HAKIKAT CINTA

Ada apa dengan cinta ?

Cinta adalah kasih sayang. Cinta merupakan elemen motivasi yang paling kuat dalam hidup manusia. Cinta merupakan satu fitrah kepada manusia di atas muka bumi ini. Orang yang hidup tanpa wujudnya perasaan cinta dalam kehidupan mereka adalah kosong dan siasia. Setiap daripada kita pasti memerlukan cinta di dalam diri masing-masing kerana cinta merupakan satu perasaan luhur anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya. Orang yang bercinta pasti akan merasakan diri mereka penuh dengan warna-warni dan sentiasa berasa bahagia. Maka di sini alangkah ruginya sekiranya dalam diri kita tidak ada langsung perasaan cinta dan kasih sayang. Begitulah juga cintanya Rasulullah kepada kaumnya tidak pernah padam hatta sehingga saat sakaratulmaut. Baginda begitu mengasihi umatnya sehingga umat akhir zaman dengan memohon agar diberikan pelbagai nikmat serta rahmat daripada Allah. Itu merupakan antara bukti Baginda mengasihi umatnya sehingga ke hari ini. Oleh itu, kita selaku umat akhir zaman seharusnya perlu menanamkan rasa cinta kita kepada baginda dengan sentiasa berselawat, mengamalkan sunnahnya serta mengikut segala yang dikehendaki oleh Allah Taala. Selain itu, terdapat lagi kisah-kisah yang boleh diambil berkaitan cinta dalam kalangan sahabat terdahulu di mana cinta mereka kerana Allah Yang Maha Esa dan bukan dengan sebab kebendaan.

Cinta mempunyai skop yang sangat luas iaitu rasa cinta kita kepada Allah Yang Maha Pencipta, cinta kepada Rasul, cinta kepada ibu bapa dan cinta kita kepada saudara Islam yang lain. Akan tetapi, umat Islam hari ini telah hilang cinta dan kuasa cinta itu sendiri. Mereka hanya mengenal cinta yang dicorakkan oleh musuh-musuh Islam iaitu cinta yang dibaluti dengan nafsu yang melesukan. Mereka lebih merelakan diri mereka di awangawangan serta menjadikan bisikan syaitan sebagai panduan cinta mereka. Penyakit ini telah menyerang khususnya golongan anak muda yang meningkat remaja yang kurang asas agama termasuklah juga golongan mereka yang mendalami ilmu agama sehingga membawa diri mereka ke kancah maksiat yang durjana.

Hakikat cinta adalah cinta kerana Allah semata-mata dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Mereka yang betul-betul berpegang dengan prinsip ini mampu mendapatkan cinta yang sebenarnya. Islam telah mengajar umatnya mencintai saudara sesama Islam walaupun berbeza warna kulit dan bangsa. Contohnya, umat Islam yang cintakan saudaranya tidak akan hanya melihat saudaranya di zalimi sebaliknya sama-sama bangkit mematahkan kezaliman. Hal ini kerana akan menunjukkan cinta kita bukan kepada dunia semata-mata akan tetapi di akhirat yang kekal abadi. Selain itu, bagi mewujudkan rasa cinta sesama saudara seislam, kita hendaklah menjaga serta menjalinkan ukhuwah yang sebenar dalam kalangan kita agar ianya di redhai dan di rahmati oleh Allah s.w.t.

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita mendidik hati dan jiwa kita untuk mencintai Islam sepenuh hati kerana hati yang cinta kepada Islam sahaja yang akan hidup subur dan mekar di sisi-Nya. Islam merupakan agama yang syumul dan mengajar kita erti cinta yang sebenar. Dengan adanya rasa cinta kepadanya akan membawa hidup kita ke arah jalan yang benar dan sempurna seterusnya membawa kita ke syurga yanga abadi.

Siti Asiah binti Ramli,

Kuliah Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar, Kaherah

Muat turunĀ PDF Risalah Fajar Jumaat siri 414

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *