MASIHKAH ADA WAKTU BAGI KITA?

Zahirnya manusia diciptakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala di muka bumi ini dengan pelbagai ragam, rupa dan lahirnya dengan dilengkapi hati dan perasaan. Hati atau jiwa walaupun kecil bentuknya, tetapi ia adalah punca segala gerak-geri dan amal perbuatan manusia. Daripadanya terhasil perbuatan yang baik dan jahat.

Hati atau jiwa adalah pembentuk hidup seseorang. Ia memainkan peranan penting dalam menggerak, menghenti, memperelok atau mencederakan perbuatannya, sekalipun ia adalah tercipta dari seketul daging. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:

“ Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah badan seluruhnya. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah badan sekaliannya. Ketahuilah! itulah hati.

” Setiap dari kita mungkin mempunyai hati yang baik, hati yang keras, hati yang buta, hati yang sakit, hati yang rosak ataupun yang mati. Kemuncak kemusnahan seorang hamba Allah Subhanahu Wata’ala ialah apabila hatinya mati. Seorang yang mati hati dan jiwanya tidak lebih seperti bangkai bernyawa. Hakikatnya, ia telah mati sebelum mati yang sebenarnya.

Manakala hati yang buta sebagaimana Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam surah al-Hajj ayat 46 bermaksud:

“ Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati di dalam dada. ”

Seseorang yang buta matanya di dunia tetapi celik hatinya adalah lebih baik dari mereka yang celik matanya tetapi buta mata hatinya. Dan yang lebih malangnya lagi kalau ada orang yang buta keduanya yakni mata dan hati…wa’auzubillahi min zaalik.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menjelaskan bahawa hati yang baik dan tulus akan dizahirkan dengan tindak-tanduk perbuatan. Hati yang sejahtera sentiasa mengingati akan kebesaran Allah Subhanahu Wataala yang dihidupkan dengan sifat-sifat mahmudah dan menjauhi segala laranganNya.

Manakala hati yang rosak ialah hati yang telah dicemari oleh perbuatan yang labelnya adalah kemaksiatan sehingga tidak sedikit pun merasa takut akan larangan Allah Subhanahu Wata’ala. Baginya yang didapati adalah kerana kelazatan, kesukaan dan keseronokan hawa nafsu, malah nokhtah akhirnya adalah dosa dan neraka.

Semestinya begitulah hati manusia yang tidak lagi menyayangi dan mensyukuri nikmat Ilahi. Natijahnya membawa kepada kehinaan diri dan kemurkaan Allah.

Pernahkah kita berbicara dengan hati kita? Jenis yang bagaimanakah hati kita ini? Masih lagikah berada pada landasan Ilahi? Pujuklah hati tanyalah diri, apakah jenisnya hati kita ini?

Hati kita bilamana ia diwarnai dengan warna kejahatan dan kemaksiatan yang nyata dilarang oleh Allah Subhanahu Wata’ala, lambat laun akan terjunam ke lembah kehancuran. Lebih dahsyat lagi ialah apabila hati telah lumat dengan kemungkaran dan karat dosa yang melikat menyebabkan seluruh anggota badannya juga turut tidak boleh berfungsi sebaiknya.

Sememangnya kita tidak mahu dan tidak pernah pinta untuk menuju ke arah kesesatan hidup di dunia dan akhirat. Namun hakikat yang tercatat sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala memberikan jawapan bahawa hanya dengan mujahadah dan kesungguhan akan membawa manusia kepada kesejahteraan. Firman Allah Subhanahu Wataala yang bermaksud:

“ Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkan jiwanya. ” ( As-Syams: 9-10)

Hati juga boleh mati seandainya tidak diberikan makanan dan santapan yang sebaiknya dengan sentiasa dihidupkan dengan zikrullah, muhasabah, mujahadah melawan nafsu, muraqobatullah, keimanan yang kental, ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala, istighfar dan bertaubat. Ini kerana setiap satu dosa yang dilakukan tanpa dibersihkan dengan ikatan taubat dan istighfar akan memrbentuk setompok titik hitam padanya.

Bayangkanlah seandainya berpuluh-puluh dan ratusan dosa yang telah bertatah pada seketul hati yang bersih. Tanpa syak lagi saya katakan bahawa mana mungkin hati akan bersih dan tenang dengan kejahatan dan kemaksiatan yang sentiasa menyubur dan bergelegak panas di dalam diri dan hati sanubari. Pendek kata, mati hati maka rosaklah manusia .

Yang pastinya, selagi nyawa berbaki masih lagi ada waktu bagi kita untuk mengubati dengan mengikis karat mazmumah dengan mengutip kuntuman mahmudah lantas menghiasi kamar hidup ini dengan pugaran islah menuju redha Ilahi. Akan tetapi hati yang mati, iaitu hati yang sirna daripada nur Ilahi akan membawa manusia hanyut ke lembah kealpaan dan menjauhkannya dari hidayah Allah selagimana ia masih bersemadi dalam diri.

Dikesempatan yang terhad ini, dengan penuh rasa hormat dan kasih kepada sahabat semua, terpanggil saya untuk memaparkan beberapa pesanan sebagai tatapan bersama khususnya anak-anak Kelantan di bumi Mesir ini mengenai 10 TANDA-TANDA HATI YANG MATI oleh Syeikh Ibrahim bin Adham, ulamak zahid yang memiliki hati yang sepi dari fana dunia sekalipun kemewahan dunia terhampar penuh buatnya. Justeru diharapkan pesanan ringkas ini akan memastikan kita benar-benar berusaha untuk memiliki hati yang suci bersih, hidup dan tunduk pada perintah Allah Subhanahu Wataala. Antara peringatannya ialah sebagaimana berikut :

1. Kamu mengaku kenal Allah Subhanahu Wata’ala, tetapi kamu tidak menunaikan hak-hakNya.

2. Kamu mengaku cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, tetapi kamu mengabaikan Sunnah baginda.

3. Kamu membaca al-Qur’an, tetapi kamu tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.

4. Kamu memakan nikmat-nikmat Allah subhanu wata’ala, tetapi kamu tidak mensyukuri atas pemberianNya.

5. Kamu mengaku syaitan itu musuh, tetapi kamu mengikutinya.

6. Kamu mengaku adanya nikmat syurga, tetapi kamu tidak beramal untuk mendapatkannya.

7. Kamu mengaku adanya seksa neraka, tetapi kamu tidak berusaha untuk menjauhinya.

8. Kamu mengaku kematian pasti datang bagi setiap jiwa, tetapi kamu masih tidak bersedia untuknya.

9. Kamu menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi kamu lupa akan keaiban diri kamu sendiri.

10. Kamu menghantar dan menguburkan jenazah atau mayat saudara kamu seIslam, tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.

Kesimpulannya, hati adalah raja bagi sekalian anggota. Akal adalah menteri dan penasihatnya. Manakala seluruh anggota adalah rakyat jelatanya. Justeru, segala kebaikan dan keburukan amal perbuatan yang dizahirkan anggota adalah manifestasi suci dan kotornya hati.

Oleh yang demikian, maka kita hendaklah sentiasa memelihara kesucian hati kerana disanalah terletak segala punca dan sumber segala sesuatu. Malahan hati yang bersih adalah medan tertegaknya keimanan dan keyakinan yang benar. Mana mungkin dapat menatijahkan amalan yang baik dan keimanan yang jitu serta keyakinan yang benar mantap selagimana hati masih bergelumang dengan hasutan hawa nafsu. Sebagaimana yang diriwayatkan dari Anas dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud: “ Tidak lurus iman seorang hamba hingga lurus (lebih dahulu) hatinya. ”

MASIHKAH ADA WAKTU BAGI KITA untuk mengubati hati ini menuju Ilahi?. Semestinya amat beruntunglah bagi mereka yang menyuburkan hatinya dengan baja ketaqwaan yang tercerlang terang dengan nur Ilahi. Lantas siramanya adalah iman yang menjanjikan ketenangan dan redha dari Yang Maha Esa. Namun semua ini tidak akan terhasil kalau hingga ke detik dan tika ini kita masih lagi hanyut dalam dunia yang kita cipta sendiri tanpa bertumas untuk memastikan iman terhias dihati dan terzahir dengan bukti.

Azmasukilawani binti Daud

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 327

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *