DOA SENJATA ORANG BERIMAN

Saat mana kita diuji bertali arus, dugaan dan halangan datang menyapa diri kita. Pada ketika itu barulah kita tersentak menyedari kuasa dan keajaiban doa. Pada saat itu kita tidak punya sesiapa untuk meluahkan perasaan, kita tidak punya bahu lain untuk bersandar menyelami duka pahit sebuah kehidupan. Maka ketika itulah kita baru sedar bahawa hanya doa menjadi senjata utama kita. Kepada Allah jualah tempat kita mengadu.

Syeikh Sayyid Tantawi mengumpamakan doa seperti ubat. Kita semua adalah pesakit yang sentiasa memerlukan ubat untuk meneruskan hidup kita. Maka sesiapa yang meninggalkan berdoa adalah seumpama pesakit meninggalkan ubat. Lambat-laun sakit akan bertambah berat, diri kita semakin jauh dengan Tuhan.

Doa adalah sunnah para Nabi terdahulu sejak daripada Bapa Manusia Nabi Adam AS lagi sehinggakan Rasulullah SAW sendiri sentiasa berdoa pagi dan petang kepada Allah Taala. Maka ego apakah yang menyebabkan kita sering lupa dan angkuh untuk berdoa? Doa adalah lambang pengabdian yang mutlak kepada Allah bahkan Allah amat menyukai hambaNya yang berdoa. Semakin kita pinta kepadaNya, semakin sayang dan kasih Allah kepada kita. Bukti kasih sayang Allah tidak semestinya Allah bagi semua yang kita minta di dunia, tetapi Allah pasti bagi yang terbaik buat kita.

Mustajab doa Nabi Musa AS

Nabi Musa AS adalah termasuk dalam kalangan Rasul Ulum Azmi iaitu rasul yang diberikan ujian yang sangat berat berbanding rasul-rasul yang lainnya. Nabi Musa AS pernah meminta agar Allah menerangi hatinya, memudahkan urusannya, membuka ikatan yang tersimpul di lisannya agar kaumnya dapat memahami setiap kalam ucapannya, dan menjadikan seorang pembantu daripada keluarganya. Lalu Allah tunaikan permintaan Nabi Musa AS sepertimana dalam Surah Toha ayat 25-35.
Ini adalah antara contoh doa Nabi Musa yang Allah tunaikan segera. Demikian itu kerana Baginda adalah orang yang sangat dekat dengan Allah.

Adakah doa boleh mengubah Qada` dan Qadar?

Persoalan ini sering bermain difikiran orang yang mana berputus asa dalam hidupnya. “Bukankah Allah sudah menentukan segalanya buat kita? Kita berdoa atau tidak sama sahaja kerana Allah yang menentukan segala sesuatu. Kita minta doa tapi kalau Allah tidak tunaikan maka tidak dapat, begitu juga kalau kita tidak minta apa-apa kemudian Allah sudah tetapkan rezeki itu menjadi milik kita, maka ianya tetap menjadi milik kita jua. Bukankah begitu ustaz?” Soal Hafiz panjang lebar kepada Ustaz Faris.
Maka dengan selambanya Ustaz Faris menjawab, “Perkara ini telah ditanya kepada Imam Ghazali, maka jawab beliau “Doa adalah asbab untuk menolak bala dan menarik rahmat sepertimana perisai menjadi sebab untuk mengelakkan terkena anak panah.” Begitulah perumpamaan doa dalam kehidupan kita.”

Sebagaimana Allah menjadikan air sebagai sebab untuk pokok terus hidup, ubat sebagai sebab untuk sembuh, begitulah jua Allah menjadikan doa sebagai sebab untuk kita memperoleh kebaikan dan menolak kejahatan. Namun begitu, semua ini adalah berada dalam ilmu Allah Taala yang berta`alluk dengan Inkisyaf(Idrak) dan juga Tanzijil Qadim.

Kesimpulannya, jangan pernah berputus asa dalam hidup kita, teruskan berdoa dan sabar dalam menjalani kehidupan sebagai seorang hamba. Sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang dibukakan baginya pintu doa, maka akan dibukakan juga pintu rahmat untuknya.”

Abdullah bin Hussin

Kuliah Bahasa Arab Tahun Dua Universiti Al Azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 419

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *