KETAKUTAN DAN PENGHARAPAN

DALAM usaha mendidik diri berhadapan dengan pelbagai rintangan untuk mendekatkan diri kepada Allah, terdapat dua sifat yang sering menjadi pendorong dalam beribadah. Dengan adanya dua sifat ini, seseorang muslim mampu menyingkirkan rasa bosan dan rasa malas untuk beribadah. Namun kewujudan kedua-dua sifat ini belum tentu menjamin kejayaan jika seseorang muslim tidak tahu menggunakannya. Sifat yang disebutkan iaitu:

1-KHAUF : Khauf membawa erti takut kepada Allah SWT. Ia merupakan suatu perasaan yang datang dalam diri seseorang.

Firman Allah, Sesungguhnya orang yang berhati-hati kerana takut (terhadap seksa) Rabb mereka. Dan orang-orang yang beriman terhadap ayat-ayat Rabb mereka. Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan (sesuatu pun) dengan Rabb mereka, Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut (karena mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Rabb mereka. Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orangorang yang segera memperolehnya. (Surah Al Mukminun : 57 – 61 )

Rasa khauf atau takut kepada Allah ini wajib ditanam di dalam diri kerana Allah Maha Hebat seksaanNya kepada sesiapa yang menderhakaiNya. Melalui rasa takut kepada Allah, seorang muslim akan berusaha untuk mentaati perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Rasa khauf atau takut yang dituntut ialah yang menghalang seseorang dari melakukan dosa.

Imam Ibnu Abil `Izzi al Hana berkata: “Seorang hamba wajib untuk takut dan berharap (kepada Allah), dan sesungguhnya takut yang terpuji dan yang sebenarnya adalah yang menghalangi pemiliknya dari apa-apa yang diharamkan oleh Allah. Apabila (takut) itu melewati batas, dikhuatirkan dia terjatuh pada sikap putus asa.”

Sikap takut yang tidak diimbangi dengan rasa harap, akan menyebabkan seseorang berputus asa dari rahmat Allah.

2-RAJA’ : Firman Allah, “…Janganlah kamu berputus asa dari mengharap Rahmat Allah. Sesungguhnya tiada yang berputus asa dari mengharap Rahmat Allah melainkan kaum yang kafir”. ( Surah Yusuf : 87 )

Raja’ ialah rasa pengharapan. Mengharapkan kepada Allah. Harapan seorang makhluk kepada Allah sebagai Pencipta. Mengharapkan kurniaan Allah di dunia mahu pun di akhirat. Rasa raja’ mesti mengiringi rasa khauf. Agar perasaan takut tidak menjerumuskan seseorang ke lembah putus asa. Begitu
juga rasa harap mesti diiringi dengan rasa khauf, agar seseorang tidak menongkah sikap bongkak, ujub, takbur dan riak dalam beribadah.

Demikian juga bahawa khauf terhadap seksa Allah di akhirat, di saat berdiri di hadapan mahkamah Rabbul `Alamin dan takut apabila amalan-amalan kebaikannya tidak diterima oleh Allah, ia mestilah diiringi dengan raja’ terhadap rahmat dan ampunanNya supaya diterima amalan-amalannya di sisi Allah. Sebagaimana terdapat nas-nas yang menggabungkan antara khauf dan raja’ di dalam kitab Allah dan sunnah RasulNya. Tujuan didalami bab ini adalah wajib atas seorang hamba untuk takut terhadap Allah dan berharap kepadaNya. Jika hamba tersebut melihat kepada dosadosanya, dan. kepada keadilan Allah serta kerasnya seksaan Allah, nescaya dia takut terhadap Rabbnya. Sekali gus takut ditimpa hukuman atas kemaksiatan itu kerana lemahnya taubat dan cenderungnya kepada dosa. Di saat tertimpa pelbagai musibah dan perkara yang tidak disukai, dia berharap kepada Allah supaya menghilangkannya dan menanti kelonggaran hilangnya musibah tersebut. Dan dia juga berharap supaya Allah memberikan pahala kepadanya atas perkara-perkara itu di saat dia menjalankan kewajipan sabar. Maka seorang mukmin muwahid (yang beriman lagi bertauhid) di dalam seluruh keadaan selalunya bersifat takut dan berharap. Inilah yang wajib dan inilah yang akan memberi manfaat, dan dengan saluran tersebutlah kebahagiaan akan wujud. Justeru, yang ditakutkan atas seorang hamba ialah dari memiliki perbuatan amal yang menjurus perkara sebaliknya. Seperti:

1. Rasa takut menguasai diri sehingga berputus asa dari rahmat Allah.
2. Sikap berharap yang membawanya sampai (tingkat) merasa aman dari azab neraka Allah dan seksaNya.

Abu Ali ar-Rudzabari berkata: Khauf (takut) dan raja’ (berharap) seumpama dua sayap burung, apabila keduanya sempurna, maka sempurnalah burung itu dan sempurnalah terbangnya. Dan apabila satu dari kedua (sayap) nya kurang, maka terjadilah kekurangan padanya (burung itu). Dan apabila kedua (sayap)nya tiada jadilah burung itu di ambang kematian.

Bagaimana ingin mendapatkan rasa khauf dan raja’ ?
1. Sentiasa mengingatkan diri dengan Akhirat. Ingatkan diri tentang azab seksaan Allah. Ingatkan kenikmatan syurga.
2. Sentiasa ingatkan diri bahawa Allah Maha Hebat dan Maha Pengampun.
3. Sentiasa berzikir
4. Membaca kisah para Nabi, Rasul, Para Sahabat dan para solafussoleh.

Fakhrurazi Junoh
Timbalan Yang Dipertua KPKM 07/08
Syariah Wal Qanun Syu’bah Islamiah, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 346

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *