaling daripada kesilapan silam’ Sebagaimana kita mahu beraksi dan bertemankan orang yang cemerlang, terlebih dahulu pastikan dada sarat dengan ilmu berkenaan psikologi kejayaan. Motivasikan diri dengan lakaran panduan psikologi yang mampu memandu kita ke arah kejayaan dan kecemerlangan. Pecahkan ‘mental block’ penghalang motivasi diri dan letakkan di benak fikiran untuk sentiasa optimis dan positif dalam mentafsirkan kejayan dan kecemerlangan. Sentiasa memujuk hati sendiri dengan kalam suci ilahi, hadis nabi, kata-kata ulamak, kajian-kajian cendikiawan mahupun pandu otak sendiri untuk berjaya. Jangan jadikan kegagalan mahupun kejayaan lalu sebagai ukuran mutlak kecemerlangan hari ini.

4. Fokus kepada apa yang kita mahu Kalau ditawarkan sebukit emas nescaya kita mahukan semuanya. Itulah suatu kesilapan dalam kita mentafsir nikmat. Kerana hidup ini singkat dan kita tidak mampu selamanya menongkat langit, justeru fokuskan kejayaan yang bagaimana mahu kita miliki. Tepuk dada tanya iman dan selera masing-masing tanpa kita ralit dengan imiginasi sendiri hingga lupa pada yang bernama lakaran takdir sejak azali. Kata kebanyakan orang lelaki ‘kalau tidak dapat empat satu pun jadilah’

5. Kejayaan silam membarai diri Sedar atau tidak sebenarnya telah teradun dalam hidup manusia sketsa hidup yang bernama gagal atau berjaya, suka atau benci serta bahagia atau derita. Justeru, jadikan pengalaman silam sebagai tapak luncur ke arah kehidupan masa depan yang lebih berwarna dan terarah dengan jalan syukur, qana’ah dan bermatlamatkan syurga.

6. Pelaziman minda yang positif Orang gagal yang telah berusaha, berdoa dan bertawakal sepenuhnya jiwa raga bukanlah seorang yang hina, bodoh dan celaka tapi dia sebenarnya sedang menebas dara hutan kejayaan mengikut tetapan nasib sendiri. Allah Maha Pengasih dan Penyayang, mana mungkin Dia akan mempersiakan hidup manusia yang beriman. Terus berusaha dan memahat sepenuh gantung harap pada Allah jua, kalau bukan hari ini, esok lusa akan diperkenan jua atau berkat sabar kita kalau tidak dikurnia di dunia, harapnya dibalas dengan syurga.

Di bahumu ada harapan, justeru andai kita malas atau lemah semangat untuk menghadapi peperiksaan, bulatkan di hati serta cerlangkan di jiwa harapan ayahanda dan bonda serta masyarakat di tanah air yang sekian lama sarat rindu kepulangan kita dengan limpahan ilmu di dada. Teruskan hayunan langkah memburu kejayaan dan pastikan kepulangan kita bukan HANYA SEMATA-MATA bernilai sehelai kertas bercap Al-Azhar tapi pulang dengan hayunan langkah gagah pahlawan berperisaikan sarat peluru.

Kerana DI BAHUMU ADA HARAPAN maka ‘genggam bara api biar sampai jadi arang’. Ikhlaskan niat, bulatkan tekad, maksimakan usaha, laut-luaskan doa dan gantung harap pada Allah jua. Ayuh MUJAHADAH.

CHE ABDUL RAHIM BIN OMAR
KULIAH SYARIAH ISLAMIAH, DAMANHUR

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 324

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *