MENGHITUNG DIRI

Hadith Nabi s.a.w yang bermaksud : “ Ikatan yang paling kuat ialah kasih sayang kerana Allah dan marah kerana Allah ” (Riwayat Ahmad)

Dikesempatan ini, saya mengajak diri sendiri dan sahabat-sahabiah yang disayangi supaya kita samasama berkongsi thaqofah ilmiah bagi memenuhi masa lapang yang ada untuk berpaling ke belakang sekejap memerhati dan meratapi langkah perjalanan hidup yang kita telah lalui. Ya, adalah penting supaya kita sentiasa memerhati dan merenungi perjalanan kehidupan kita yang telah diharungi bersama sebagai muhasabah diri untuk hari esok dan hari-hari yang mendatang serta melakar agenda amal ibadat dan kebajikan untuk sama-sama mengapai redha Ilahi. Jangan hanya kita melangkah kehadapan dengan megah dan sombong tanpa sedikit pun berpaling kebelakang membaiki kesilapan dan kesalahan yang lalu.

Bagaimanakah pandangan sahabat-sahabiah semua adakah ini yang kita amalkan sebagai amalan harian ?

Renung sekejap dan sama-sama kita koreksi amalan harian kita masing-masing supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang tidak pernah untuk muhasabah diri demi membaiki kesilapan dan untuk menambah keimanan kepada Allah taala.

SIFAT MAHMUDAH Sifat mahmudah adalah sifat yang terpuji disisi Islam. Barangsiapa yang memiliki sifat yang terpuji ini, sudah pasti hatinya bersih daripada nafsu yang terkeji. Malah disirami nur dan limpah rahmat dari Allah. Sinaran cahaya inilah yang mampu menembus ke dalam hati.

Sesiapa pun mampu untuk memiliki sifat terpuji akan tetapi bukan semudah yang difikirkan untuk memilkinya andai tidak lahir dalam diri untuk bermujahadah menuju jalannya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “ Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak adam ada seketul daging, apabila baik ia nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! Itulah hati ”

SIFAT MAZMUMAH Belum tentu kita menuju titian syurga Allah taala selagimana seluruh anggota tubuh badan masih disenyawakan dengan
sifat seperti ini, membajai dengan dosa dan noda dan menyiram dengan siraman kemaksiatan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Apabila seseorang hamba membuat dosa terjadilah satu bintik hitam dihatinya dan sekiranya bertambah dosanya maka bertambahlah bintik-bintik hitam itu” .

Perbetulkan niat dan tajdid sentiasa dalam menelusuri amalan kita masing-masing. Apa yang lebih penting adalah perlu melunakkan hati kita dengan perbanyakkan zikrullah, mathurat, taqarrub ilallah ,hazar ( berhati-hati/waspada ) diri dari melakukan segala dosa dan maksiat. Ingatlah! Perkara yang baik tidak akan berada pada hati-hati yang kotor dengan sifat mazmumah. Sudah pasti, yang bersih dan suci berada pada paksi yang selayaknya. Begitu juga yang kotor berada ditempat yang kotor lagi hina. Yang terpuji adalah mudah dimiliki akan tetapi agar susah untuk dijagai. Dan begitu juga sebaliknya.

Tuntas, marilah kita sama-sama mengenal diri dan introspektif amalan masing-masing demi kebaikan untuk menuju syurga Ilahi. Yang pasti, amat berutung dan bahagia bagi mereka yang benar-benar mengenali diri serta mewarnai kondisi diri dengan amalan yang diperintahkan oleh Allah taala kerana disana menjanjikan ganjaran yang lebih besar lagi. Bagaimana pula sekira sebaliknya?.

Wan Nur Suhadariah Binti Wan Mohamad
Kuliah Syariah Islamiah, tahun 4 Universiti Mansurah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 349

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *