MANFAAT : PERGERAKAN SOLAT DAN KESIHATAN

Solat merupakan tiang agama. Solat juga merupakan ibadah yang mempunyai kaitan dengan anatomi tubuh badan manusia. Setiap pergerakan di dalam solat mempunyai hikmah yang tersembunyi yang tidak diketahui umum. Realiti hari ini, kita hanya menganggap solat sebagai ibadah fardhiyyah semata-semata tanpa melihat kepada skop kesihatan. Kajian telah dibuat oleh pakar-pakar kesihatan berkaitan pergerakan solat yang memberi impak yang baik kepada kesihatan kita. Mereka mendapati bahawa terdapat beberapa manfaat yang boleh diambil dari pergerakan dalam solat iaitu:-

1) TAKBIRATUL IHRAM Gerakan ini membantu melancarkan aliran darah dan menguatkan otot lengan. Ketika mengangkat kedua belah tangan, otot bahu meregang sehingga menyebabkan aliran darah mengalir dengan baik. Selain itu, dengan mendekapkan tangan di bahagian perut mengelakkan dari berlakunya masalah sendi badan.

2) RUKU’ Mampu menjaga posisi dan fungsi tulang belakang dengan baik. Posisi jantung adalah sejajar dengan otak, oleh yang demikian ia ia membantu proses aliran darah berjalan lancar. Selain itu, pergerakan ini dapat mencegah gangguan prostat.

3) I’TIDAL Ia merupakan di antara latihan pencernaan yang baik kepada kita. Organ-organ pencernaan di dalam perut adakalanya menjadi longgar secara bergantian dan kesannya pencernaan menjadi lebih lancar.

4) SUJUD Posisi jantung di atas otak menyebabkan darah akan mengalir ke otak dengan lancar. Aliran ini mempengaruhi daya fikir seseorang. Oleh itu, jangan kita tergesa-gesa ketika bersujud bagi memudahkan proses aliran darah di otak. Selain itu, ia juga mampu mengurangkan masalah buasir serta mempunyai kelebihan yang pelbagai khusus kepada golongan wanita.

5) DUDUK DIANTARA DUA SUJUD Posisi ini mampu mengurang masalah regangan otot serta masalah kesakitan di bahagian pangkal paha sehingga menyebabkan seseorang itu tidak mampu berjalan. Tambahan lagi,
posisi telapak kaki akan membantu menguatkan otot yang lemah dan memberi kelegaan yang kepada otot yang regang.

6) SALAM Pergerakan yang berlaku sekitar leher dan kepala dapat menyempurnakan aliran darah di bahagian kepala. Selain itu, ia membantu mencegah sakit kepala dan menjaga ketegangan kulit muka khusus buat kaum wanita.

Kesimpulannya, solat mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan tubuh badan seseorang selain menjadikan hati sentiasa tenang dan bahagia. Allah mensyariatkan kepada seluruh umat Islam menunaikan solat sehari semalam sebanyak 5 waktu. Kita juga digalakkan melakukan solat-solat sunat kerana akan mendapat ganjaran yang tinggi daripada Allah. Islam tidak mengajar kita melakukan amal ibadah semata-mata tanpa mengambil manfaat daripadanya khususnya dalam aspek kesihatan. Hal ini kerana tubuh badan yang sihat akan memudahkan seseorang itu beribadah dengan sempurna dan seterusnya memudahkan urusan seharian.

Siti Fatimah binti Md.Ghani Basri,
Kuliah Perubatan Tahun 3, Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri 66

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *