KEPENTINGAN MENJAGA HATI (LIVER)

Hati adalah organ dalaman terbesar di dalam badan manusia. Ia merangkumi 2 peratus daripada berat badan manusia(sekitar 1.5 kg). Hati juga adalah kelenjar terbesar di dalam badan (mixed gland) yang menjalankan kedua-dua fungsi endokrin dan eksokrin. Setakat ini, kajian mendapati hati menjalankan lebih kurang 500 fungsi yang mana sangat penting untuk kemandirian seseorang. Kepentingan fungsi fisiologi hati hanya akan dirasai apabila organ tersebut mengalami masalah atau terganggu. Fungsi hati boleh dikelaskan atau diklassifikasikan seperti berikut:

1. Fungsi Sistem Vaskular Hati (Hepatic Vascular System)

Hati berperanan sebagai stor penyimpanan darah. Hati adalah satu organ yang boleh mengembang yang biasanya mampu menyimpan sebanyak 10 peratus daripada jumlah isipadu darah (450 ml) di antara sel-sel hati dan juga di dalam saluran darah(hepati veins). Darah yang disimpan akan ditambah ke dalam sistem peredaran darah apabila diperlukan. Contohnya, apabila berlaku pendarahan yang parah, darah daripada hati boleh menampung jumlah darah yang hilang dan meminimumkan risiko dan severiti kejutan(shock). Tambahan pula, kewujudan sel darah putih atau lebih tepat dipanggil Von Kuffer sel menjadikan hati sebagai tempat untuk menapis darah. Darah yang diserap daripada mana-mana organ pencernaan terutama daripada usus besar dan kecil akan melalui hati dahulu sebelum kembali semula ke jantung. Sekitar 99 peratus daripada bakteria dariapada usus dan benda asing (ketulan darah beku yang kecil) akan disingkirkan daripada sistem peredaran darah untuk menjamin kesihatan tubuh badan.

2. Penghasilan Hempedu

Hati terkenal dengan peranannya dalam penghasilan hempedu(bile salt) dan penyingkiran pigmen hempedu(bile pigment). Hempedu memainkan peranan yang sangat penting dalam pencernaan dan penyerapan lemak dan vitamin larut lemak seperti vitamin A,D,E dan K. Tanpanya, seperti dalam kes biliary obstruction (yang mana pengaliran hempedu ke usus disekat) badan akan menjadi lemah kerana mendapat kurang tenaga dan terdedah kepada banyak penyakit yang berbahaya disebabkan kurang vitamin di dalam badan.

3. Pembentukan Sel Darah

Hati berperanan menghasilkan sel darah merah terutama untuk bayi dalam kandungan. Hati juga akan mengahasilkan sel darah di dalam badan orang dewasa apabila kilang pemprosesan darah yang utama iaitu bone marrow terganggu.

4. Hati berperanan dalam penyimpanan vitamin

Sejumlah besar daripada vitamin A, D dan B12 boleh disimpan di dalam sel-sel hati dalam jangka masa yang lama. Oleh itu,badan dapat bertahan tanpa bekalan vitamin tersebut secara berterusan. Vitamin A secara umumnya penting untuk membantu penglihatan dalam keadaan yang malap( seperti pada waktu malam) manakala vitamin D penting untuk pembentukan tulang yang kuat manakala vitamin B12 amat penting dalam pembentukan sel darah.

Kesimpulannya, hati memainkan peranan yang amat penting di dalam tubuh seseorang. Pengamalan gaya hidup yang tidak sihat boleh menganggu fungsi hati. Antara penyakit hati yang sering dialami ialah hati berlemak (fatty liver) fibrosis dan sirrosis (di mana sel-sel hati hilang fungsi untuk menjalankan fungsi fisiologi mereka). Oleh itu, wajiblah ke atas semua lapisan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sedarilah, kesihatan merupakan antara nikmat yang terbesar didalam kehidupan setiap manusia. Rasulullah SAW bersabda didalam satu hadis mafhumnya “Dua nikmat yang sering dilupakan kebanyakan dari manusia, kesihatan dan masa lapang”. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik kepada kita agar dapat meneruskan Ibadah dan ketaatan sebagai hambaNya.

Sekian, terima kasih.

Muhammad Ikhwan Bin Abdullas Sani Pelajar
Tahun 1 perubatan Universiti Al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri 94

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *