KEPIMPINAN BERDIGNITI WAHANA KEIZZAHAN MAHASISWA

KEPIMPINAN adalah penerusan kepada sebuah kelangsungan Daulah Islam. Kelangsungan kepimpinan untuk memiliki Daulah sepatutnya ada dalam diri setiap umat Islam. Gerakan mahasiswa tidak terkecuali dalam soal ini. Fokus kepimpinan dan pengurusan gerakan mahasiswa juga sepatutnya dihalakan ke arah itu. KPKM juga adalah tidak terkecuali dan sepetutnya diangkat sebagai sebuah gerakan kepimpinan dan kebajikan yang berorientasikan swadaya kepimpinan Islam.

Justeru KPKM juga bukan milik individu atau bukanlah milik saya seorang tetapi ia adalah milik bersama dan semestinya kerja ini perlu di dokong secara kolektif atas nama mewujudkan kelangsungan Daulah. Saya bukan ingin beretorik mahupun mahu diangkat sebagai wira kepimpinan mahasiswa yang idealis tapi cukup dengan saya katakan kiranya mahasiswa hari ini langsung tidak berfikir mahupun punyai idea ke arah pengembalian daulah, maka sampai bila usaha itu akan berhasil. Sekurang-kurangnya kita telah berusaha ke arah itu melalui latihan dan timbaan pengalaman dalam konteks kepimpinan gerakan mahasiswa.

Langsung sebenarnya tidak timbul juga soal idealis mahupun cakap kosong seorang pemimpin gerakan mahasiswa. Juga tidak timbul soal takut atau bimbang dengan taklifan yang diberikan lantaran ia saya hanya ditugaskan untuk menyusun dan mengurus gerakan mahasiswa yang bernama Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir. Saya tegaskan taklifan saya dan semua sahabat pimpinan AJKT bukanlah sebagai pemilik kekal KPKM tetapi hanyalah sebagai pemudah cara yang menanggung beban taklifan yang bukan satu mehnahnya. Walau bagaimana pun berat sekalipin amanah ini, saya dan sahabat pimpinan tetap optimis akan janji Allah dan mengharapkan nusrahNya jua. Tiada ungkapan yang mapu dilafazkan melainkan panjatan syukur pada Allah Azzawajalla kerana dipilih sebagai pemudah cara dan kami bersedia untuk merebut pahala lumayan daripada Allah ini. Doakan kami berjaya.

Matlamat dan Hala Tuju

Saya tertarik dengan ucapan dasar YDP KPKM sesi 2006/2007 iaitu meletakkan KPKM sebagai agen perkaderan bertujuan untuk membentuk generasi ulama’ profesional serta mempunyai thaqafah yang unggul.

Tidak salah kalau saya katakan saya sedia dan sudi menyambut minda YDP KPKM 2006/2007. Pada saya ia adalah misi dan visi yang baik. Saya dengan sepenuh hati dan lapang dada menyambutnya untuk dijadikan agenda besar KPKM sesi 2007/2008. Doakan saya.

Tambahan pula selaku mahasiswa/i agama, amanah untuk menjadi ulama’ sepatutnya dijadikan agenda utama dalam diari hidup kita. Tiada lain yang diharapkan oleh masyarakat tanah air kita melainkan ilmu yang boleh menunjuk jalan dan boleh ditumpang masyarakat.

Pada saya ulama’ yang benar-benar mantap adalah ulama’ yang benar-benar kemas dari sudut pengusaan ilmu turath ditambah dengan thaqafah ilmu-ilmu muasarah. Ia adalah pelengkap kepada ulama’ in the making.

Agenda kedua yang ingin saya tekankan ialah untuk mentaqribkan antara Azhari dan Tibbi. Alhamdulillah kita mendapat kerjasama yang baik daripada persatuan Perubatan. Adik-adik dan sahabat-sahabat kita perubatan juga semakin menunjukkan minat untuk mendekati kita. Ini peluang cerah yang kita tidak boleh lepaskan dalam mengumpulkan semua anak-anak Kelantan Mesir agar bersatu dan bersama dalam satu bahtera pelayaran. Bahtera tersebut adalah KPKM.

Agenda ketiga yang sering berputar di minda saya adalah agenda perpaduan dan penyatuan semua anak-anak Kelantan dalam satu wahdah dakwah dan tarbiah. Sudah tiba masanya kita ketepikan permusuhan dan pertelingkahan peribadi dan saya mohon untuk samasama membantu saya mengimarahkan KPKM dengan penuh kudrat dan tenaga.

KPKM milik bersama. Sudah lama agenda merakyatkan KPKM dilaungkan. Saya juga merasakan untuk sesi ini KPKM perlu diperkenalkan sebagai sebuah badan kebajikan yang perlu didokongi bersama. Harta yang ada di Rumah Kelantan Baru ini adalah harta milik bersama. Ia bukan milik AJKT mahupun AJK HEWI KPKM tapi ia milik kita semua.

Namun saya agak khuatir agenda merakyatkan KPKM hanya akan menjadi teori majalah-majalah SKEK dan buletin An-Naba’ tapi tidak menjadi realiti. Ia perlu disebut-sebut dan gembar-gemburkan dengan harapan ia akan jadi suatu kenyataan suatu hari nanti.

Agenda saya yang keempat adalah untuk memperdana kehebatan dan penguasaan mahasiswi. Mahasiswi sememang hebat tapi kehebatan itu perlu diurus dengan baik dan tersusun. Kehebatan untuk memenangkan Islam. Ia pada saya langsung tidak salah malah dituntut. Saya menyeru pada semua mahasiswi untuk memberikan segala kerjasama dan membantu saya menjayakan agenda besar ini.

Harapan

Adalah menjadi kewajipan saya selaku orang yang diamanahkan menjadi kepimpinan KPKM untuk meminta sepenuh wala’ daripada semua. Janji setia ini adalah kewajipan yang sepatutnya mengiringi pentaklifan kepimpinan sebagaimana sunnah yang ditunjukkan rasulullah dan para sahabat, tabi’en, tabi’ tabien dan para ulama’ yang sentiasa berjuang membawa misi khilafah. Justeru, bantulah saya dalam perjuangan gerakan kebajikan mahasiswa yang bernama KPKM atas nama Islam.

Harapan saya agar kita dapat bergabung tenaga dan bersama dalam menongkah cabaran semasa berada di perlembahan Nil ini. Bekerja dalam kelompok ramai atau collective work adalah tunjang yang bakal menjayakan segala agenda yang ingin dibawa.

Sekali lagi bantulah saya jika saya berada dalam landasan yang benar dan ingatkan saya jika saya terlupa atau jika saya melakukan kesilapan.

Atas nama persahabatan dan ikatan akidah saya mohon samasama kita pastikan KPKM akan bergerak maju ke hadapan dalam menabur budi dan jasa kepada kita sama ada dari sudut pengajian, penambahan thaqafah, kesedaran dakwah Islamiah dan elemen penting dalam sosial kemasyarakatan iaitu tarbiah dapat dikecapi bersama. Kepimpinan adalah amanah yang tidak akan kosong daripada sambungan mata rantai perjuangan. Justeru terimalah kepimpinan saya dan sahabatsahabat pimpinan seadanya.

Adnan Wazir
YDP KPKM 07/08
Kuliah Pengajian Islam & Bahasa Arab, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 344

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *