VITAMIN LARUT LEMAK

Dalam usaha mengamalkan gaya hidup yang sihat, keseimbangan diet haruslah dipertimbangkan oleh masyarakat terutamanya golongan mahasiswa. Pengambilan makanan yang berunsur vitamin antara satu langkah untuk mengekalkan dan menstabilkan kesihatan badan. Secara lebih terperincinya, fungsi vitamin diklasifikasikan mengikut jenisnya dan struktur yang membentuk vitamin tersebut dari segi kimia. Vitamin terbahagi kepada dua jenis yang utama iaitu vitamin larut lemak dan vitamin larut air. Apakah perbezaannya? Kedua-dua adalah vitamin namun vitamin larut air mudah diserap di dalam badan manakala vitamin larut lemak memerlukan bantuan daripada jus hempedu untuk dapat diserap ke dalam badan. Di samping itu, vitamin larut air dinyahtinja dari badan lebih cepat dari vitamin larut lemak.

Apakah vitamin larut lemak? Definisi secara mudah ialah vitamin yang larut di dalam lemak dan tidak larut dalam air. Apakah vitamin-vitamin itu? Vitamin yang tergolong dalam kategori ini adalah Vitamin A, D, E dan K. Kesemua vitamin yang dinyatakan amat mudah dijumpai kerana ia berasaskan binatang dan sedikit daripada tumbuh-tumbuhan. Berikut adalah sumber, fungsi dan kesan kekurangan pengambilan vitamin bagi setiap vitamin larut lemak:

VITAMIN A
Sumber bagi vitamin A adalah lobak merah dan tomato. Pengambilan vitamin A yang mencukupi dapat membantu mata untuk penglihatan yang normal. Kekurangan vitamin ini antara penyebab kepada penyakit rabun malam.

VITAMIN D
Vitamin D amat kaya di dalam telur dan hasil tenusu. Mendedahkan kulit kita kepada pancaran cahaya matahari atau dikenali sebagai sinaran ultraungu amat membantu dalam proses pematangan vitamin D. Ia berperanan menguatkan tulang-tulang badan seterusnya membina struktur badan yang kukuh dan kuat. Tanpa pengambilan vitamin D, badan manusia itu akan berisiko untuk menghadapi pelbagai penyakit yang berkaitan dengan tulang seperti ‘Osteoporosis’ di mana tulang menjadi poros.

VITAMIN E
Sayur-sayuran kebanyakannya mengandungi kandungan Vitamin E yang tinggi. Pengambilan sejumlah makanan yang mengandungi Vitamin E berupaya mencegah kandungan lemak daripada menjadi toksik di dalam badan. Ia juga memainkan peranan dalam mencegah penyakit jantung yang berbahaya melalui mekanisma yang tersendiri. Mengabaikan pengambilan vitamin ini merupakan salah satu kepada penyakit Anemia iaitu kurang kandungan darah merah di dalam badan.

VITAMIN K
Vitamin K merupakan salah satu elemen penting dalam proses pembekuan darah. Tanpa kehadiran Vitamin K, faktor-faktor pembekuan darah tidak dapat diaktifkan dan tidak dapat melakukan pembekuan darah. Ia amat mudah didapati juga di dalam sayur-sayuran dan tumbuh-tumbuhan.

Tuntasnya, pengambilan diet yang ideal adalah dengan menyertakan dengan kehadiran vitamin agar fungsifungsi badan dapat berjalan dengan mekanisma yang teratur seterusnya kesihatan kita dapat dijaga dengan baik. Dengan itu, kita dapat lebih mudah untuk menjalankan ketaatan kepada Allah S.W.T. sekian.

Muhammad Safwan bin Khairul Anwar,
Perubatan Universiti al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri 81

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *