DIFTERIA DAN KAITANNYA DENGAN VAKSIN

Mutakhir ini, dunia maya terutamanya Facebook dipenuhi dengan pelbagai reaksi masyarakat Malaysia berkenaan isu vaksin. Isu ini semakin hangat diperkatakan apabila kes kematian dalam kalangan kanak-kanak disebabkan sejenis penyakit bernama Difteria dilaporkan meningkat. Menurut kenyataan pihak Kementerian Kesihatan melalui laman web The Star Online bertarikh 30 Jun 2016, lima kematian telah direkodkan daripada 13 kes Difteria yang terjadi di seluruh negara. Ada sesetengah pihak berpendapat bahawa kes ini kembali meningkat disebabkan segelintir masyarakat yang disifatkan sebagai anti-vaksin yang enggan memberi suntikan imunisasi kepada anak-anak mereka atas alasan-alasan yang tertentu. Namun begitu, benarkah telahan ini?

Difteria adalah sejenis penyakit yang terjadi disebabkan oleh jangkitan bakteria Corynebacterium diphtheria. Penyakit ini tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan sentuhan dengan pesakit Difteria itu sendiri, di mana bakteria akan menjangkiti tekak dan rongga hidung seterusnya menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak. Antara ciri lain adalah perit tekak, demam, selaput (membran kelabu melitupi tonsil serta bahagian saluran pernafasan) dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas. Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah dan menyebabkan tekanan darah rendah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis).

Untuk merawat penyakit ini, pesakit akan diberi antitoksin dengan segera tanpa menunggu keputusan ujian makmal kerana sebaran toksin ke seluruh tubuh boleh mengancam nyawa. Antitoksin ini akan membantu melemahkan toksin di dalam badan. Kadar kematian akibat Difteria paling tinggi dalam kalangan bayi dan orang tua dan kematian biasanya berlaku dalam masa tiga hingga empat hari. Oleh itu, mencegah sebenarnya adalah jauh lebih baik daripada merawat. Umumnya penyakit ini dapat dicegah melalui vaksinisasi.

Di Malaysia, pelalian Difteria telah dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan pada tahun 1972. Sejak itu, kejadian penyakit Difteria telah menurun dengan sangat drastik. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, bilangan kes Difteria yang paling tinggi di Malaysia adalah pada tahun 2013, iaitu empat kes termasuk dua kematian dilaporkan dengan kadar insiden 0.01 per 100,000 penduduk sebelum ia dilaporkan kembali meningkat pada Jun 2016 yang lalu.

Pada masa kini, imunisasi Difteria terkandung dalam vaksin lima serangkai, DTaP-IPV//Hib (Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus Influenza Type B). Ia diberikan sebagai dos utama pada umur 2, 3 dan 5 bulan dan dos tambahan pada umur 18 bulan. Liputan imunisasi yang melebihi 95% dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok (herd immunity) dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria ini. Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan.
Lazimnya, setiap kes Difteria memerlukan tujuh hingga lapan vial antitoksin dengan kos RM500 per vial; yang mana jika dijumlahkan kesemua vial, nilainya mampu mencecah RM4000. Namun, jika dibandingkan dengan kos vaksin, ia hanya berharga RM34 satu dos dan pada masa yang sama dapat melindungi si penerima vaksin daripada lima jenis penyakit.

Tuntasnya, jangkitan Difteria mengakibatkan kadar kematian yang sangat tinggi. Ia menunjukkan betapa bahayanya penyakit ini dan betapa mustahaknya kanak-kanak diberi imunisasi Difteria. Justeru, ibubapa hendaklah memainkan peranan mereka dalam memastikan anak mereka telah mendapat imunisasi lima serangkai dos utama yang lengkap. Tindakan bijak kita akan menyelamatkan anak-anak daripada komplikasi jangkitan Difteria ini.

Siti Fatimah binti Abdul Ghani,
Perubatan Universiti Azhar, Kaherah.

Muat turunĀ PDF Risalah Kesihatan siri 75

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *