SEMANIS GULA

Gula merupakan salah satu sumber makanan yang penting bagi manusia terutamanya masyarakat Melayu, lebih-lebih lagi rakyat Kelantan yang terkenal dengan pelbagai makanan manis. Buktinya, gula menjadi salah satu sumber makanan terkawal di Malaysia. Namun begitu, ramai daripada kita tidak menyedari konsumsi gula yang berlebihan membawa banyak kemudaratan kepada sistem tubuh badan. Sebagaimana menjadi kewajipan kepada seorang ahli perubatan menerangkan cara menjaga kesihatan kepada masyarakat, begitu juga menjadi kewajipan kepada setiap hamba yang Muslim menjaga segenap inci amanah Allah S.W.T kepadanya. Mari kita berkenalan dengan sumber makanan harian kita iaitu GULA.

Apa itu gula?
Gula merupakan sumber karbohidrat yang membekalkan tenaga kepada tubuh manusia. Secara umumnya gula dipanggil ”gula” akan tetapi terdapat pelbagai jenis gula iaitu :
a) Sukrosa – Gula yang kita gunakan di dalam masakan. Biasanya ia diekstrak daripada tebu dan secara amali buahbuahan dan sayur-sayuran.
b) Fruktosa dan Glukosa – Terdapat di dalam buah-buahan, sayuran hijau dan madu.
c) Laktosa – Terdapat di dalam susu dan makanan bersusu.
d) Maltosa – Terdapat di dalam makanan-makan yang di peram.

Gula sifatnya manis dan memaniskan. Gula makan yang selalu kita guna untuk masakan atau minuman diekstrak daripada tebu dan mengandungi 99.95 asli sukrosa. Sebenarnya gula makan tidak mempunyai sebarang bahan pengawet atau bahan tambahan yang merbahaya. Gula yang kita ambil mempunyai nutrisi yang sama dengan sukrosa yang terdapat di dalam buah-buahan. Untuk mengenalpasti kandungan gula pada label makanan, gula boleh di senaraikan sebagai sucrose, fructose, manitol, corn syrup, honey,malt, golden syrup dan inverted sugar.

Bagaimana gula dapat memberi kesan kepada tubuh badan kita?
Gula sangat penting kepada tubuh kita untuk menghasilkan tenaga bagi melakukan akiviti seharian. Akan tetapi, Allah SWT telah mengajar kita untuk mengambil setiap sesuatu secara bersederhana dan tidak berlebihan. Pengambilan gula secara berlebihan akan memberi kesan yang sangat banyak kepada tubuh badan bahkan boleh membawa kepada penyakitpenyakit yang kronik.

Pengambilan gula yang melangkaui had keperluan boleh mengakibatkan penghasilan tenaga yang berlebihan. Penghasilan tenaga yang berlebihan dalam masa yang panjang boleh meningkatkan berat badan dan menyebabkan obesiti. Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya diet harian adalah tinggi lemak dan kurangnya aktiviti fizikal yang di lakukan. Obesiti boleh mengakibatkan datangnya penyakit-penyakit sampingan yang berbahaya seperti diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.

Antara kesan lain daripada pengambilan gula yang berlebihan adalah :-
a) Merosakkan jantung – pada tahun 2013, Jounal of American Heart Association telah membentangkan bukti bahawa kandungan gula iaitu sejenis molekul yang di kenali glucose metabolite glucose 6-phosphate (G6P) boleh mengubah protein otot jantung kita. Ini boleh membawa kepada kegagalan jantung untuk berfungsi.
b) Membunuh secara diam – bunyi menyeramkan bukan? Gula yang berlebihan akan menyebabkan halangan kepada Leptin. Leptin adalah hormon yang akan memberi maklumat kepada otak kita jika kita telah menerima makan yang secukupnya. Dengan berkurangnya Leptin, otak kita tidak menerima maklumat bahawa makanan telah cukup menyebabkan kita akan terus mengkonsumsi terus makanan dan akan menyebabkan obesiti.
c) Melemahkan otak – gula yang berlebihan akan mempercepatkan penuaan sel termasuk sel-sel di dalam otak. Penuaan sel otak akan menurunkan fungsi ingatan dan kecekapan fikiran.

Banyak lagi kesan-kesan lain yang tidak dinyatakan di sini. Saya menggalakkan pembaca mencari sumber-sumber luar bagi mengetahui lebih lanjut tentang kesan pengambilan gula secara berlebihan.

Pasti anda tertanya-tanya, berapa banyak sukatan gula yang dapat kita ambil?
World Health Organization (WHO) 2013 telah menyarankan agar pengambilan gula tambahan tidak melebihi 10% daripada jumlah tenaga harian. Oleh itu, bagi orang dewasa, purata pengambilan gula hendaklah tidak melebihi 10 sudu teh sehari (50g)

Di sini saya menyatakan beberapa saranan untuk membantu kita memastikan kadar pengambilan gula seharian kita lebih terkawal.
1) Makan makanan yang rendah gula dengan menggantikan kuih muih yang manis dengan buah-buahan segar. Selain itu, elakkan mengambil makanan yang bergula di antara waktu makanan utama dan sebelum tidur. Semak dahulu kandungan gula pada ramuan sesuatu produk makanan. Jika gula tersenarai di bahagian awal ramuan, ini menunjukkan gula menjadi komponen utama makanan tersebut.
2) Lebihkan pengambilan air kosong berbanding air yang bergula atau air berkarbonat. Hadkan pengambilan gula atau susu pekat manis kepada satu sudu teh sahaja setiap hidangan.

Oleh itu, kita selaku mahasiswa Mesir sebagai penyambung risalah Nabi Muhammad S.A.W dan juga sebagai seorang hamba, menjadi tanggungjawab kita menjaga kesihatan sebagai amanah daripada Allah SWT yang tidak dapat di tukar ganti ini. Hargailah nikmat sihat sebelum sakit, anda adalah apa yang anda makan.
Kearah hidup yang lebih sihat!!

Fatnin Afiqah binti Sa’adun.
Perubatan, Al-Azhar, kaherah.

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri 71

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *