KEAGUNGAN DAN KEKUATAN UMAT ISLAM

Alhamdulillah syukur kepada Allah Subhanahu Wataala yang mempertemukan kita dalam ruangan yang ringkas ini. Satu ruangan yang bukan sahaja untuk melihat dan mencerminkan diri kita bahkan satu ruangan untuk mempersada sejarah kita dan umat Islam. Tidak salah untuk belajar sejarah dan tidak salah untuk berbangga dengan sejarah, namun peristiwa semalam adalah suatu yang telah berlalu, yang penting bagi kita adalah merencana masa depan yang lebih bermakna.

Apakah ertinya Islam telah menguasai dua pertiga dunia kalau hari ini kita tidak boleh menguasai apa-apa pun? Apakah perlu kita berbangga dengan nobatan sejarah kegemilangan Islam yang pernah mewujudkan sebuah empayar besar kalau sekiranya hari ini kita tidak melakukan sesuatu untuk mendapat kecemerlangan. Sejarah menunjukkan kepada kita bahawa semuanya itu sebagai iktibar dan pengajaran bagi menilai kembali apakah yang mereka lakukan sehingga mereka telah mencapai satu tamadun keagungan yang amat dihormati dan disegani.

Untuk melihat keagungan mereka, kita harus mengkaji secara meyeluruh apakah yang ada pada generasi awal. Pengkajian kita tentulah tidak boleh menepikan wahyu Allah Subhanahu Wataala dan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Ini kerana penafian kepada sumber-sumber ini membawa erti bahawa kita hanya melihat kepada latar belakang yang zahir semata-mata.

Ada orang yang melihat kekuatan empayar Melaka di zaman Kesultanan Melayu Melaka kerana ada kapal yang baik, tentera yang canggih dan sebagainya. Namun apakah benar kenyataan ini? Betulkah dengan kekuatan fizikal sahaja menyebabkan mereka terkenal? Sepanyol sebuah negara yang unggul di suatu masa pemerintahan islam. marilah kita lihat dan memandang dalam pengkajian kita dengan beberapa unsur kekuatan yang disebutkan oleh Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis:

“Generasi ini akan berjaya, generasi awal akan berjaya”

Kata Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lagi “Mereka telah berjaya disebabkan oleh yakin mereka dengan islam (bil yakin) kerana keyakinan mereka, keyakinan dengan Allah Subhanahu Wataala, keyakinan dengan balasan dan janji Allah, keyakinan dengan perjuangan Islam, keyakinan untuk menengakkan satu sistem dan daulah, keyakinan mereka tentang azab neraka, keyakinan mereka tentang balasan kepada orang yang durhaka kepada Allah Subhanahu Wataala”.

Bentuk-bentuk keyakinan yang tergambar daripadanya boleh disimpulkan sebagaimana berikut :

1. Kecintaan kepada Allah Subhanahu Wataala dan RasulNya.

2. Ketakutannya kepada kemurkaan Allah yang membawa mereka kepada usaha untuk mencari keredhaanNya

Sebilangan manusia apabila kita menyebut tentang keredhaan Allah Subhanahu Wataala mereka menganggap ini urusan agama dan nilai-nilai spitual kitab konservatif.

Keredhaan Allah Subhanahu Wataala bermaksud melakukan sesuatu perkara yang Allah redha kepada kita dan sudah tentulah perkara itu baik. Begitu juga dengan manusia, samada muslim atau non-muslim. Sejarah telah mencatatkan sewaktu Islam sampai dan menguasai Mesir, sistem pemerintahan di Mesir bertukar kepada sistem pemerintahan Islam sedangkan rakyat mesir ketika itu menjoritinya bukanlah beragama Islam.

Amru Al-Asr telah dilantik sebagai gabenor di Mesir dan beliau sangat dihormati. Ini dapat disaksikan apabila golongan bukan Islam redha, harmoni bersama di bawah satu sistem yang tidak mengira bangsa, warna kulit, agama, bahkan memberi kebebasan untuk setiap agama mengamalkan perinsip agama masing-masing. Dalam masa yang sama ia tidak mendorong kepada nilai-nilai yang tidak baik. Justeru, apa yang penting bagi kita ialah untuk melihat kembali sejauh manakah bentuk dan nilai-nilai ini dapat kita contohi.

Secara umumnya, sebagai umat Islam kita memiliki lima kekuatan. Lantas ia mestilah digarap dengan baik lantaran menyedari bahawa kebimbangan negaranegara barat terhadap dunia Islam disebabkan lima perkara ini. Ia dapat diringkaskan sebagaimana berikut :

1. Bilangan umat islam yang ramai. Kita harus mengakui bahawa umat islam bertaburan diseluruh dunia, di barat di utara di timur dan di selatan. Bilangan umat Islam yang ramai ini merupakan satu elemen kekuatan. Walau bagaimana pun kita harus mengakui juga bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah memberikan amaran, ramainya umat Islam akhir zaman seperti buih dilautan, bertaburan tanpa kesatuan.

2. Sumber galian dan bahan mentah yang banyak Seluruh unsur-unsur dan sumber-sumber kekuatan dunia sebahagian besarnya berada di negara umat Islam seperti minyak, getah, kelapa sawit, gas asli dan banyak lagi bahan galian lain yang terdapat di negara Islam. Justeru semua hasil-mahsul berharga ini merupkan kekuatan yang luar biasa jika dieksploitasi dengan baik dan diurus dengan sistematik. Jika dicongak taksir dengan mudah sumber galian ini mampu berfungsi sebagai senjata yang ampuh untuk menawan dan mengatasi negara barat. Seminggu sahaja negara Islam menghentikan bekalan ke Eropah, negara ini akan gelap dan kita harus akui hakikat tersebut. Namun semuanya hanya mimpi semata seandai umat Islam masih lena dalam tipu daya negara kuasa besar masih mengharap teknologi mereka.

3. Sebahagian besar negara-negara Islam berada di tengah-tengah dunia. Ini dapat disaksikan apabila kita melihat kepada peta dunia. Ia benar-benar strategik dengan koordinat bertaburan dikelilingi negara-negara bukan Islam. Ini memberikan negara-negara Islam bonus dan merupakan satu eleman kekuatan. Serentak dengan itu kaabah yang berada di makkatal mukarramah menjadi pusat yang paling strategik dengan menjadi titik pertemuan dalam jaringan koordinasi jalan perhubungan dunia.

4. Seluruh perairan antarabangsa sebahagian besarnya melalui negara-negara Islam dan ini merupakan peluang keemasan bagi umat Islam untuk meawan hati manusia kembali kepada Islam sebagaimana sejarah pengislaman di nusantara suatu masa dahulu.

5. Hari ini umat islam juga telah mununjukkan satu ledakkan sedar baru, iaitu kesedaran bahawa betapa rosaknya nilai-nilai ideologi yang tidak berperinsipkan islam walau apa jua istilahnya samada sekulerisme, komunisme, sosialisme dan sebagainya. Lantaran itulah manusia kembali membuka mata dan mengagumi Islam.

Justeru, merujuk kepada sinopsis kajian dari barat, mereka menyebut satu perkara umat islam tidak ada hari ini iaitu Salahuddin Al-Ayubi yang kedua. Andainya muncul Salahuddin Al-Ayubi yang kedua, maka nescaya waktu itu umat Islam mampu menggarapkan kelima-lima kekuatan yang mereka ada. Natijahnya Islam akan bangun sebagai kekuatan yang luar biasa dan memberi ancaman kepada kuasa-kuasa besar barat.

Namun ini tidak bermakna Islam mengajak berperang dan membunuh sesuka hati. Sebaliknya Islam mengajar pendamaian. Islam mengajar hubungan yang baik dengan jiran tetangga berlandaskan prinsip.-prinsip tertentu selagimana hubungan kekuatan tersebut tidak sampai menjatuhkan martabat Islam dan menghina syariat.

Sebagai contoh yang lain, kita mampu bersabar namun sabar manusia ada hadnya. Justeru had dan batasan bagi orang mukmin adalah redha Allah Subhanahu Wataala kerana muslim yang benar meletakkan sepenuh pengharapan kepada Allah Subhanahu Wataala di atas segala usaha dan amalnya akan mencapai redha Allah Subahanahu Wataala. Sebaliknya ia tidak mengharapkan redha makhluk.

Maka marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan martabat diri agar menjadi muslim yang benar-benar kasih dan cinta kepada Allah Subahanahu Wataala. Justeru, muslim yang baik adalah muslim yang benarbenar mencintai Allah dan RasulNya.

AHMAD ZIAD FAHMI BIN SHAFIE

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 330

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *