BAHAYA PENYAKIT WAS-WAS

Saban hari, kita seringkali mendengar manusia dikaitkan dengan penyakit was-was. Penyakit was-was sudah menjadi satu daripada kebiasaan manusia. Adapun yang dimaksudkan dengan was-was ini adalah keraguan, syak wasangka atau kesangsian yang bermain di fikiran manusia.

Telah datang seorang laki-laki menemui seorang ulama untuk menanyakan tentang masalah yang ia hadapi. Ia berkata “Aku telah menyelam ke dalam sungai sekali, dua kali bahkan sampai tiga kali. Akan tetapi aku tidak yakin bahawa air tersebut membasahi seluruh tubuhku. Aku juga tidak yakin bahawa aku telah suci. Jadi apa yang harus aku buat?” ulama itu menjawab persoalan lelaki tersebut, “Kalau demikian keadaannya, maka kamu tidak wajib untuk menunaikan solat.”

Lelaki tadi terkejut lalu bertanya kembali “Bagaimana mungkin kamu dapat berkata sedemikian?” ulama itu pun berkata, “Rasulullah saw pernah bersabda, “Diangkat pena daripada tiga orang iaitu anak kecil hingga ia baligh, orang yang sedang tidur hingga ia terbangun dan orang gila hingga ia sedar kembali (waras). Adapun yang dikaitkan dengan menyelam sekali, dua kali bahkan sampai tiga kali tetapi ia merasa belum mandi, maka ia adalah orang gila. Dan tidaklah diwajibkan solat itu ke atas orang gila.

Sedarkah kita bahawasanya, penyakit was-was ini adalah gangguan yang hadir daripada bisikan iblis. Ini merupakan salah satu lemparan iblis untuk mendatangkan syak kepada manusia. Apatah lagi, ianya hadir ketika manusia hendak beribadah sama ada di awal permulaan mengangkat takbir mahupun ketika sedang solat.

Untuk menangkis serangan iblis ini, katakan kepada orang yang was-was “Jika engkau ingin menghadirkan niat maka niat itu sebenarnya telah hadir kerana engkau telah berdiri untuk melaksanakan kewajipan dan itu adalah niat sedangkan niat tempatnya di hati bukan pada lafaz.”

Wajib bagi setiap manusia kuat dalam melawan musuh (iblis) Allah swt sehingga musuh itu tidak mampu untuk menganggunya. Hal ini kerana, memang sifat iblis yang suka menganggu dan memusnahkan keturunan anak-anak Nabi Adam as. Jadilah seorang mukmin yang sabar dan tidak mudah menyerah kalah biarpun dari segi zahir mahupun batin sehinggakan iblis tewas dan tidak terdaya lagi.

Nor Aisyah binti Mohamed,

Kuliah Usuluddin, Universiti al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 444

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *