ULAMAK ‘RICE COOKER’, BAGAIMANA DENGAN KITA ?

Sabda Nabi Sallalllahu Alaihi Wasallam

“Celakalah bagi ummatku yang terdiri dari kalangan ulama’ Suu’ sedang mereka adalah golongan yang menggunakan ilmu mereka untuk mendapatkan dunia dan mencapai kemegahan dan kedudukan’”

Rujuk Faidhul Qadir, Jilid ke 6 . Muka surat 369

Tersentak diri seketika apabila seorang sahabat mencadangkan agar istilah ‘Ulamak Rice cooker’ yang diperkenalkan oleh Ustaz Nasaruddin Tantawi dalam blognya dijadikan tajuk artikle Fajar Jumaat. Bertanya saya pada diri apakah benar wujud dalam dunia fitnah hari ini ‘ulamak rice cooker’? Adakah saya dan sahabat-sahabat Azhari juga tidak terlepas daripada cengkaman duniawi ini?

Lantas saya simpulkan dalam hati dan minda sedar, dek kerana kita hidup dan berdepan dengan suatu zaman yang nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sifatkan sebagai zaman Islam kembali dagang, maka tidak salah untuk saya membawakan istilah ini untuk menjadi tatapan bakal-bakal ulamak warga Kelantan Mesir. Bukan menuduh mahupun menghina tapi suka saya katakan setelunjuk jari ini menunding ke hadapan empat yang lain kembali pada diri. Rasa gerun hadir tersisip jauh di lubuk hati, takut-takut artikle ini disalah erti, apatah lagi menyedari akan diri belum layak digelar Azhari.

Apa pun saya optimis untuk berkongsi rasa dan harapan agar sama-sama kita pastikan digniti diri dan martabat ulamak tidak dikotori. Sudah tiba masanya kita meletakkan dalam hati sanubari kita hakikat ‘izzahnya diri dek kerana ilmu dan gelaran ulamak yang terpundak sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud :

“Allah mengangkat darjat orang yang beriman di antara kamu dan darjat orang-orang yang berilmu beberapa darjat”
(Al-Mujadalah : 11)

Namun begitu pada masa yang sama juga, rasa izzah berilmu sepatutnya menjadikan kita manusia paling tawadhuk di lapangan dakwah dengan menyingsing lengan, bermandi keringat demi memastikan agama Allah mandiri di atas muka bumi ini. Firman Allah Subhanahu Wata’ala

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hambaNya adalah ulamak“
(Faathir : 28)

Justeru, ‘ulamak rice cooker’ yang cuba dibangkitkan dalam penulisan kali ini sebagaimana yang ditakrifkan oleh ustaz Nasaruddin Tantawi sebagai ulmak yang zahirnya kelihatan hebat berilmu
namun lemah jiwanya. Bukan sahaja ia tidak mampu berkata hei si zalim ! kepada mereka yang berlaku zalim, malah ilmu dan segala pengiktirafan (sijil) kesarjanaannya dijadikan peluang dan anak tangga untuk mencapai perolehan lumayan sehingga tergamak ia mendiamkan diri terhadap penyelewengan, maksiat dan mungkar yang berlaku di hadapannya.

Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam :
“Apabila engkau melihat ummatku takut maka tidak berani berkata kepada orang yang berlaku zalim , wahai si zalim maka diucap selamat tinggal daripada mereka”

Riwayat al Hakim di dalam al Mustadrak Juzuk 4 . Muka surat 108 Cetakan darul Kutub al I’lmiyyah Beirut

Sedar atau masih mamai, suka atau benci akan hakikat staffing diri dalam entiti masyarakat selaku ulamak, seharusnya membawa kita menyedari akan izzah ilmu yang dimiliki. Natijahnya menjadikan kita lebih berwaspada dan peka dengan apa yang berlaku seputar, lebih-lebih lagi apa yang berkait dengan Islam dan umatnya.

Justeru, ‘Ulamak Rice Cooker’ sepatutnya dijadikan garis sempadan sedar dan insaf akan taklifan diri. Lantas, ia sepatutnya tidak lagi menjadikan kita asyik, alpa dan leka dengan dunia yang kita cipta sendiri dengan konsultan tatariasnya adalah syaitan.

Berfikir saya sejenak ketika hampir separuh melakar setip bait kata dengan istilah yang mengkesikkan telinga selaku bakal ulamak atau paling tidak dikatakan berkelulusan agama. Bagaimana mungkin saya tegar meningggalkan artikle ini disalah erti tanpa saya mengemukakan pandangan ulamak atau paling tidak menunjukkan jalan keluar agar penangan ‘ulamak rice cooker’ tidak terpalit pada semua bakal ulamak Azhari.

Justeru, saya kemukakan pandangan Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya yang menjadi rujukan ulamak murabbi “Apa Ertinya Saya Menganut Islam, dalam ‘item’ saya mestilah dapat menguasai diri” yang saya rasakan mampu menjadi penawar kemandoman momentum dakwah dan ulamak hari ini. Bukan menuduh apa lagi menghina-caci-maki tetapi inilah hakikat yang tersirat di benak minda masyarakat yang membarah dan seakan hilang rasa percaya apatah lagi ulamak muda seperti kita hari ini.

Saya ringkaskan pandangan ustaz Fathi Yakan sebagaimana Berikut :
Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam
“Fitnah cubaan akan dibentangkan kepada manusia seperti tikar, satu demi satu. Mana-mana hati yang dipengaruhinya tercatitlah di hati itu suatu titik hitam. Manamana hati yang mengingkarinya tercatitlah pada hati itu satu titik putih, hinggalah hati itu menjadi salah satu dari dua jenis hati ; samada putih seperti batu putih yang tidak akan dicacatkan oleh sebarang fitnah atau menjadi hati yang hitam pekat, tidak mengenal maaruf dan mengingkari sebarang kemungkaran”
(Hadis Riwayat Muslim daripada Hudzaifah Ibn Yaman)

Justeru, beliau membahagikan perbincangan kepada 2 skop iaitu :
1. Pembahagian golongan manusia dalam menghadapi pertarungan jiwa.
i) Golongan yang dapat ditewaskan oleh hawa nafsu dan tunduk kepada kemewahan dunia dan kekal dalam keduniaan
Ii) Golongan yang berjihad melawan hawa nafsu, terkadang menang dan ada masanya tewas namun sentiasa bertaubat.
iii) Golongan maksum iaitu nabi dan rasul

2. Sendi kekuatan dalam pertarungan jiwa
i) Hati – hati yang hidup, lembut, bersih dan cekal sebagaimana kata-kata Saidina Ali Karramallahu wajhah :
“Allah mempunyai bejana di bumi, iaitu hati. Hati yang Allah paling kasihi ialah hati yang paling lembut , bersih dan cekal”
ii) Akal – Akal yang dipandu petunjuk Ilahi dan dapat membezakan antara hak dan batil serta mampu memadu jasad untuk melahirkan deklarasi akal melalui perantara samada lisan mahupun bukti.

Tuntasnya, ‘Ulamak Rice Cooker’, bagaimana dengan kita? Lantas, mana mungkin mampu kita lawan fitnah dunia tanpa kita perkasakan jiwa dan himmah diri. Pastikan diri tidak berseorangan kerana ‘kambing yang jauh daripada kumpulan akan mudah dimakan serigala’. Lantas pastikan kesatuan dan kebersamaan kita dalam menongkah arus fitnah selaku ulamak muda, pelapis ulamak yang bermaruah dengan sentiasa paksikan iman di hati dan ingat mengingat sesama kita, bakal ulamak Azhari.

MUHAMMAD NAJID BIN ABDULLAH
KULIAH SYARIAH ISLAMIAH, KAHERAH

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 326

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *