SEBUT SAJA MURTAD ITU KAFIR

JIKA ada yang mengatakan isu murtad sudah selesai dengan gagalnya kes ‘murtad mycard’ Lina Joy, kalau ada yang mengatakan usah besarkan isu keluar daripada Islam, sekiranya ada yang mengatakan artikel murtad ini sudah tidak releven kerana isu ini sudah suam-suam kuku, saya katakan jika ada yang berpandangan demikian maka dia perlukan satu suntikan intravenous berisi air keimanan, sebiji ‘tablet kesedaran’ dan multivitamin untuk menyuburkan hati yang makin kering, juga tafakkur yang panjang untuk memulihkan jiwa yang gersang. Jangan kerana selesainya isu, kita biarkan kes murtad yang tidak berdaftar terus menerus berlaku, jangan hanya kerana isu, baru kita melatah dan mahu bertindak. Gejala murtad yang melanda umat Islam bukanlah isu yang bersifat local. Ia bukan isu Malaysia mahupun isu Indonesia, bahkan murtad ini merupakan masalah dan cabaran yang berlaku di mana-mana negara Islam. Di kala Eropah dan negara yang asasnya kufur mula lunak menerima Islam, di kala Perancis, agama yang keduanya adalah Islam, pada waktu inilah negara umat Islam dilanda tsunami akidah yang meruncing. Saya katakan ianya merupakan isu umat Islam sejagat kerana murtad bukan sahaja berlaku di negara kita, tanah arab yang merupakan tempat mulanya Islam turut mengalaminya. Mesir yang mendabik dada dengan gahnya Azhar tetap diselubungi jerebu akidah ini.

Serangan ke atas akidah umat Islam bukanlah berlaku seawal tahun 2000 atau selewat 1900 yang lalu. Ianya bermula sejak awal permulaan sejarah Islam lagi. Gerakan ini terus bergerak dan berkembang, mereka mengkaji dan meneliti kehendak, sasaran dan segala-galanya guna untuk melemahkan akidah umat Islam. Mereka mempunyai modus operandi yang teratur lagi terancang, ada bantuan kewangan yang kukuh, ada tenaga sepenuh masa yang sanggup berkorban demi menegakkan agama batil, juga ada sokongan antarabangsa.

Kita umat Islam sedia tahu cara mereka. Teknik, helah, tipu daya serta umpan mereka bukanlah perkara yang luar daripada pengetahuan kita. Semuanya kita tahu! Tetapi kita tetap lemah dalam menahan gelora ini. Lemah mungkin kerana tak semua umat Islam yang peka dan bersatu hati, juga mungkin lemah kerana hukum Islam tidak diamalkan sesempurna mungkin.

Krisis kita kini bukan sekadar isu murtad, bahkan krisis lemahnya sentimen umat Islam dalam isu ini, bahkan mungkin tiada langsung sentimen benci murtad! Isu murtad seolah-olah setaraf dengan berita kenaikkan harga minyak masak, mahalnya Milo ais dan cerita gosip artisartis. Bahkan ceritanya hampir lenyap dalam media arus perdana negara. Mungkin kenaikkan gaji kakitangan kerajaan lebih penting daripada akidah ummah yang kian goyah.

Pada pengamatan saya, murtad ini hanya dibincangkan di kalangan individu dan pertubuhan tertentu yang mempunyai kesedaran. Seolah-olah ianya isu elit. Masyarakat awam umumnya ada yang bersama dan masih ramai yang tidak sensitif. Bayangkan sekiranya gelombang rakyat dapat dibangkitkan melalui isu akidah ini, saya yakin dan percaya penyelesiannya lebih mudah.

Suka saya bawakan komentar Dr. Muhammad Fuad Yoeh Abdullah ketika negara digemparkan dengan peristiwa Nor Aishah Bokhari sekitar 1998, katanya isu ini (isu murtad Nor Aishah) sememangnya agak luar biasa. Ini kerana kebiasaannya bagi kebanyakkan orang Melayu Islam biarpun tidak beramal dengan ajaran Islam namun dia sayangkan Islam. Sebab itu secara tradisionalnya, seseorang yang dilahirkan Islam akan marah jika orang menuduhnya kafir. Apatah lagi untuk mengisytiharkan
murtad. Sungguhpun tidak beramal dengan Islam namun jika ingin berkahwin dengan pasangan dari agama yang berbeza, pastinya bakal isteri atau suami itu disuruh memeluk Islam terlebih dahulu.

Mungkin itu cerita Melayu dulu. Tetapi Melayu era Akademi Fantasia sudah berubah tidak lagi semacam Melayu pasca merdeka. Murtad diisytihar, mahkamah dicabar!

Apa yang diharapkan isu akidah ini sentiasa diperjuangkan. Bukan sematamata kes Lina Joy, kemudiannya disenyapkan apabila kesnya gagal di mahkamah.

Apa yang dipohonkan kepada semua umat Islam moga isu menangani murtad ini terus diperjuangkan, jangan hanya menunggu adanya kes dimahkamah baru kita bangkit dari lena. Jangan tunggu Majlis Agama dan Mahkamah Syariah dicabar autoritinya baru kita teruja.

Mungkin kerana lemahnya sentimen anti murtad ini, saya cadang gunakan saja perkataan ‘kafir’ @ ‘kafir jadian’ kerana hakikat murtad dan kafir tetap sama, agar murtad jijik kembali di kalangan Melayu Islam yang mudah lupa.
Itu cerita ‘keluar Islam’ secara rasmi, belum lagi kita bincangkan isu murtad apabila hukum hakam dalam Islam dihina dan diingkari. Samasamalah kita fikir punca dan penyelesaiannya, bukan sematamata melaung sana, bertempik sini tanpa tindakan

AHMAD MUHAIMIN MUSTAPHA
FAKULTI PERUBATAN UNIVERSITI KAHERAH

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 339

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *