SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN

Musim sejuk mula membuka tirainya, maka terbayanglah akan suasana yang mana masing-masing meliputi badan mereka dengan pakaian tebal untuk melindungi badan dari suhu yang rendah. Perkara ini merupakan satu rutin tahunan bagi negara yang mengalami perubahan musim seperti negara-negara yang berada di kedudukan hemisfera utara dan hemisfera selatan. Negara Mesir atau Republik Arab Mesir antara negara yang mengalami musim sejuk ini. Oleh itu, sebagai mahasiswa yang berteduh di bumi perlembahan Nil ini, kita seharusnya mengetahui beberapa langkah persediaan untuk menempuhi suasana yang mana tidak kita rasai sepertimana di tanah air yang tercinta. Oleh itu, beberapa perkara penting ditekankan supaya dapat menjadi panduan bersama agar kesihatan diri terjaga dan terhindar daripada sebarang penyakit.

1. Memakai pakaian yang tebal

Pakaian yang tebal amat diperlukan untuk melindungi tubuh badan terutama pada bahagian yang sensitif terhadap suhu yang rendah. Kegagalan menyediakan pakaian yang tebal boleh menyebabkan anggota badan yang terdedah akan mengalami frostbite. Frostbite atau radang dingin merupakan satu situasi di mana saluran darah di bawah kulit mengalami kesesakan menyebabkan anggota kulit menjadi kebas dan mula mengering. Ia selalunya berlaku di bahagian yang mempunyai lapisan lemak yang sedikit seperti cuping telinga, jari tangan dan kaki serta hidung. Oleh itu, fokuskan untuk melindungi bahagian badan yang sensitif seperti dada dan bahagian yang berongga agar tidak terdedah kepada angin yang sejuk. Sebagai tambahan, memakai beberapa lapis pakaian adalah lebih efektif untuk memerangkap haba daripada memakai hanya satu baju yang tebal.

2. Banyakkan meminum air kosong

Pada musim sejuk, kita akan menyingkirkan bahan lebihan melalui air kencing. Antara sebabnya, badan tidak dapat menghasilkan peluh pada musim sejuk sedangkan bahan yang tidak diperlukan oleh badan perlu disingkirkan. Justeru, air kencing merupakan satu mekanisma dalam menyingkirkan bahan-bahan tersebut. Jadi, pengambilan air kosong yang mencukupi adalah penting untuk mengatasi badan daripada kekurangan air serta menjamin kestabilan fungsi organ di dalam badan dan mengekalkan suhu badan pada tahap yang optimum. Tahukah anda bahawa setiap 25 kilogram berat badan, anda perlu meminum seliter air bagi memastikan sistem badan berfungsi dengan baik?

3. Mengamalkan diet yang sesuai

Pengambilan makanan yang sesuai dalam menempuhi musim sejuk adalah penting untuk menstabilkan suhu badan. Hal ini kerana, makanan yang masuk ke dalam perut akan dicerna dan menghasilkan metabolisma yang tersendiri. Setiap metabolisma yang berlaku akan menghasilkan haba seterusnya dapat menaikkan suhu badan dan mengekalkan keseimbangan suhu dalam badan. Kesan pengambilan makanan mampu meningkatkan suhu badan sehingga 8% dan ia bergantung kepada jenis kelas makanan yang diambil. Makanan yang kaya dengan protein akan menghasilkan penghasilan haba yang paling tinggi antara kelas makanan yang lain.

4. Elakkan mandi menggunakan air panas secara mengejut

Bagi mahasiswa yang tidak tahan dengan air yang terlampau sejuk, elakkan mandi menggunakan air panas secara mengejut. Pada logiknya anda akan merasa lega, tetapi perbuatan seperti ini akan mengundang kejutan dalam sistem badan. Tekanan darah berkemungkinan akan jatuh disebabkan tindak balas pengembangan saluran darah secara tiba tiba. Justeru, mulakan basuhan pertama menggunakan air panas pada kaki sebelum disusuli dengan basuhan yang berperingkat ke seluruh badan.

5. Sediakan ubat-ubatan yang secukupnya

Sebagai persiapan bagi sebarang kemungkinan, anda dinasihatkan supaya menyediakan atau mengetahui ubat-ubatan yang diperlukan sekiranya berlaku masalah kesihatan dalam tempoh ini. Kebiasannya, ramai dari kalangan mahasiswa mengalami demam, selesema, batuk dan sakit tekak. Penyakit ini perlu di rawat dengan segera agar tidak mengganggu fokus pembelajaran di kuliah. Ubat-ubatan boleh didapati di mana-mana farmasi yang berdekatan atau terus ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Tidak dilupakan, sediakan losyen atau krim yang sesuai untuk memastikan kulit lembab dan tidak berlaku kekeringan untuk mengelakkan daripada frostbite berlaku.

Tuntasnya, persiapan yang rapi perlu dilakukan agar kesihatan diri terpelihara dan urusan harian dapat berjalan dengan lancar. Apabila kesihatan terganggu, maka banyak perkara yang pada asalnya dapat dilakukan menjadi terbatas. Sedarilah, kesihatan merupakan antara nikmat yang terbesar di dalam kehidupan setiap manusia. Rasulullah SAW bersabda di dalam satu hadis mafhumnya “Dua nikmat yang sering dilupakan kebanyakan dari manusia, kesihatan dan masa lapang”. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik kepada kita agar dapat meneruskan Ibadah dan ketaatan sebagai hambaNya.

Selamat meghadapi musim sejuk!

Muhammad Safwan bin Khairul Anwar,
Kuliah Perubatan Universiti Al-Azhar.

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri 87

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *