MESIR DAN 40 DARJAH CELSIUS?

Musim panas merupakan musim yang terkenal dengan suhu yang tinggi dan waktu siang yang agak lama berbanding musim lain. Negara Mesir adalah antara negara panas dan kering sewaktu musim panas bahkan suhunya mencapai 40 darjah celsius. Hal ini kerana, Mesir adalah negara yang beriklim subtropika iaitu kering dan kemarau pada musim panas dengan suhu yang mampu mencapai lebih daripada 30 darjah celsius. Secara amnya, suhu yang terlalu tinggi akan menjejaskan kesihatan badan kita khususnya kepada mahasiswa yang berteduh di bumi Nabi Musa ini. Oleh itu, kita perlu mengetahui beberapa panduan sebagai persediaan untuk menempuh sesuatu yang lain dari keadaan negara tanah tumpah darah kita. Ada beberapa panduan untuk menjaga kesihatan badan kita dari segi mental mahupun fizikal.

1. BANYAKKAN MEMINUM AIR KOSONG

Pada musim panas, suhu udara akan menjadi panas dan tentunya akan memberi kesan kepada tubuh badan kita. Dalam keadaan ini, badan akan berusaha untuk menyesuaikan diri dengan suhu demikian. Ini akan mengakibatkan kesan sampingan negatif seperti dehidrasi. Seperti yang kita ketahui, 60 hingga 70 peratus tubuh badan manusia terdiri daripada cecair, manakala air pada bahagian otak mengandungi sekitar 85 peratus. Disebabkan itu, kita digalakkan untuk meminum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong sehari bagi mengelakkan masalah seperti ini berlaku. Hal ini kerana, kekurangan cecair dalam badan khususnya pada musim panas boleh menyebabkan pening, pengsan, gangguan pencernaan dan juga berisiko membawa kepada kematian. Demikianlah, air kosong merupakan salah satu keperluan utama dalam menjamin kesihatan badan kita.

2. MEMAKAI PAKAIAN BERWARNA CERAH DAN LONGGAR

Pemilihan pakaian pada musim panas juga perlu dititikberatkan. Hal ini kerana, cuaca pada musim panas agak membahang dan ini akan menyebabkan ketidakselesaan. Kita disarankan untuk memakai pakaian yang berwarna cerah. Selain itu,pemilihan pakaian sebaiknya pakaian yang longgar demi keselesaan tubuh badan kita. Justeru itu, demi menjaga kesihatan badan kita, pemilihan pakaian perlu dititikberatkan.

3. MEMAKAI PELINDUNG DAN AKSESORI TAMBAHAN

Penggunaan pelindung matahari amat digalakkan bagi memastikan tubuh dan kulit tetap terjaga. Ketika keluar dari rumah, gunakanlah aksesori tambahan seperti payung, kaca mata hitam atau topi. Aksesori sebegini dapat melindungi tubuh badan daripada matahari. Apa yang membimbangkan adalah pendedahan
yang berlebihan terhadap cahaya matahari akan menimbulkan masalah kepada kulit seperti ruam, kegatalan, sunburn dan sebagainya.

4. MEMAKAI LOSYEN PADA PERMUKAAN KULIT YANG TERDEDAH

Cuaca yang kering dan panas biasanya akan mengakibatkan masalah kulit kering. Kulit kering tidak boleh dianggap remeh kerana jika dibiarkan ia akan menjadi lebih teruk mengikut keadaan. Oleh itu, untuk menyelesaikan masalah kulit kering penggunaan losyen serta krim pelindung matahari sebagai perlindungan dan langkah awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

5. MENGEHADKAN AKTIVITI DI LUAR RUMAH

Cuaca yang panas dan kering menyebabkan kita terdedah kepada perkara yang membahayakan seperti strok haba, koma dan juga kematian.Suhu yang terlampau tinggi akan menyebabkan komplikasi kepada sistem saraf otak yang berisiko mengakibatkan masalah seperti koma dan kematian. Strok haba adalah keadaan di mana berlakunya peningkatan suhu badan melebihi 40.5 darjah Celcius yang berpunca daripada kepanasan melampau terhadap tubuh badan. Sebagai langkah berjaga-jaga, kita perlu mengehadkan aktiviti di luar rumah kepada dua waktu sahaja, awal pagi dan lewat petang.

Kesimpulannya,persiapan yang rapi perlu dilakukan bagi menjaga kesihatan diri dan memudahkan kita untuk melaksanakan urusan harian. Ingatlah bahawa tubuh badan kita merupakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah kepada kita. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “ Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.”

Akhir sekali, lazimilah berdoa kepada Allah agar dikurniakan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk beribadah kepadaNya. Jagalah kesihatan tubuh badan kita dengan berusaha sebaik mungkin dalam menguruskannya baik dari segi mental mahupun fizikal.

Sumber: ahliperubatan.org

Aisyah binti Kamarul Zaman,
Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar.

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri 92

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *