MENGUPAS KEBENARAN DAN MITOS

Setiap makanan yang memasuki sistem penghadaman kita akan diproses bagi menyerap zat-zat dan nutrien yang diperlukan oleh badan dan menyingkirkan sisa-sisa yang tidak diperlukan. Sistem penghadaman ini hanya dapat dikawal setakat 1/3 esophagus dan seterusnya berjalan secara luar kawalan (involuntary). Mengapa Allah SWT tidak mengizinkan kita mengawal semua itu? Ianya kerana sistem tersebut terlampau kompleks lagi teliti dan sekiranya diizinkan kita mengawalnya, pasti kita tidak punya kesempatan untuk melakukan kerja-kerja lain, Alhamdulillah.

Setiap yang berlaku didalam tubuh kita, serahkan sahaja kepada-Nya untuk mengawal dan mengatur mengikut sunnah-Nya. Akan tetapi masih ada hal-hal yang boleh dikawal oleh kita bagi membantu melancarkan proses-proses penghadaman makanan tersebut. Seringkali kita mendengar pantang larang selepas makan baik petua orang lama atau tidak kurang juga yang memberi nasihat secara saintifik. Jadi, mari kita lihat apakah benar pantang larang yang kita dengar selama ini.

1) Makan buah selepas makan? Silap tu!!
Pengambilan buah selepas makan sebenarnya sangat baik untuk melancarkan lagi proses penghadaman kita. Akan tetapi ada sesetengah orang yang mempunyai alahan kepada buah (alah kepada fruktosa yang terkandung dalam buah) akan mengalami kembung perut. Secara amnya, pengambilan buahbuahan selepas hidangan adalah sangat bagus dan dapat dicerna dengan baik oleh badan.

2) Jangan mandi dulu..nanti makanan tak lawas !
Sebenarnya, apabila kita mandi (terutamanya menggunakan air panas) akan menyebabkan darah diserap daripada perut kepada kulit. Walaubagaimanapun ia tidak merosakkan proses pencernaan kita. Konsep sebenar adalah : Jangan lakukan aktiviti berat selepas makan yang mana akan menyebabkan penyerapan darah yang banyak daripada perut sedangkan perut kita memerlukandarah yang “cukup” untuk mencerna makanan yang dimakan.

3) Rehatlah dulu lepas makan..
Sesetengah orang mengamalkan gaya hidup tidak bergerak langsung buat beberapa ketika selepas makan kerana khuatir makanan tidak dapat diserap oleh sistem penghadaman. Benarkah begitu? Berjalan-jalan selepas makan sangat baik bagi membantu untuk membakar kalori-kalori tanpa menyerap darah daripada perut kepada kulit.Hanya aktiviti-aktiviti berat tidak disarankan untuk dilakukan sejurus selepas makan.

4) Jangan longgarkan tali pinggang awak. Usus akan berbelit.
Ini sebenarnya satu nasihat yang baik buat kita. Akan tetapi alasan yang diberikan tidak benar sama sekali. Tidak melonggarkan tali pinggang sebenarnya akan menjadikan kita beringat sekiranya perut kita sudah mula penuh jadi kita tidak akan makan secara berlebihan. Bukankah Rasulullah S.A.W telah mangajarkan kita, “ makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang”. Selain itu, mengikat tali pinggang dengan ikatan yang selesa ketika makan sebenarnya salah satu teknik mengemaskan bahagian abdomen kita bagi mengelakkan buncit di bahagian pinggang. Jadi, larangan melonggarkan tali pinggang ketika makan kerana bimbang usus akan berbelit adalah mitos semata-mata.

5) Jangan tidur sejurus makan!
Petua ini sangat tepat. Adalah tidak bagus untuk kita terus tidur selepas makan dalam keadaan perut masih penuh. Ini kerana perut kita akan mengembang dan menyebabkan ketidakstabilan pada jantung bagi sesetengah individu. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan obesiti kerana sewaktu tidur, tubuh kita akan rehat dan tenaga-tenaga yang dihasilkan daripada makanan tidak digunakan dan akan ditukar kepada lemak yang akan terkumpul dalam tubuh.
Kawan, Islam mengajar kita untuk bertanya kepada mereka yang AHLI tentang sesuatu yang kita tidak tahu. Maka bertanyalah untuk kepastian supaya kita lebih cakna akan kesihatan kita. Manusia hanya akan merasai nikmat kesihatan apabila nikmat tersebut diangkat daripadanya.
Kesihatan tubuh badan harus disemai dengan kesihatan iman. Kata-kata hikmah ada berbunyi, “ Kita ini ibarat pengembara yang berhenti rehat di bawah sepohon pokok, lalu kita bangkit dan meninggalkan pokok tersebut.”

~Kearah kesihatan jasmani dan nurani~

Abu Bakar As-Siddik bin Mohamed
Tahun 1, Kuliah Perubatan al-Azhar.

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri 73

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *