BELAJAR DARI LUQMAN AL-HAKIM

Kisah yang saya suka untuk berkongsi adalah kisah Luqman al-Hakim, anaknya dan keldai. Ia adalah kisah yang sangat memberi kesan kepada diri saya dalam bertindak dan menghadapi pandangan manusia. Dalam mendidik anaknya untuk berhadapan dengan pandangan manusia, Luqman al-Hakim telah membawa anaknya dan keldai ke pasar tempat orang ramai. Mulanya, Luqman alHakim telah menaiki keldai itu, anaknya pula yang mengendalikan keldai itu sambil berjalan kaki, maka orang ramai berkata :” Inilah orang tua yang tidak mengasihani anaknya, dia bersenang lenang di atas keldai, anaknya pula berjalan kaki! ”

Berikutnya, Luqman al-Hakim menaikkan anaknya ke atas keldai dan beliau sendiri pula yang mengendalikan keldai dengan berjalan kaki, maka orang ramai berkata : ” Sungguh biadap anak itu, orang tua dibiarkan berjalan kaki, dia pula bersenang lenang di ataskeldai!” Seterusnya, Luqman alHakim bersama anaknya menaiki keldai itu bersama-sama, maka berkata pula orang ramai : “Lihat!, seekor keldai membawa dua orang, alangkah siksanya keldai itu membawa beban berganda!” Akhirnya, Luqman alHakim dan anaknya tidak menaiki keldai itu dan membiarkan ia kosong saja, orang ramai berkata lagi: “Alangkah anehnya, keldai dibiarkan kosong tidak ditunggangi, tuannya pula berjalan kaki saja!” Apa kalian dapat dari kisah ini?  Saya dapat sangat banyak, dan saya mohon berkongsi sedikit.  Kepuasan atau persetujuan dari semua pihak  adalah sesuatu yang tidak mungkin dicapai.  Inilah yang kita katakan pandangan manusia, pandangan yang selalunya silap, jika dibandingkan dengan pandangan sang pencipta. Sangat benar, pandangan manusia itu sering berbeza-beza, setiap apa yang dilakukan pasti ada saja yang kurang bersetuju, mungkin majoriti, mungkin juga minoriti, tapi hakikatnya pasti ada perbezaan. Apabila berhadapan dengan pandangan manusia dalam menilai sesuatu, apa yang dikatakan mungkin sangat jujur, namun hakikatnya, manusia akan berkata dengan apa yang dia tahu dan lihat sahaja, sedangkan mungkin masih banyak perkara yang tersembunyi yang tidak ia ketahui dan fahami, ia mungkin satu bentuk kejujuran, namun jujurnya pendapat itu bukanlah bolehmenafikan pandangan Allah.

Kerana inilah kita perlu sentiasa memohon untuk melihat dengan pandangan Allah yang sentiasa benar, namun seringkali pandangan Allah itu akan diganggu-gugat syaitan laknatullah, kerana itu sumpah setia syaitan, memalingkan manusia dari kebenaran, ia bukan silap manusia lain, bukan silap siapa-siapa, tetapi silap kita sendiri jika masih mahu melihat dengan pandangan manusia yang serba kurang. Kitalah yg lebih tahu situasi yang sebenar, dan Allah lah yang lebih-lebih lagi Maha Mengetahui.

Saya memohon untuk sentiasa dibimbing Allah, dan bimbingan itu disekalikan dengan kemudahan untuk melaksanakannya. Saya juga pohonkan agar bimbingan, panduan, dan kemudahan dari Allah untuk sahabat dan sohabiah sekalian.

Farida Hamimie bt Mohd Saupi
Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti Al-azhar,Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 393

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *