EGO PEROSAK SILATURAHIM

Ego merupakan antara sifat batiniah yang perlu dijauhi oleh seluruh manusia. Mereka yang tergolong dalam golongan sedemikian sering mempamerkan kesombongan dan keegoannya. Mereka lebih terdorong membesarkan diri dan memandang orang lain dengan kehinaan. Sifat batiniah yang keji ini adalah daripada mereka yang merasa gah dengan kekayaan, kuasa, kecantikan, ilmu dan sebagainya.

Sesungguhnya, Allah sangat murka dengan mereka yang bersifat sedemikian sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Kami memerintahkan kepada malaikat: „Sujudlah kepada Adam.‟ Lalu, mereka sujud kecuali iblis, ia enggan dan membesarkan dirinya. Sesungguhnya, ia daripada golongan yang kafir.” (Surah Al-Baqarah 2: 34).

Iblis adalah makhluk yang pertama menunjukkan sifat keegoannya terhadap Allah s.w.t. Hal ini kerana mereka enggan sujud kepada Adam a.s. sebagai protes untuk menyatakan kehebatannya. Seterusnya, sifat ini terus menjalar kepada makhluk yang bernama manusia. Mereka yang tergolong dalam golongan tersebut amat dimurkai Allah.

Selain itu, orang yang ego kebiasaannya akan mendominasi setiap keadaan. Mereka sukar menerima pendapat dan pandangan orang lain sekalipun pandangan tersebut lebih baik daripadanya bahkan menjatuhkan segala bentuk pandangan yang diberikan. Tambahan lagi, golongan sedemikian amat sukar menerima kesalahan dan kekurangan yang terdapat daripada mereka. Lebih buruk lagi, mereka yang ego ini sangat emosional dan mudah naik angin apabila berlainan pendapat. Apabila dalam kalangan pemimpin pula, mereka mahu diri mereka dihormati dan begitu pula sebaliknya.

Fitrah manusia tidak suka kepada orang yang bersifat sombong dan ego. Hal ini kerana akan lahir penyakit negatif dalam kalangan masyarakat seperti dendam, hasad dengki dan seumpamanya. Oleh itu, akan wujud permusuhan dalam kalangan mereka dan secara automatik akan terputus hubungan sillaturrahim yang terbina. Risikonya, perpaduan akan menjadi lemah kerana tidak ada pautan hati antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w. juga ada mengingatkan tentang bahaya sifat sombong yang maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi daripada sifat sombong.” (Riwayat Muslim).

Hakikatnya, manusia merupakan ciptaan Allah yang sangat lemah dan saling memerlukan antara satu sama lain. Ingatlah, sehebat mana pun kita menggunakan kekuasaan untuk mengecilkan hak orang lain, segala-galanya pinjaman Allah kepada manusia yang bersifat sementara. Kekuatan seseorang adalah apabila melakukan sesuatu dengan berjemaah dan sifat sombong akan menyebabkan berlakunya perpecahan dalam jemaah tersebut. Allah s.w.t berfirman dalam hadis kudsi, maksudnya: “Sombong itu selendang-Ku dan keagungan adalah sarung-Ku. Sesiapa yang merampas salah satu daripadanya, aku lemparkan dia ke neraka Jahanam.” (Riwayat Abu Daud).

Kesimpulannya, adalah tidak wajar untuk kita memiliki sifat keji ini. Iblis dihalau dari syurga kerana egonya, Qarun ditelan bumi kerana sombong dengan kekayaannya manakala Firaun pula ditelan laut merah kerana angkuh dengan kekuasaannya. Oleh itu seharusnya kita perlu sama-sama menjaga hati orang lain demi menjaga sesuatu perhubungan. Marilah kita bermujahadah membina kekuatan dalam menangkis sifat keji ini agar sentiasa dirahmati Allah dan menjadi yang terbaik dalam kalangan makhluk.

Maryam binti Imran,

Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 418

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *