AGAMA,PANGKAT ATAU PARAS RUPA?

Saudara-saudari, islam merupakan agama tauhid yang mana merangkumi segala aspek kehidupan lahiriah dan rohaniah sesuai dengan penciptaan manusia yang terdiri daripada dua elemen, iaitu fizikal dan spiritual. Apabila dua elemen ini seimbang, maka lahirlah insan mukmin pewaris empayar perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.

Sudah menjadi fitrah alam diciptakan sang pencipta secara berpasang-pasangan. Begitu jugalah manusia diciptakan naluri untuk hidup berpasangan. Firman Allah s.w.t bermaksud:- “Dan di antara tanda-tanda kebesaranNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang mesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih saying dan rahmat (belas kasihan). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keteranganketerangan bagi orang-orang yang berfikir”. ( Ar-Rum: 21)

Subhanallah! Sungguh indah agama ini yang mana meraikan kehendak dan keinginan naluri insan. Masakan tidak, Dialah sang pencipta yang maha mengetahui aturan norma kehidupan makhluk yang bernama manusia. Lihatlah kebesaran Allah s.w.t ke atas hamba-hambaNya agar kita sentiasa bersyukur dan yakin akan kebenaran agama tauhid yang dibawa sekalian nabi dan para rasul.

Bagaimanakah fitrah yang dianugerahkan Allah s.w.t kepada kita diterjemahkan dalam melahirkan masyarakat yang berpegang teguh akan prinsip-prinsip dan asas agama ? Pembentukan masyarakat sudah tentulah bermulanya daripada pembentukan institusi keluarga. Manakala keluarga pula diasaskan antara dua pihak, suami dan isteri. Persoalannya, apakah dasar dan prinsip yang digariskan islam dalam memilih pasangan sebelum mendirikan rumah tangga?

Firman Allah bermaksud: “Dan kahwinkanlah
orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang yang soleh daripada hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.” (AnNur: 32).

Dan sabda Rasulullah s.a.w maksudnya: “Dinikahi seorang wanita kerana empat perkara iaitu harta, keturunan, rupa paras dan agamanya. Utamakan yang punya agama, kamu akan memperoleh keuntungan.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sesiapa yang mencintai kedudukan atau harta sebenarnya pasangan itu sedang dikhianati. Apabila kedudukan atau harta lesap maka dia akan melihat kepalsuan kehidupan ini.
Justeru, pilihan terletak di tangan anda. Andalah yang berhak memilih pasangan anda dan andalah pencorak masa depan keluarga yang dimpikan dan seterusnya melahirkan generasi rabbani. Justeru, sematkanlah azam dan semangat dalam diri masing-masing , semangat menjadi mukmin yang hari ini lebih baik daripada hari semalam sebelum melayari bahtera perkahwinan sebagaimana yang disyariatkan.

Muhamad Naqib Mahyiddin

Kuliah Usuluddin, Universiti Al-azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 397

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *