CIRI-CIRI PEMIMPIN YANG ADIL

Umum mengetahui bahawa, pada kehidupan akhir zaman ini sukar untuk kita temui pemimpin yang adil. Pemimpin yang adil mempunyai kedudukan yang istimewa disisi Allah. Dari Abu Hurairah R.A berkata Rasulullah, “7 golongan yang akan dinaungi oleh Allah s.w.t pada hari tiada naungan melainkan naungan-NYA, Imam yang Adil….” Kebanyakan pemimpin sekarang adalah bersikap zalim dan menindas rakyat. Justeru, kita perlulah mengetahui ciri-ciri pemimpin yang adil untuk kita pilih demi kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Di antara ciri-ciri pemimpin yang adil ialah: 1- Seorang pemimpin yang adil mestilah seorang yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dan menjadikan ulama’ sebagai tempat rujukan. Firman Allah yang bermaksud, “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir.” (Al-Maidah:44)

2- Memiliki akal yang kuat, bermaksud seorang yang bijaksana, cendikiawan, mempunyai ilmu yang luas. Disamping mempunyai pengalaman dan pandangan yang tajam dalam segenap sudut. Hal ini sangat penting tanpa ilmu pincanglah pemerintahan. Firman Allah yang bermaksud, “Akan tetapi orang yang zalim mengikuti hawa nafsu tanpa ilmu pengetahuan.” (Ar-Rum:29)

3- Seterusnya bersikap adil. Maksud adil disini ialah mengikut perintah Allah dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa menzalimi. Sentiasa amanah dalam setiap amal. Apabila sifat ini ditanam dalam jiwa pemimpin maka rasuah tidak akan terjadi. Pemimpin hendaklah jujur dalam pemerintahannya.

4- Berakhlak dan berbudi pekerti mulia. Dia adalah seorang yang mencontohi akhlak Rasullullah dan menjadi contoh kepada orang lain. Jauh dari sifat suka mencaci dan mencela serta menyantuni orang lain secara berhikmah.

5- Selain itu, mempunyai ketetapan hati, ketahanan jiwa dan tidak ada wahn (cintakan dunia dan takut mati). Dengan demikian akan lahir sifat berani dalam mengatakan yang haq (kebenaran). Kebenaran itu datangnya dari Allah s.w.t maka kita jangan mencampur adukkan yang haq dan batil. Pemimpin haruslah berani mengatakan yang haq itu adalah haq dan yang batil itu adalah batil .

6- Menepati janji dan sumpah setia. Akhlak ini akan melahirkan thiqah (percaya) di dalam amal, ketenteraman dan tolong menolong. Sesungguhnya janji itu wajib ditepati. Orang yang mendustai janji merupakan sifat orang munafik. Firman Allah yang bermaksud, “Dan penuhilah janji kerana janji itu pasti diminta dipertanggungjawabnya.” (Al-Isra’:34)

7- Tidak mengungkit apa yang disumbangkan dan memperkatakan kebaikan diri sendiri. Hanya mengharapkan keredhaan Allah tanpa mengharapkan sanjungan dan pujian daripada manusia. Sentiasa berjasa dan memakmurkan rakyatnya.Tidak membebani dan mempersulitkan kehidupan rakyatnya. Sebagai contoh mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyatnya.

8- Bersifat wara’ dan zuhud. Dengan sifat ini dapat menjauh dari syubhah serta meninggalkan segala perkara yang mengandungi dosa kerana takut kemurkaan Allah akan menimpa. Melaksanakan amar makruf dan menegah kemungkaran tanpa mengira kedudukan. Sebagaimana firman Allah, “Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang maaruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Ali Imran:104)

Bagi mengakhiri tinta marilah kita sama-sama memilih pemimpin yang akan memimpin kita ke syurga Allah kerana diakhirat kelak kita akan bersama pemimpin yang kita pilih. Jika pemimpin negara baik maka nescaya rakyatnya akan makmur dan begitu sebaliknya. Pilihan ditangan kita.

Nur Syamimi binti Che Mood.

Kuliah Bahasa Arab.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 440

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *