KENALI UBAT ANDA

Tahukah anda dibawah Akta Ubat(Iklan dan Penjualan) 1956, penyakit-penyakit berikut adalah perkara yang dilarang untuk diiklankan(rujuk gambar). Sekiranya sabit kesalahan, anda boleh didenda tidak melebihi RM3000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berulang, denda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya anda menjumpai produk di pasaran yang membuat tuntutan bahawa produk ubat mereka boleh menyembuhkan senarai penyakit di atas maka anda boleh melaporkan perkara tersebut kepada Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

Pada masa kini, banyak produk kesihatan di pasaran yang menjanjikan bulan bintang kepada pesakit kronik seperti kanser, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya. Walaubagaimanapun, bulan bintang yang dijanjikan tidak ditepati sebaliknya menyusahkan lagi pesakit-pesakit apabila timbul komplikasi daripada penggunaan produk mereka.

Penggunaan-pengguna produk ajaib ini tidak dipantau, malah setelah produknya dijual pada anda, mereka akan senyap. Mereka tidak peduli tentang buah pinggang anda rosak atau gula anda meningkat atau penyakit-penyakit lain yang perlu kepada konsultasi. Sebaliknya anda yang bersusah payah untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Mereka langsung tidak melakukan pemeriksaan susulan pada anda, malah mereka tidak mempedulikan kesan sampingan produk itu pada hati atau buah pinggang anda.

Berbeza dengan ubat-ubatan daripada hospital. Sebelum diberikan kepada pesakit, pihak hospital akan memberikan nasihat dan pandangan terlebih dahulu tentang kebarangkalian kesan-kesan sampingan ubat walaupun risikonya serendah 1 dalam 1 juta orang! Malah pemerhatian secara susulan akan dilakukan(follow up). Pesakit akan diberikan janji temu berkala bagi memastikan kesihatan kita beransur pulih atau sebaliknya serta ubat itu berkesan ataupun memberikan kesan sampingan kepada kita.

Jadi kenapa anda masih mahu menguntungkan pihak yang hanya mahukan keuntungan tanpa mempedulikan kesihatan ada dan organ-organ dalaman anda? Jangan jadikan diri anda sebagai penyumbang kepada kekayaan mereka yang hanya menanam tebu di bibir mulut. Jika anda menggunakan ubatan daripada hospital, patuhi nasihat doktor dan makan ubat seperti ditetapkan. Jika anda rasa tidak selesa dengan ubat itu, berbincanglah dengan doktor. Mereka tidak akan tinggalkan anda seperti penjual produk pseudo kesihatan. Tiada perkara yang 100% dalam perubatan dan setiap perkara ada kesan sampingan walaupun kecil. Tetapi anda semua jangan risau kerana dalam merawat sesuatu penyakit, doktor akan mengimbangi risiko dan kelebihan rawatan yang diberi. Sebagai contoh seorang pesakit yang datang dengan pendarahan dalam otak yang memerlukan pembedahan. Pembedahan itu sendiri mempunyai risiko-risiko tertentu tetapi jika dibiarkan berlaku darah beku dalam otak, ia akan membunuh pesakit. Jadi kelebihan rawatan itu mengatasi risiko pembedahan tersebut.

Para pelajar perubatan sentiasa diingatkan oleh pensyarah di dalam dewan kuliah bahawa keputusan kami ketika merawat pesakit akan mempengaruhi masa depan mereka. Pensyarah berulang kali mengingatkan bahawa pekerjaan kami ini mengendalikan mahkluk yang bernyawa dan setiap kali kami merawat pesakit, pahala akan terus mengalir kerana secara tidak langsung kami membantu anda untuk terus sihat supaya dapat berterusan beribadat kepada al-Khaliq.

Kami para pelajar perubatan mempunyai etika perubatan(medical ethics) dan salah satu perkara penting dalam etika ini adalah berusaha sedaya upaya untuk membantu pesakit. Oleh sebab itu, saya menyeru kepada para pembaca sekalian supaya jangan mudah terpengaruh dengan mereka yang hanya mahukan wang ringgit anda tetapi pada akhirnya meninggalkan anda ketika keadaan anda tenat. Berhati-hati dalam membuat pilihan berhubung kesihatan anda.

Akhir sekali, diharapkan kepada anda semua sekiranya mempunyai masalah atau kemusykilan tentang kesihatan, sila rujuk mereka yang arif dalam bidang perubatan. Jangan menanyakan kepada para doktor jadian kerana hal ini akan menyebabkan banyak mitos dan fakta yang mengarut lagi merepek yang akan diberitahu dan didengari. Bagi mereka yang tidak tahu tentang perubatan, tanyalah kepada mereka yang arif dan alim dalam bidang perubatan yang uruskan, “hanya jauhari yang mengenal manikam”. Jadilah masyarakat yang cakna dengan kesihatan diri bukan menjadi masyarakat yang hanya mendengar cakap orang sahaja kerana yang merana nanti kita bukan mereka. Sirru ala barakatillah. Kesihatan anda tanggungjawab kami!

Nik Nabil Bin Nik Ahmad Kamil
Pelajar Kuliah Perubatan Al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri 89

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *