FEQH HARI RAYA

Definisi ‘Ied

Kata “Ied” menurut bahasa Arab menunjukkan sesuatu yang kembali berulang-ulang, baik dari sisi waktu atau tempatnya. Kata ini berasal dari kata “Al ‘Aud” yang berarti kembali dan berulang. Dinamakan “Al ‘Ied” kerana pada hari tersebut Allah memiliki berbagai macam kebaikan yang diberikan kembali untuk hamba-hambaNya, iaitu bolehnya makan dan minum setelah sebulan dilarang darinya, zakat fitrah, penyempurnaan haji, towaf dan sebagainya. Dan terdapat kebahagiaan, kegembiraan, dan semangat baru dengan berulangnya berbagai kebaikan ini.

Perkara Sunat di Hari Raya

1. Mandi sebelum solat Raya. Disunatkan bersuci dengan mandi untuk Hari Raya kerana ia adalah hari berkumpulnya manusia untuk solat. Maka sayugia untuk kita membersihkan badan dan memakai bau-bauan yang harum sebagai tanda kita bergembira dengan kemenangan ini.

2. Makan sebelum melaksanakan solat Raya. Imam al Muhallab menjelaskan bahawa hikmah makan sebelum solat adalah agar tidak ada sangkaan bahawa masih ada kewajipan puasa sehingga dilaksanakan solat Raya.

3. Berhias diri di Hari Raya. Dalam suatu hadis, dijelaskan bahwa Umar RA pernah menawarkan jubah sutra kepada Rasulullah ﷺ agar dipakai untuk berhias dengan baju tersebut di Hari Raya dan untuk menemui utusan. (HR. Bukhori dan Muslim). Ini jelas menunjukkan perkara ini sunat.

Namun jangan lupa berlebihan dalam berhias terutama kepada akhawat kerana tabarruj itu tidak dibolehkan. Jangan semata-mata hendak buat perkara sunat, kita terbuat pula perkara haram. Bersederhanalah dalam kita berhias, jangan melampaui batas syarak.

4. Pergi dan Pulang dengan jalan berbeza. Sunnah ini ramai orang tidak perasan, ini mungkin kerana keghairahan hendak pulang ke rumah hendak makan dan minum dengan sepuasnya. Apatah lagi jika jalan jem, maka jarang sunnah ini dapat dilaksanakan.
Perkara ini disandarkan kepada hadis daripada Jabir RA, beliau berkata, “Rasulullah ﷺ membezakan jalan (saat berangkat dan pulang) saat iedul fitri.” (HR. Al Bukhori).

5. Disunatkan bertakbir saat berjalan menuju tanah lapang atau masjid. Ini kerana takbir adalah syiar kemenangan umat islam, lebih-lebih lagi ia adalah amalan yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ berdasarkan hadis riwayat Ibn Abi Syaibah dengan sanad yang sohih, “Sesungguhnya Nabi apabila berangkat saat Iedul Fitri, beliau bertakbir hingga ke tanah lapang, dan sampai dilaksanakan solat, jika telah selesai sholat, beliau berhenti bertakbir.”

6. Mengucapkan selamat (tahni`ah) setelah solat Raya dengan ucapan, “Taqabbalallahu minnaa wa minka/minkum.” (Semoga Allah menerima amal kami dan amal anda).2 Memulai mengucapkan selamat adalah boleh, namun menjawabnya wajib.3

Hukum kewajipan menunaikan Solat Jumaat jika Hari Raya jatuh hari Jumaat.

Pendapat jumhur ulama –termasuk Imam Syafi’e dalam pendapatnya yang paling sahih—berpendapat wajibnya solat Jumaat bagi orang-orang yang tinggal dalam kawasan yang di dalamnya dilaksanakan solat Jumaat dan gugur dari orang-orang yang tinggal di daerah pedalaman yang syarat-syarat kewajipan solat Jumaat terangkat pada mereka. Kerana mewajibkan mereka untuk menunaikan solat Jumaat setelah solat Ied dapat menyebabkan kesulitan bagi mereka. Dalil jumhur ulama adalah apa yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwatha` bahwa Uthman bin Affan r.a. berkata dalam khutbahnya, “Sesungguhnya pada hari ini telah bertemu dua Ied. Maka orang yang tinggal di daerah gunung jika ingin menunggu pelaksanaan solat Jumaat maka hendaknya dia menunggu, sedangkan orang yang ingin kembali ke rumahnya maka aku telah mengizinkannya.”

Pendapat Saidina Uthman ini tidak ditentang oleh seorang sahabat pun, sehingga dianggap sebagai ijmak sukuti. Berdasarkan penjelasan Uthman inilah jumhur ulama memahami hadis keringanan untuk tidak melaksanakan solat Jumaat bagi orang yang telah melakukan Solat Ied.

Wallahu a`lam.

Abdullah bin Hussin,

Kuliah Bahasa Arab, Universiti al Azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 428

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *