KITA, KULIAH DAN KEJAYAAN

ALHAMDULILLAH, pertama dan selamanya marilah kita merafakkan kesyukuran kepada Ilahi kerana dengan Inayah dan QudratNya masih lagi diberi kesempatan untuk meneruskan perjalanan kehidupan dimuka bumi Allah ini dan masih diberi peluang untuk mengabdikan diri kita ini kepada yang Esa. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad sallahu alaihi wassalam, para sahabat , tabi’ tabi’ tabi’en dan ahlinya.

Dikesempatan yang terhad ini, saya diberi peluang untuk berkongsi ilmiah dengan sahabat-sahabiah semua. Terkadang tersentak difikiran dan buntu untuk untuk mencari topik yang sebaiknya untuk sahabat-sahabiah semua sebagai perkongsian bersama dan tatapan kehidupan harian . Walau bagaiamana sekalipun, saya akan cuba untuk memenuhi peluang dan ruangan ini dengan sebaik mungkin.

Jom Perhebatkan perancangan kita!

Firman Allah taala yang bermaksud : ” Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. ” (Al-Baqarah : 45 ) Suka saya lontarkan kepada diri saya dan kepada sahabat-sahabiah anak –anak kelantan baik ikhwah mahupun akhawat dengan lontaran seperti ini di benak fikiran dan jiwa masing-masing. Ya, memang perlu lontaran seperti ini kerana sama ada sedar atau sebaliknya kita sekarang sudah berada di fatrah persediaan dan persiapan untuk menghadapi imtihan yang hampir tiba. Sementara itu, pastikan kita bijak mengatur perancangan dan persiapan untuk menghadapi imtihan kali ini dan seterusnya melakar kejayaan yang lebih cemerlang dimasa akan datang. Sekiranya kita masih leka dan lupa untuk sedemikian, masih belum terlewat untuk menyibukkan diri untuk samasama membuat perancangan melakar kejayaan. Percayalah! Sekiranya kita mempunyai perancangan yang baik dan disusuli dengan langkah yang baik dan bijak , insyaAllah kita akan hampiri dengan kejayaan.

Pendek kata, kita perlu berkorban
masa untuk study dan menelaah madah dari kulit ke kulit. Belum cukup hanya sekadar itu, akan tetapi perlu kepada pengulangan yang baik kepada apa yang dibaca dan dihafaz secara berulang kali sehingga kita benar—benar yakin dengan apa yang kita laksanakan.

Perhebatkan hubungan kita dengan Allah

Paling penting, jiwa kita sentiasa dekat dan thabat serta mempunyai pergantungan diri kita dengan Allah taala. Seringkali, kita perhatikan realiti kehidupan kini, apabila usaha yang tidak disertakan dengan doa & tawakal dalam sesuatu yang dilaksanakan mana mungkin akan menghasilkan kejayaan yang diberkati Allah taala. Seandainya kita dapat menghasilkan kejayaan tanpa pergantungan dengan Allah taala ia seolah-olah tidak sempurna. Firman Allah taala yang bermaksud : ” Cukuplah Allah bagiku, tidak ada tuhan selain dari-Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal. ” (At-Taubah :129)

Justeru itu, suka saya mengingatkan diri saya dan sahabat-sahabiah semua agar memperhebatkan hubungan kita dengan Allah. Tingkatkan ibadah. Rajin-rajinkan diri untuk berqiamullail. Bermujahadahlah, lebihlebih lagi di musim sejuk ini. Jangan biarkan diri dan jiwa kita turut membeku bersama angin dingin musim ‘keramat’ ini. Alangkah hebatnya bagi mereka yang berjaya mengorbankannya.

Perbaiki hubungan kita sesama manusia

Tidak kurang pentingnya, ihtimamkan hubungan kita sesama manusia. Tiada redha Allah pada kita di atas kebencian orang lain. Doa restu ibubapa & keluarga amat perlu. Siapa dan kemanakah kita nanti tanpa redha mereka. Juga muamalah kita dengan guru-guru, tanpa wasilah dari mereka, tiadalah ilmu itu ada pada kita justeru berkat ilmu itu bersama mereka. Begitu juga dengan mereka yang berada di sekeliling kita, sahabat -sahabat terutamanya. Kadangkala, tanpa sedar bicara & gerak laku kita telah menyakitkan hati orang lain. Oleh itu, ayuhlah kita sama-sama memuhasabah diri. Perhebatkan hubungan kita sesama manusia, untuk mencapai kejayaan terhebat. Dan lebih dari itu, untuk menjadi azhari terhebat di abad ini!

Akhirnya, di medan tulisan yang serba terhad ini, suka untuk saya mengingatkan (lebih-lebih lagi kepada diri sendiri) agar sentiasa mentajdid niat. Ingatlah hadaf sebenar permusafiran kita di bumi Anbia’ ini. Rebutlah peluang yang ada, yang tidak semua bertuah untuk mendapatkan dengan sebaiknya. Agar kita benar-benar mantap dan bersedia untuk terjun ke medan sebenar kita, di tanah air nanti. Jadikan diri kita terhebat di antara yang terhebat. Mujaddid keluaran Azhar yang cemerlang, gemilang dan terbilang yang bakal menerajui dunia baru Islam!

Nik Fatimah az-Zahrah Nik Zaidin
Usuluddin, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 347

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *