PENYAKIT MIGRAIN

Migrain adalah gangguan yang kronik yang menyebabkan sakit kepala yang ringan hingga sakit kepala yang berat. Tanda migrain ialah pesakit akan berasa sakit pada separuh bahagian kepala, berdenyut selama 2 jam sehingga 72 jam dan disertai dengan mual dan muntah.
Migrain kebiasaanya sering berlaku kepada wanita berbanding lelaki. Menurut World Health Organization (WHO), pesakit yang berumur antara 18 hingga 65 tahun , 30 % daripadanya merupakan sakit kepala migrain. Ia menyerang beberapa kali dalam seminggu atau beberapa kali dalam sebulan.

Serangan migrain kerap berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia. Dilaporkan, 30 juta rakyat Amerika Syarikat menghadapi migrain. Pesakit migrain sangat sensitif terhadap bunyi, cahaya, sehingga mengalami rasa sakit dan berdenyut dalam kepala.

JENIS MIGRAIN:
1) Migrain tanpa aura – iaitu pesakit diserang migrain tanpa apa-apa tanda. Kebiasaanya pesakit telah megalami sejarah diserang migrain sebanyak 5 kali.
2) Migrain dengan aura – iaitu terdapat tanda-tanda yang dirasakan sebelum migrain seperti masalah penglihatan (kilauan cahaya pada mata), kekakuan pada leher dan kesemua anggota tubuh.
3) Aura migrain tanpa sakit kepala – hanya mengalami tanda-tanda migrain.

Dinasihatkan kepada penghidap migrain untuk berjumpa doktor jika anda telah diserang migrain lebih daripada 5 kali sebulan kerana dibimbangi menghidap penyakit yang lebih serius seperti strok atau meningitis. Elakkan daripada mengambil painkiller secara berterusan kerana ia akan lebih menyulitkan lagi kesembuhan sakit kepala walaupun ia dapat melegakan migrain.

ANTARA FAKTOR YANG MENYEBABKAN MIGRAIN:
-Kandungan tertentu di dalam makanan seperti kafein yang berlebihan, alkohol yang merangsang migrain
-Alergi terhadap makanan tertentu
-Tidak cukup cecair di dalam badan
-Terkejut dan stress
-Bunyi yang kuat atau berterusan
-Perubahan cuaca
-Kurang gula dalam darah
-Perubahan hormon (terutama wanita yang mengalami perubahan hormone ketika datang bulan)
-Genetik

Ubat untuk merawat migrain biasanya hanya memberi kelegaan yang sekejap. Oleh itu, adalah lebih baik bagi pesakit untuk mencegah daripada mengalami masalah migrain daripada mengambil ubat-ubatan.

MIGRAIN DAPAT DICEGAH DENGAN:
-Mengamalkan gaya hidup sihat seperti tidur yang cukup dan teratur, beriadah, makan makanan yang sihat, elakkan meminum minuman berkafein dan alkohol.
-Mengelakkan daripada perkara yang menyebabkan migrain seperti, stres dan makanan yang alergi dengan badan.
-Elakkan daripada mengambil ubat-ubatan tertentu, seperti ubat-ubatan yang mengandungi hormon estrogen yang ditegah terutama kepada ibu mengandung.

Cara mengubat migrain terbahagi kepada sebelum dan semasa serangan migrain. Jika berlaku sebelum migrain attack, ubat-ubat yang boleh digunakan ialah sumatripan, promethazine dan pizotifen. Jika semasa migraine attack ubat yang biasa disarankan oleh doktor ialah ergotamine. Ubat yang boleh didapati di farmasi adalah seperti ibuprofen, aspirin dan naproxen sodium. Namun, digalakkan berjumpa doktor untuk mengelakkan daripada tersalah diagnose yang menyebabkan kesan yang lebih serius.

Serangan migrain yang ringan boleh diubati tanpa memerlukan ubat. Pesakit boleh mengurangkan kesakitan dengan berehat dalam bilik yang gelap. Elakkan daripada meminum kopi dan mandi dengan air panas. Tenangkan fikiran dan elakkan daripada stres.

Ibu mengandung, terutama ketika usia trimester biasanya kerap mengalami migrain. Ini disebabkan oleh hormon estrogen dan progesterone yang tidak stabil di dalam badan. Migrain tidak menjejaskan pertumbuhan janin, namun awas, ibu yang menghidap migrain berkemungkinan mengalami masalah kesihatan seperti strok, jantung, pembekuan darah dan masalah pada saluran darah. Elakkan daripada memakan makanan yang merangsang migrain dan amalkan gaya hidup yang sihat.

Siti Shahirah binti Hashim
Perubatan Cawangan al-Azhar

Muat turunĀ PDF Risalah Kesihatan siri 82

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *