KELEBIHAN LOBAK MERAH

Lobak adalah sayur-sayuran yang mudah untuk ditanam dan membesar. Sebab itu kita boleh lihat ada di antara orang di kawasan perumahan boleh tanam sayur ini. Rasanya yang manis dan tekstur yang rangup menjadikan ia disukai oleh sesiapa sahaja. Terdapat lebih daripada 100 jenis lobak merah di seluruh dunia yang berbeza dari segi saiz, iaitu dari dua inci hingga tiga kaki dan warna, iaitu oren, ungu, kuning, dan putih. Bukan sahaja lazat, khasiat yang terkandung dalam lobak merah sangatlah banyak, berdasarkan kandungan nutrisi yang terdapat dalam sayur ini.

Jom! Kita lihat beberapa kebaikan lobak merah untuk sistem badan anda:

1. Anti-kanser

Banyak kajian telah dibuat menunjukkan bahawa dengan memakan lobak merah ini boleh membantu mengurangkan risiko kanser payudara, kanser paru-paru dan kanser kolon. Ini kerana, lobak merah mengandungi Falcarinol yang dapat mengurangkan risiko terkena kanser. Falcarinol adalah racun perosak semula jadi yang terdapat dalam lobak merah yang melindungi akarnya daripada penyakit kulat. Namun bukan racun untuk manusia tetapi pencegah kanser!

2. Baik untuk mata

Retina mata kita memerlukan vitamin A untuk berfungsi. Dalam retina, vitamin A akan berubah menjadi rhodopsin, pigmen ungu yang perlu untuk penglihatan. Kekurangan vitamin ini akan menyebabkan rabun malam. Oleh itu, lobak merah adalah makanan yang baik untuk mata kerana ia kaya dengan beta-carotene, sejenis bahan yang ditukar kepada vitamin A di dalam hati. Beta-carotene juga membantu melindungi daripada degenerasi makula dan perkembangan katarak.

3. Mencegah penyakit jantung

Mengamalkan makan lobak merah juga dipercayai dapat mengurangkan tahap kolesterol dalam jantung. Ini kerana, serat larut dalam lobak merah boleh membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah.

4. Mengurangkan risiko stroke

Menurut satu penyelidikan dari Universiti Harvard, orang yang makan lebih daripada enam biji lobak merah dalam seminggu peratusannya untuk mengalami strok adalah lebih rendah berbanding mereka yang hanya makan sebiji lobak merah sahaja dalam seminggu.

5. Menjaga kulit

Bagi yang sentiasa mengambil berat untuk kulit, ini berita baik untuk anda. Anda tidak perlu lagi berhabis duit untuk membeli supplement untuk bagi kulit, cukup dengan memakan lobak merah sahaja. Ini kerana lobak merah mempunyai sifat membersih yang kuat serta berkesan dalam detoksifikasi hati dan amat berkesan untuk merawat jerawat yang disebabkan oleh toksin daripada darah. Selain itu, ia juga berguna untuk merawat tona kulit tidak sekata disebabkan oleh pigmentasi. Vitamin A dan nutrisi lain yang terkandung dalam lobak merah adalah sangat berkesan untuk menyuburkan kulit, mencegah kulit kering dan mencegah kecacatan kulit yang lain.

6. Anti penuaan

Ini juga berita baik bagi mereka yang inginkan awet muda. Lobak merah dipercayai dapat membantu melambatkan penuaan sel-sel dan pelbagai kesan negatif yang dikaitkan dengan penuaan. Ia juga kaya dengan betacarotene yang berfungsi sebagai antioksidan untuk membantu badan melawan radikal bebas.

7. Mengekalkan gigi cantik

Selain memberus gigi, anda juga boleh amalkan makan lobak merah untuk gigi yang cantik. Ini kerana, lobak merah boleh bertindak sebagai penghakis semula jadi yang membantu dalam menghapuskan kotoran yang terlekat pada gigi dan gusi. Mineral semulajadi yang terkandung dalam lobak merah juga dapat membantu untuk membunuh kuman di dalam mulut dan mencegah kerosakan gigi.

Makan lobak merah, anda sihat!

Sumber: https://lelakisihat.com/20167374/

Ustaz Muhammad Faisal Izzat bin Che Yaacob,
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar.

Muat turunĀ PDF Risalah Kesihatan siri 93

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *