AMBANG 12 & PERCIKAN FIREWORK 2008

SEKEJAP berfikir, muhasabah barangkali istilah sesuai untuk menunjukkan betapa sudah lebih suku abad menghirup dan menikmati segala yang Allah SWT anugerahkan. Ada yang sudah lebih sesuku, setengah abad dan juga sedang menghitung hari diumur subsidi.

Barangkali muhasabah sempena tahun baru ini sesuai dengan peningkatan umur. Yang pasti semua menganjak ke usia tua. Selayaknya perlu dan amat-amat signifikan untuk suatu yang bernama peralihan. Hakikatnya, inilah proses kematangan, peningkatan usia, Juga mungkin sebagai sempadan diri untuk merencana masa depan yang lebih jauh dan baik. Hitung, congak dan berkira-kira. Apakah diri sudah bersedia untuk menempuh sebuah kematian. Sesekali terdetik dalam hati kecil ‘teruknya dunia ini. Semuanya teruk dan menyeksakan. Mana mungkin akan ketemu ketenangan dan kebahagian melainkan sebuah kematian’.

Itu bicara ketika sesal menyebak di dada. Bila direnung-renung, diselak lembar-lembar kalam sam’iyyat Al-Quran dan hadis berkenaan perkara ghaib, terutama seksa kubur dan kebangkitan selepas kematian, juga hitungan amalan akan di skrin tayangkan pada Mahsyar Allah, hati mula kecut ‘Kalau aku mati, amalan apa yang bagus sangat telah aku lakukan hingga aku akan pasti terlepas daripada itu semua. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam kitab (ibu suratan) yang jelas nyata” (Surah Yaasin : ayat 12)

Akal mula mencongak perkara baik yang dilakukan. Habis hitungan baik yang tidak lepas pun 10 jari, hati mula bising menunding salah sendiri. Berkira-kira akan perihal dosa, kejahatan dan semua maksiat yang dilakukan. Itu baru yang zahir, yang berkait dengan manusia, tidak termasuk lagi dosa yang terpahat dilubuk hati yang terdiri daripada barisan syirik tersembunyi yang namanya riya’, ujub, jah, suma’ah dan ratusan sifat mazmumah yang bersarang kemas di hati.

Akal bermuhasabah lagi. Bagaimana pula dengan nafsu muda yang hangat bergelora dalam diri. Pandang itu-ini tanpa mengira halal haram, cuba segala-gala kononnya muda hanya sekali. Masa asyikmahsyuk dalam mainan nafsu, iman entah ke mana, pertimbangan akal bagaikan tidak lagi berada pada tempatnya dan senang berlenggang kangkung menggunakan pelbagai kaedah fiqh menghalalkan yang haram kononnya atas nama darurat dan Islam itu mudah.

Ledakan Songsang Komuniti Maya Sosial Hidup dalam dunia tanpa sempadan ini memang payah kalau tidak kena caranya. Apa tidaknya, petik sahaja keyboard atau gerakkan sahaja tetikus dan tekan maka kita akan sampai ke mana sahaja yang dikehendaki. Hatta ke tempat yang tidak sepatutnya dan barangkali tidak terlintas dibenak kita untuk mencerobohnya. Berbicara, bercinta, berbual mesra, sembang lucah atau apa sahaja perilaku yang boleh kita lakukan secara nyata, hampir-hampir boleh kita kerjakan secara maya. Hebat bukan penangan saluran komuniti sosial yang tersedia untuk kita. Via SMS, YM Chatting, Forum, web, blog, Friendster dan banyak lagi yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia teknologi yang sentiasa berkembang dan pasti akan lebih hebat dari sehari ke sehari.

Tidak perlu disebutkan semuanya kejahatan hubungan maya ini. Hampir-hampir semua anak muda mengetahuinya. Ia perkara bangsat paling ampuh untuk menghancurkan teruna dara. Juga mampu memusnahkan iman tanpa sedar. Sedikit demi sedikt titik hitam menoda dan mencabul kehormatan hati yang akhirnya menghancurkan bahagia.

Rumah tangga berantakan, sosial masyarakat kian menampakkan kemusnahan dan paling merisaukan agama kian ditinggalkan. Hancur musnah diri bersama gelumang dosa yang disedut dan dicetak daripada negatif yang tersedia dalam komuniti maya yang perlukan kebersamaan iman dalam melayarinya. Ia sememangnya tanpa sempadan hatta ke tempat paling sulit sekalipun mampu diteroka dan ditonton dengan mata lendir jika nafsu bermaharajalela.

Walau di sana juga punya 1001 kebaikan namun hakikatnya memang susah untuk memastikan bahawa inkuiri anak muda dan sikap suka berseronok melayan serakah nafsu tanpa disuntik dengan antibodi iman dan multivitamin takwa dapat membendung salah guna alam maya ini. Ia bagaikan racun yang pasti akan mengalir dalam diri sesiapa sahaja tanpa mengenal sesiapa jika tidak kena cara.

Muhammad Najid Abdullah
Kuliah Syariah Islamiah Tahun 4, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 348

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *