AL-ARQAM; SEBUAH PENILAIAN (SIRI 1)

Pengenalan al-Arqam
Al -Arqam merupakan sebuah fahaman (aliran pemikiran, bukan sebuah agama) yang menyerapkan pengamalan dan nilai (akhlak) tasawwuf tanpa menekankan aspek syariat (fiqh dan hukum hakam sekitarnya) yang sebenar (berdasarkan disiplin-disiplin tertentu) dan keshahihan ilmu (aspek penerimaan ilmu dan kaedah-kaedahnya dalam berhujah atau berpegang).
Di sini, saya cuba menggunakan pemikiran yang pertengahan di dalam membuat dan menghasilkan keputusan yang akan dipertimbangkan sendiri oleh pembaca.Antara yang perlu diberi perhatian di dalam penyampaian ilmu samada berbentuk naqli ataupun aqli, di sana terdapat beberapa kaedah yang sepatutnya dijaga dan dipelihara di dalam proses tersebut. Setelah kita meneliti semua penulisan, penyampaian, rakaman mahupun pertuturan, kita akan mendapati beberapa masalah di dalam pembahagianpembahagian berikut. Antaranya:-
Penggunaan Dalil al-Arqam@Rufaqa’ di Dalam Berhujah atau Beri’tikad

1)Penggunaan dalil al-Quran
Kebanyakan pertuturan, uslub dan sebagainya kurang disandarkan kepada dalil al-Quran. Ia banyak bersandarkan kepada tasawwuf semata-mata, dan nilai-nilai murninya. Sedangkan al-Quran sendiri lebih mengetengahkan dan menjelaskan uslub tersebut.
Selain itu, penggunaan dalil al -Quran sebagai hujah amat lemah, walaupun ada beberapa penggunaannya, namun masih tidak mengikut kaedah tafsir yang sebenar. Di dalam penafsiran al Quran, al-Arqam juga agak kurang menggunakan tafsiran ulama’ulama’ yang muktabar dan lebih tepat dengan kehendak ayat.
Dalil -dalil al-Quran lebih banyak dan jelas di dalam persoalan Hari Kiamat, tetapi penggunaannya di dalam sebaran pegangan mereka agak berkurangan. Sekiranya mereka dikatakan sebagai pakar Ilmu Akhirat sekalipun, mereka sepatutnya lebih menonjolkan dalil-dalil al-Quran terlebih dahulu. (Sila rujuk kitab an-Nihayah Fi al-Fitani Wa al-Malahim, an-Nihayah Bidayah Wa an-Nihayah, Ibnu Kathir, asShohih al Musnad Fi Ahadithi al-Fitani Wa al Malahimi Wa Asyratu as-Sa’ah, Mustafa bin al-Adawiy dan banyak lagi). 2)Penguasaan Ilmu Hadith

Ilmu Hadith atau disebut Ulum Hadith atau Mustolah Hadith yang sangat penting di dalam pemahaman dan penggunaan hadith sebagai hujah. Kebanyakan hadith yang menceritakan tentang Hari Kiamat dikategorikan sebagai Hadith Ahad. Namun penggunaannya sebagai hujah dan pegangan diakui oleh kebanyakan ulama’, seperti Imam Shayuti, Tadribu ar-Rawiy dan disyarahkan oleh Dr Umar Hasyim, Syeikh Hassan Sagaf, Syarh Aqidah Thohawiyah dan banyak lagi.
Namun begitu, hadith -hadith yang berkaitan dengan Bani Tamim, hampir keseluruhannya dho’if (disebut di dalam Kitab al-Fitan, al Imam al Hafiz Nu’aim bin Hammad bin Mu’awiyah bin al Harith al Khuza’ie al Marwazi. Sepanjang pengkajian saya berkenaan hadith Bani Tamim, saya belum menemui Hadith Shahih yang jelas di dalam bab ini)
Hadith dho ’if telah disepakati oleh ulama’-ulama’ hadith bahawa ia tidak boleh dijadikan hujah, apatah lagi di dalam bab Akidah. (Sila rujuk kitab-kitab ini di dalam perbahasan Hadith Dho’if, Tadribu ar-Rawiy, Imam Syayuti, Nukhbatul Fikr, Ibnu Hajar alAsqolani, Mukaddimah Ibnu Solah, Mukaddimah Majmu’ dan banyak lagi).

3)Pemahaman hadith Di dalam pemahaman al Arqam@Rufaqa’ terhadap hadith Nabi SAW, mereka boleh dikategorikan sebagai seorang yang tersilap di dalam membuat penafsiran tersebut, kerana kaedah-kaedah yang telah digariskan oleh ulama’-ulama’ (al muhaddith, al hafiz, al Hujjah, al Hakim dan amirul mu’minin).
Mereka agak lemah di dalam memahami dan perbandingan hadith. Contohnya di dalam hadith Bani Tamim sendiri, menyebut bahawa kemunculan golongan ini di “timur” (hadith no. 852, sanadnya dho’if, Kitab al-Fitan, al Imam al Hafiz Nu’aim bin Hammad bin Mu’awiyah bin al Harith al Khuza’ie al Marwazi. Ditakhirjkan oleh Abu Amru ad-Dani 5/546, Ibnu Abi Ashim Sunnah 2/633, Ibnu Majah 4082, al Bazar 1/246, Ibnu Abi Syaibah Musannif 7/527, at Thobroni 10/85 dan Hakim 4/464. Sanad lemah pada Yazid bin Abi Ziyad). “ Timur” yang dimaksudkan di sini ialah Afrika (perkataan umum, mungkin boleh dikatakan sebagai negara di Afrika, Raja di Benua Afrika dan sebagainya) tetapi ia bukanlah Negara Malaysia sepertimana yang ditafsirkan oleh alArqam@Rufaqa’. (Pandangan ini telah di dinyatakan oleh Abu Qubail di dalam Kitab al-Fitan 4/215 dan telah disebut juga oleh Imam Syayuti di dalam Kitab al Hawi 2/68).
Selain itu, Dr Mustafa Murad (PhD Dakwah Universiti al-Azhar di dalam kitabnya Nihayatul Alam) mentafsirkan hadith tentang kemunculan mereka di Timur ialah negara Islam di sebelah tengah Asia, contohnya Negara Afghanistan, Daghastan, Turkistan, Tarjikistan, Turkimanistan, Pakistan, Bukharistan dan Checnya. (Dr Mustafa Murad, Nihayah al Alam, ms 151).

Kesimpulan
Al -Arqam@Rufaqa’ masih lemah di dalam aspek memberi hujah atau berpegangan dengan dalil. Apa yang dinyatakan di sini, banyak dirujuk berdasarkan perbandingan yang dibuat berdasarkan kitab-kitab hadith. Kebanyakan sebaran fahaman ini, tidak disandarkan kepada ulama’ulama’ yang sepatutnya. Mereka hanya bersandarkan dalil yang dibawa di dalam perjumpaan mereka semata-mata tanpa mengkaji secara mendalam perkara dan perbandingan tersebut.
Kelemahan ini jelas kelihatan, walaupun golongan Tabligh juga menggunakan Hadith Dh’oif sebagai amalan dan menyampaikan hadith tanpa mempelajarinya (hanya di dengari), namun golongan ini tidak mengeksploitasikannya di dalam aspek Akidah.
Masalah ini jelas kelihatan pada al-Arqam@Rufaqa’ yang “berpegang” dengan dalil-dalil dho’if dan berhujah dengannya. Selain itu, mereka banyak menaqalkan hadith berdasarkan apa yang didengari tanpa mempelajari hadith tersebut. Ini akan menyebabkan banyak kesilapan makna dan tiada pertimbangan dengan hadith-hadith lain.

bersambung………….

MUHAMMAD MUJAHID BIN MOHD FADZIL
KULIAH USULUDDIN, KAHERAH

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 340

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *