AKU MENCINTAI RAMADHAN

Sekiranya kita penuh sedar dan insaf bahawa kehidupan kita dipenuhi liku berduri dan perjalanannya masih jauh dan panjang, maka andainya kita dikalangan mereka yang berakal pasti akan sentiasa fokus kepada matlamat disepanjang perjalanan tersebut.
Maka penulis benar-benar beranggapan bahawa tiada satu masa dan keadaan yang paling sesuai meraikan kondisi kita bagi menerangi perjalan tersebut kecuali pada Bulan Ramadhan yang akan menyampaikan kepada segala hajat dan tujuan murni. Inilah waktu dan masanya.

Ramadhan.. walaupun sekali setahun dapat menerima kehadiran, akan tetapi pahala terus dilipat gandakan, melebihi pahala-pahala mereka yang mengerjakan, pelbagai amalan pada lain-lain bulan..

Ramadhan.. padamu penuh pengharapan, buat pencinta pengampunan dan kebenaran, kerana enam bulan yang sudah kami telah berdoa untuk menemukan, dan enam bulan selepasmu pula kami berdoa untuk dimakbulkan, semoga segalanya diterima Tuhan..
Ramadhan.. aku merasakan penuh keluasan dan kebebasan, mengerjakan amal dengan penuh rasa kerelaan, tanpa gangguan yang didatangkan, kerana syaitan dibelenggu Tuhan, pintu-pintu neraka dikuncikan, pintu-pintu syurga terhampar luas dibukakan..

Ramadhan.. padamu orang yang rugi itu pasti merasa benar-benar kerugian, padamu orang yang berjaya itu pasti merasa benar-benar keberjayaan, kerana kejayaan dunia dan akhirat penuh itulah sebenar-benar kebahagiaan, bukan kebahagian dalam perpisahan, tetapi kebahagian dalam pertemuan, hanya denganmu Ya Ramadhan kudambakan..
Kejahatan dan kebobrokan dunia yang dikecap selama ini menjadi noda dalam diri setiap manusia. Ketenangan tidak dapat dirasai dan

kebebasan tidak dapat digapai. Lantas datanglah Ramadhan sebagai satu bulan yang dijanjikan segala keampunan buat mereka-mereka yang mahukan kembali identiti sebagai muslim sebenar disisi Tuhan.

Ramadhan satu penghijrahan. Pasti hati-hati yang mendambakan segala kebaikan dan janji yang telah dikhabarkan akan mula melangkah menjadi tetamu Ramadhan. Penuh insaf. Penuh harap. Penuh hajat.

Jadilah Ramdhan sebagai “Syahrul Jihad” kerana padanya semua manusia berbondong-bondong berjihad. Hawa nafsu cuba dikekang, makan minum cuba ditahan, pandangan cuba dipeliharakan, percakapan cuba dikurangkan, pendengaran cuba diterhadkan daripada segala dijerumuskan kepada sesuatu kemaksiatan.

Pasti Ramadhan mengalu-alukan semua hamba-hamba Tuhan tersebut dengan berkata :

Akulah Ramadhan itu, satu tempoh yang telah dijanjikan, untuk menilai siapakah antara hamba-hamba Tuhan, mereka yang benar dan tulus dalam perhambaan..

Akulah Ramadhan itu, yang kalian sebut-sebutkan, untuk menjadi titik tolak kepada penghijrahan, bagi mengenal keagungan dan kebesaran Tuhan, lantas menginsafi diri merasa kekerdilan..

Akulah Ramadhan itu, satu cahaya buat menerangi setiap mereka yang beriman, satu lambang kebebasan bagi mereka yang inginkan ketulenan, satu bulan buat golongan yang penuh ketaqwaan, satu sejarah yang agung bagi sucikan hati harapkan Rahmat Tuhan..

Akulah Ramadhan itu, aku membuka tiap-tiap pintu menerima mereka yang penuh kemaksiatan, aku menyeru dengan kemuliaan Tuhan padaku bagi tiap-tiap mereka yang kesesatan, aku memekik memanggil tiap-tiap wajah yang penuh ketakburan, datanglah dekat denganku dan dampingilah aku..

Inilah masanya, masa mereka yang ingin taubat diperkenankan, masa mereka yang ingin keinsafan disaksikan, masa mereka yang ingin diterima kepulangan, masa mereka yang ingin membuka lembaran baru dalam kehidupan..

Maka ketuklah pintuku ini, pasti aku akan menemanimu sebagai tetamu yang kumuliai, ziarahilah aku seadanya pada tahun ini, kerana aku tidak ketahui dan pasti, adakah kita akan berjumpa kembali di kemudian hari nanti..

Jejakilah Ramadhan. Binalah episode hidup dengan perjalanan penuh kesedaran dan kefahaman. Kita dicipta sebagai pengemudi dikefanaan dunia. Itulah amanah yang telah tersedia untuk kita tunaikannya.

Tuhan itulah yang harus diutama dari segala kepentingan dunia. Bergandingan kita semua untuk memburu cintanya. Bersamalah kita laksanakan amanah dari-Nya demi memburu cinta dan harapan.

Tuhan kau satukanlah hati-hati kami berhimpun dalam naungan cinta-Mu. Memohon kasih-Mu Tuhan dalam harap redha dari-Mu. Moga selamat sejahtera bahagia selamanya. KS

SALAM RAMADHAN KARIM 1432H.

Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Kuliah Usulddin, Kaherah

Muat turunĀ PDF Risalah Fajar Jumaat siri 376

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *