KEBINASAAN LIDAH

Sabda Rasulullah sallahu alaihi wasallam : “ Tidaklah hasil tuaian lidah manusia itulah yang telah menghumbankan muka mereka ke dalam neraka ? ”

Disebalik kecilnya lidah kita yang diciptakan oleh Allah Taala, disana tersimpan pelbagai peranan yang besar yang mesti diketahui oleh sesiapa yang memiliki anggota unik tersebut. Yang demikian ini dalam soal keimanan dan kekufuran akan seseorang tidak dapat diketahui dan tidak boleh dikenal pasti melainkan dengan kesaksian lidah . Dengan disebabkan lidah yang tidak bertulang itu boleh membawa manusia ke lembah kebinasaan dan kejahatan. Begitu juga sebaliknya, ia boleh membawa manusia ke jalan kebaikan dan kebahagiaan.

Sesungguhnya ia merupakan salah satu senjata dan wasilah syaitan untuk menipu manusia dan mengajak mereka ke lembah kemusnahan dan kerugian. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Sufyan dari ayahnya, dimana ayahnya berkata :

“ Aku berkata : Wahai Rasulullah ! Khabarkan kepadaku tentang Islam akan sesuatu hal, dimana aku tidak akan bertanya lagi tentang itu kepada seseorang sesudah Engkau.’ Maka Rasulullah sallahu alaihi wasallam menjawab : “ Katakanlah ! Aku beriman dengan Allah. Kemudian engkau berpendirian teguh.’ Lalu Aku bertanya lagi.’ Apakah yang perlu Aku pelihara ?’. Maka Nabi sallahu alaihi wasallam menunjukkan dengan tangannya kepada lidahnya.” ( Riwayat Tirmidzi )

Bahaya lidah itu terlalu besar. Tidak selamat dari bahayanya melainkan dengan diam atau berkata-kata dengan kebaikan. Sebagaimana Abu Hurairah berkata, Rasulullah sallahu alaihi wasallam bersabda :
“ Barang siapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau dia diam. ” ( Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga Ibn Thaus berkata : “ Lidah ku itu umpama binatang buas. Jikalau aku lepaskan, nescaya ia memakan aku.”Di dalam hal ini, timbul persoalan mengapa begitu sekali dianjurkan sifat menzipkan mulut dari banyak bercakap atau katakata, seolah-olah mempunyai kelebihan dan hikmah yang tersendiri ? Sememangnya jawapan sudah terukir kemas di dalam benak fikiran sahabat-sahabiah semua. Pendek kata, banyak yang silap berbanding yang sebaliknya. Akan tetapi amat berutung dan bahagia bagi mereka yang sentiasa memelihara dan menahan lidahnya dari terjebak pada pembohongan,mengumpat, nifaq, perkataan yang keji, perbantahan ,
permusuhan, menyakiti orang lain dan perbuatan yang sia-sia.

Dalam hal ini, Hujjatul Islam Imam Ghazali di dalam karyanya yang agung Ihya’ Ulumuddin telah mengklafikasikan percakapan itu kepada empat bahagian :
Pertama : Mudharat semata-mata

Kedua : Manfaat semata-mata

Ketiga : Ada Mudharat dan Manfaat

Keempat : tidak ada mudharat dan manfaat

Selain itu juga, Imam Ghazali telah menyenaraikan beberapa jenis bahaya dan kebinasaan lidah serta kesulitan dalam menjaganya. Antaranya ialah :

KEBINASAAN PERTAMA : BERCAKAP PADA PERKARA YANG TIDAK DIPERLUKAN
Kita disarankan supaya bercakap dan berbual pada perkara yang dibolehkan selagi mana ianya tidak bertentangan dan memudharatkan diri sendiri dan orang lain, kecuali berkata-kata pada perkara yang tidak dihajati. Alangkah baiknya sekiranya kita gantikan perbualan kosong kita kepada perkara yang lebih baik, berzikir atau berfikir pada perkara yang mendatangkan hasil baik kerana sangat besar faedahnya. Berapa banyak zikir yang boleh memberatkan neraca timbangan kita dan dapat membina istana indah di syurga kelak. Modal seseorang hamba Allah taala itu adalah waktunya. Sekiranya dibazirkan pada perkara yang tidak diperlukan dan tidak disimpan untuk pahala akhirat, maka dia sudah mensiasiakan modalnya. Oleh kerana inilah Nabi sallahu alaihi wasallam bersabda :
“ Diantara keelokan Islam seseorang itu ialah meninggalkan apa yang tidak diperlukannya.” ( Riwayat Tarmidzi )

KEBINASAAN KEDUA : PERCAKAPAN YANG BERLEBIHAN
Percakapan yang berlebihan ini boleh kita klasifikasiikan sebagai percakapan yang berlebihan dari keperluan yang sepatutnya. Oleh kerana percakapan yang berlebihan mendatangkan pelbagai kesilapan samada secara sedar atau sebaliknya. Sebagaimana sabda Nabi sallahu alaihi wasallam :
“ Berbahagialah orang yang menahan kelebihan dari lidahnya dan membelanjakan kelebihan dari hartanya.”
Akan tetapi apa yang berlaku dikalangan masyarakat manusia sekarang adalah sebaliknya. Mereka menahan lebihan harta mereka dan melepaskan kelebihan lidah. Sebagaimana Ibrahim anNakha’i pernah berkata : “ manusia dibinasakan oleh dua sifat; kelebihan harta dan kelebihan perkataan.”

KEBINASAAN KETIGA : PERTENGKARAN DAN BERBANTAHBANTAHAN
Sebagaimana sabda Nabi sallahu alaihi wasallam :
“ jangan kamu bertengkar atau berbantahbantah dengan saudaramu, jangan kamu persendakan-sendakan dia dan jangan berjanji sesuatu janji,lalu engkau menyalahi janji itu.”

Orang yang biasa berbantahbantah dan bertengkar tidak terlepas dari menyakiti dan mengobarkan kemarahan lawannya. Kadang-kadang boleh membawa kepada menegakkan hujahnya dengan apa cara sahaja, samada dengan cara yang hak atau batil. Sememangnya ini adalah suatu sifat yang sukar untuk dinyahkan lebih-lebih lagi sekiranya seseorang itu yang terlibat dalam pertengkaran atau seumpamanya merasa dirinya di pihak yang benar. Terasa berat jiwanya untuk mengalah atau berdiam diri .

Kerana itulah Nabi sallahu alaihi wasallam bersabda : “ Barang siapa meninggalkan pertengkaran sedangkan dia di pihak yang benar,nescaya dibinakan sebuah rumah baginya di dalam syurga tertinggi dan barang siapa meninggalkan pertengkaran sedangkan dia di pihak yang salah, nescaya dibina baginya sebuah rumah di tengah-tengah syurga.” ( Riwayat Tirmidzi )

Beginilah keadaan apabila kita yang mempunyai lidah dan anggotaanggota lain yang cukup sempurna ciptaanya yang dianugerahkan oleh Allah taala kepada kita akan tetapi tidak pernah rasa untuk mendidik dan memelihara nikmat ini dengan sebaiknya sebagai tanda syukur kita kepada Pencipta Yang Esa dalam mencari redhaNya. Salam Retrospektif dan berubah.

Siti Nur Hafizah Abu Bakar
Kuliah Usuluddin, Iskandariah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 342

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *