BILA TAKDIR BERBICARA

Kalau berbicara mengenai kehidupan, pasti kita semua mengimpikan kejayaan cemerlang dalam hidup, kekayaan harta benda,dikurnia kesihatan tubuh badan, wajah indah dan cantik dipandang . Akan tetapi, tidak semua yang kita impi menjadi kenyataan. Iman yang lemah mudah memberi tafsiran yang silap. Kadang-kadang kita pernah persoalkan mengapa Allah memberi dan mengkehendaki sesuatu yang tidak kita sukai?Maha Suci Allah dari sebarang sifat kecelaan dan keburukan .Firman Allah s.w.t: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahuinya” .[al-Baqarah 2:216].

Allah mengkehendaki sesuatu musibah ke atas hamba-Nya kerana beberapa kebaikan di sebaliknya. Musibah dapat mengingatkan manusia kembali kepada Allah. Kehidupan yang serba mudah, selesa dan sempurna tanpa musibah sering menyebabkan manusia lupa kepada Allah. Penyakit, kehilangan harta benda dan kehidupan yang sukar kerap kali mengembalikan manusia untuk berhubung dengan Allah melalui doa, rendah diri, keinsafan, pergantungan dan harapan. Musibah dapat dijadikan kertas ujian ke atas manusia lain yang pada saat itu belum dilanda musibah. Apabila Allah mentakdirkan musibah ke atas seseorang, di antara manusia ada yang tidak memberi perhatian, dan ada yang segera menghulurkan bantuan.

Allah ada berfirman yang berbunyi: “Dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk turut berperang), tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya; tetapi Allah membenci pemergian mereka lalu dilemahkan-Nya semangat mereka dan dikatakan (kepada mereka), tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu.” [alTaubah 9:46].

Dalam ayat di atas, sebahagian umat Islam memilih untuk ikut keluar dalam ekspedisi jihad di jalan Allah bersama Rasulullah. Secara zahir ini tentu satu pilihan yang baik kerana dapat menguatkan barisan pejuang Islam dan mendekatkan mereka ke arah kemenangan. Akan tetapi pilihan mereka ini hanya sesuai dengan kehendak yang dibenci oleh Allah. Allah membenci pemergian mereka, lalu Allah menyukarkan pemergian mereka ke sana .

Kenapa Allah membenci pilihan mereka? Tentu ada hikmah yang baik kerana Allah mengetahui isi hati mereka dan apakah yang bakal mereka lakukan jika benar-benar keluar dalam ekspedisi jihad tersebut. Allah menerangkan dalam ayat seterusnya:“Kalaulah mereka keluar bersama kamu, tidaklah mereka menambahkan kamu melainkan kerosakan dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan di antara kamu, (dengan tujuan) hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam kalangan kamu; sedangkan di antara kamu ada orang yang suka mendengar hasutan mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orangorang yang zalim” .[at-Taubah 9:47]

Allah mencipta angin, ribut, banjir dan gempa bumi. Ia adalah sesuatu yang dibenci kerana mengakibatkan banyak kerosakan kepada manusia dan haiwan, namun memiliki kebaikan di sebaliknya. Allah mencipta angin ribut agar berlaku pertukaran udara dalam atmosfera bumi supaya manusia dan haiwan dapat bernafas udara segar. Allah mencipta banjir agar berlaku pemendapan zat tanah yang baru supaya tanam-tanaman dapat tumbuh subur. Allah mencipta gempa bumi agar lapisan-lapisan bumi dapat membetulkan kedudukannya demi menjaga kestabilan. Semua ini menghasilkan kebaikan kepada manusia sekalipun pada awalnya ia adalah sesuatu yang dibenci.

Kesimpulannya, yakinilah di sebalik keburukan itu tetap wujud hikmah dan rahsia kebaikan. Sebagai manusia, ilmu kita tidak sekali-kali dapat menjangkaui ilmu Allah. Justeru tentu sahaja kita tidak dapat mengetahui hikmah dan rahsia Allah di sebalik sesuatu kehendak atau taqdir yang ditentukan-Nya. Kewajipan kita ialah beriman bahawa disebalik setiap kehendak Allah terdapat kebaikannya yang cukup luas.

Noriah binti Osman,

Kuliah Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar,Kaherah .

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 400

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *