BELAJAR MENSYUKURI

Syukur itu banyak caranya, taat beribadah tekun berusaha, saling membantu berkasih sayang, murah senyuman hulur sedekah.

Begitu kita dengarkan nasyid dendangan Raihan berjudul Syukur menjadi salah satu medium untuk mengajar kita menjadi hamba-Nya yang bersyukur.

Ibnu abbas pernah menceritakan, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya berbunyi: “Orang yang pertama akan dipanggil masuk syurga adalah orang-orang yang sentiasa memanjatkan puji syukur kepada Allah, iaitu orang-orang yang sentiasa memuji Allah dalam keadaan lapang dan dalam keadaan sempit”. (Tanbihul Ghafilin 197)

Pada suatu hari seorang wanita tua menaiki bas dan ingin turun dari bas lalu dia segera bangun dari tempat duduknya. Tanpa disangka bahawa bas berhenti mengejut, lantas makcik tadi tersungkur di atas tangga bas. Hampir seluruh penumpang bas terkejut dengan keadaan tersebut. Namun apa yang berlaku di saat kesulitan itu, yang terkeluar dari mulut makcik tadi hanyalah perkataan “Alhamdulillah”.

Hairan bukan? Lalu ditanya kepadanya,”mengapa makcik berkata Alhamdulillah sedangkan makcik telah pun jatuh teruk? Lalu dibalas “ Alhamdulillah kerana tidak ditimpakan kepada aku lebih buruk dari itu”. Sempat juga makcik itu dengan jelas menyebut butir-butir ayat al-Quran dari surah at-Taubah ayat 51 yang bermaksud : ( “Katakanlah (Wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah untuk kami.”)

Apakah makna syukur? Kita menggunakan segala nikmat Allah untuk membalas budi Allah.

Bagaimana ingin bersyukur? Ada dua cara untuk bersyukur. Satunya melalui hakikat syukur dan yang keduanya melalui lafaz syukur. Lafaz itu seperti yang kita tahu yakni dengan mengucapkan Alhamdulillah, adapun hakikat adalah gerak kerja tubuh badan kita seperti sujud syukur, menyebarkan dakwah Islam, melakukan kebaikan sesama ahli bait, menghadiri tafaqquh, memenuhi masa dengan talaqqi , menghadiri kuliah, membantu kerja-kerja persatuan, dan banyak lagi.

Apakah nikmat yang perlu disyukuri? Sekian banyak nikmat yang perlu kita syukuri antaranya adanya sahabat yang baik bersama kita, pimpinan yang cakna, kemudahan belajar, kediaman asrama yang selesa dan pelbagai lagi.

Nikmat ISLAM dan IMAN itu sudah pasti, tidak boleh dipertikaikan lagi. Namun kali ini, mari kita mensyukuri satu benda ini. Benda yang ada berkait rapat dengan kita saban Jumaat setiap minggu. Nikmat HIDAYAH dan USRAH. Bercerita tentang soal hidayah ini, sehinggakan permohonan hidayah ini menjadi satu-satunya bacaan yang wajib dibaca di dalam solat dan tanpanya maka terbatallah solat kita.

Apa kaitan hidayah dan usrah? Usrah itu adalah salah satu bentuk hidayah dari-Nya. Kita jangan pernah bosan dengan hidayah Allah. Kalau kita sombong dan bosan dengan Allah, Allah akan tarik hidayah itu pada bila-bila masa sahaja. Kerana itulah kita perlu bersyukur dan berusaha mengekalkannya. Allah sudah pun memberi jalan yang baik kepada kita. Mengapa kita perlu mensia-siakannya. Kita jangan cuba lari dari hidayah Allah. Kita kena fikir sampai bila kita nak krisis dengan Allah. Betapa kita perlu ingat bahawa hidup ni tidak selamanya meninggi, suatu saat kita akan mati juga nanti. Marilah kita bersama-sama belajar mensyukuri nikmat yang satu ini. Kerana akhir zaman ini tidak ramai yang diberi peluang untuk berusrah. Justeru, kita perlu belajar bersyukur dengan menghadiri majlis-majlis seperti ini supaya dapat menyegarkan kembali iman kita.

Apakah medium yang disediakan untuk menginterpretasikan rasa syukur kita? Di bumi Nabi Musa ini, yang terdekat dengan kita adalah Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) kita sendiri. Persatuan ini menjadi sekolah terawal yang mengajar kita untuk belajar memberi. Memberi apa? Sudah tentu memberi manfaat untuk insan di sekeliling kita. Belajar untuk menjadikan diri kita bermanfaat kepada insan lain. Tuntasnya, persatuan anak negeri kita bukanlah mengajar kita untuk memberi manfaat untuk dirinya namun lebih besar daripada itu, mengajar kita memberi manfaat kepada Islam. Bermula daripada menjadi ajk kecil, anak usrah, penghantar beras sekalipun pencuci periuk belanga sesudah habisnya majlis keraian, tidak lain tidak bukan hanyalah untuk mengajar kita menjadi insan yang berguna.

Bersyukurlah kita di atas segala nikmat yang telah kita kecapi di bumi Mesir ini. Terlalu banyak rasanya kalau ingin ditulis dalam ruangan artikel sekecil ini. Tidak cukup kita bersyukur dengan hanya mengucapkan Alhamdulillah tapi kalimah ini menuntut hak yang lebih lagi. Hak bekerja untuk menterjemahkan kalimah ini.

Bersyukurlah kita walau hanya dengan air yang diciptakan di dalam buah tembikai, dalam keadaan musim yang panas ini, betapa nikmat memakan walau sepotong buah tembikai.

Lillahil hamdu ala kulli ni’amihi. Syukuri segalanya. Hargai setiapnya. Buktikan dengan berbahagia dan bekerja.

Sebagai penutupnya, mari kita meneliti kata-kata insan mulia ini : “ Apa guna denyutan jantung, kalau tidak digunakan untuk berjuang di jalan Allah”. – Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat-

Sekian.

Sofiah Az Zahrah Norizam,

Mahasiswi Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 439

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *