PANADOL: MUDARAT ATAU SELAMAT

“..adik saya bekerja di sebuah hospital. Doktor memberitahunya apabila mengalami sakit kepala, mereka sendiri tidak mengambil Panadol atau Paracetamol. Sebaliknya mereka akan mencari ubat herba Cina atau alternatif lain.

Kata doktor, sakit kepala disebabkan ketidakseimbangan electron/ion di dalam sel otak. Sebagai rawatan alternatif beliau mencadangkan membeli minuman isotonik dan campurkan dengan air minuman..”

Menurut doktor tersebut, Panadol bertoksik kepada tubuh dan menyebabkan buah pinggang menjadi rosak. Katanya Panadol akan tinggal di dalam tubuh sekurang-kurangnya 5 tahun. Pernah berlaku seorang pramugari menelan terlalu banyak Panadol semasa kedatangan haid untuk mengurangkan kesakitan premenstrual syndrome kerana tugasnya perlu berdiri lama semasa penerbangan. Dia kini berumur 30-an tetapi perlu menjalani rawatan buah pinggang setiap bulan.

Situasi di atas merupakan stigma yang sering berlaku dalam masyarakat kita, ianya mitos dan salah faham semata-mata. Bermula dari penularan fakta di media sosial dan menjadi rantaian berita kepada orang awam sehingga ada ibu bapa yang tidak menggalakkan anak-anak untuk mengambil Panadol jika diserang demam.

Menurut kenyataan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, ubat Paracetamol (yang dipasarkan dalam pelbagai nama seperti Panadol, Uphamol, Fepril dan lain-lain) adalah dikategorikan sebagai ubat over-the-counter (OTC). Ini bermaksud, ubat ini boleh didapati di farmasi atau kedai tanpa perlu mendapat sebarang preskripsi daripada doktor.

Paracetamol adalah ubat yang bertindak sebagai antipiretik (penurun demam) dan mempunyai sedikit kesan analgesik. Lazimnya digunakan bagi melegakan sakit ringan dan sederhana seperti sakit kepala, melegakan sakit premenstrual syndrome, sakit pada otot atau sendi, sakit gigi dan melegakan demam sahaja. Namun, pengguna dinasihatkan agar mengambil ubat mengikut dos yang telah ditetapkan seperti yang terdapat pada label ubat tersebut. Jadi, tidak menjadi satu kesalahan untuk melegakan kesakitan dengan mengambil Panadol tetapi diwajibkan mengikut arahan mengikut dos yang ditetapkan.
Untuk makluman, Paracetamol mempunyai half-life yang pendek iaitu selama 1-3 jam sahaja. Hampir kesemua Paracetamol akan disingkirkan daripada badan dalam tempoh 24jam. Half-life adalah waktu yang diperlukan oleh badan untuk mengurangkan kandungan ubat kepada separuh daripada jumlah sebelumnya. Jadi, jumlah kandungan ubat di dalam badan berkadar terus dengan jumlah ubat yang telah disingkirkan daripada badan. Jadi, half-life sangat penting untuk menentukan berapa kali ubat perlu diberikan sehari dan berapa lama ubat di dalam badan.

Penting untuk masyarakat tahu bahawa penguraian Paracetamol adalah pada hati, bukan buah pinggang. Oleh itu, mengambil Paracetamol secara berlebihan daripada dos yang ditetapkan menyebabkan pengguna mendapat kesan sampingan seperti kerosakan hati kerana hati tidak mampu menyingkirkan Paracetamol yang terlalu banyak dalam tempoh masa yang singkat.
Namun, ubat tahan sakit ini hanya diambil sekiranya perlu untuk menahan kesakitan secara sementara sahaja. Pesakit dinasihatkan agar mengambil dos yang paling rendah dan untuk tempoh yang paling singkat mengikut kesesuaian setiap individu. Sekiranya kesakitan berpanjangan, pesakit dinasihatkan agar tidak mengambil ubat secara berlebihan sebaliknya berjumpa dengan doktor untuk mengenalpasti punca kesakitan.

Kesimpulannya, tidak ada ubat yang dihasilkan oleh ahli perubatan untuk merosakkan masyarakat, sudah tentu penat lelah mereka untuk menghasilkan sesuatu ubat adalah untuk kebaikan kepada semua. Islam juga menggalakkan kita berubat mengikut Fiqh Aulawiyat yang telah digariskan.

Siti Shahirah binti Hashim,
Perubatan Universiti al-Azhar

 

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri 85

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *