IBRAH DARI AHZAB

Sejarah merupakan perkara penting yang perlu diketahui oleh umat Islam. Kita sebagai manusia sememangnya lemah kerana selalu melakukan kesilapan. Namun, kita sepatutnya cuba untuk tidak membiarkan diri kita terjatuh buat kali yang kedua. Sejarah mengisahkan tentang perkara yang sudah berlaku. Oleh itu, ia dapat memberikan kita satu pengajaran daripada kisah-kisah yang telah berlaku.
Umat Islam sepatutnya lebih mementingkan sejarah berbanding umat yang lain. Hal ini kerana, di dalam Islam kita diajar untuk sentiasa muhasabah diri dengan apa yang telah berlaku dalam kehidupan. Segala apa yang berlaku hendaklah diambil sebagai pengajaran. Jadi, peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di dalam sejarah tamadun Islam perlu dihayati oleh setiap muslim.
Perang Khandak atau lebih dikenali dengan perang Ahzab adalah salah satu peperangan yang banyak memberi pengajaran buat umat Islam. Peperangan ini berlaku pada bulan Syawal tahun kelima hijrah. Di dalam coretan ini, kita tidak akan membincangkan berkaitan peperangan tersebut dari awal hingga akhir namun lebih kepada untuk mengetahui bagaimana sifat-sifat musuh Islam ketika menghadapi peperangan tersebut.

SIFAT-SIFAT MUSUH ISLAM

1. Mencetuskan permusuhan

Siapakah yang mencetuskan peperangan Ahzab? Mereka tidak lain tidak bukan ialah golongan Yahudi. Mereka sejak zaman berzaman cuba menghancurkan umat Islam maka tidak hairanlah mereka juga yang menjadi antagonis umat Islam sehingga kini. Pada ketika mereka berjumpa dengan musuh-musuh Islam di luar kota Madinah bagi tujuan mengajak untuk bersatu melawan Islam . Mereka sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan kepercayaan musuh Islam. Hal ini dibuktikan dengan sebuah riwayat yang menyebut bahawasanya orang Quraisy berkata kepada orang Yahudi: ” Kamu ahli kitab dan kamu lebih dekat dengan Muhammad daripada kami jadi kami tidak aman dengan tipu daya darimu, sujudlah kepada tuhan kami agar kami percaya kepada kamu lalu golongan Yahudi tersebut pun sujud”. Lihatlah mereka sanggup membelakangkan ajaran kitab mereka demi untuk melihat kehancuran Islam! Selain golongan Quraisy, Yahudi juga meminta bantuan kabilah-kabilah arab yang lain terutamanya Bani Ghatfan.

2. Tidak beradab dengan Rasulullah

Ketika kaum muslimin bersungguh-sungguh menggali parit bagi menghadapi serangan musuh, golongan munafik pula secara sembunyi-sembunyi meninggalkan tempat penggalian parit tanpa meminta izin daripada Rasulullah. Sedangkan para-para sahabat baginda pula apabila ada urusan yang perlu diselesaikan, mereka meminta izin daripada baginda sebelum beredar daripada tempat penggalian.

3. Tidak percaya dengan apa yang dijanjikan Rasulullah

Golongan munafik tidak mempercayai apa yang dijanjikan terhadap umat Islam malah mereka mendustakannya. Bukan itu sahaja mereka juga turut melemahkan kekuatan spiritual umat Islam ketika dalam peperangan. Dan ingatlah ketika orang munafik dan orang yang hatinya berpenyakit berkata, “Yang dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami hanya tipu daya belaka. (Al-Ahzab : 12)

4. Takut bertindak tapi petah berkata-kata

Allah Taala menceritakan golongan munafik apabila berada di medan peperangan mereka berada dalam keadaan takut seolah-olah berjumpa dengan kematian namun apabila berakhir peperangan merekalah yang mendabik dada seolah-seolah kemenangan umat Islam adalah disebabkan daripada jasa mereka.

Mereka kikir terhadapmu. Apabila datang ketakutan (bahaya), kamu lihat mereka memandang kepadamu dengan mata yang terbalik-balik seperti orang yang pengsan kerana akan mati, dan apabila ketakutan itu hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka kikir untuk berbuat kebaikan. Mereka itu tidak beriman, maka Allah menghapus amalnya. Dan yang demikian itu mudah bagi Allah. (Al-Ahzab : 19)

Inilah antara sifat-sifat musuh Islam ketika menghadapi peperangan Khandak. Kita sebagai umat Islam sepatutnya cuba menjauhi sifat-sifat tersebut agar terhindar daripada kemurkaan Allah. Dari sudut yang lain, para sahabat yang benar-benar beriman kepada Allah tidak takut apabila menghadapi bala tentera musuh yang berlipat kali ganda bilangannya. Malah, iman mereka terus bertambah dan mereka yakin dengan janji Allah Taala. Allah memuji sifat orang beriman yang berdiri teguh ketika diuji.

Dan ketika orang mukmin melihat golongan-golongan itu, mereka berkata “Inilah yang dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kita”. Dan benarlah Allah dan RasulNya. Dan yang demikian itu menambah keimanan dan penyerahan mereka. (Al-Ahzab : 22)

Akhir sekali, moga-moga dengan kita mengetahui sifat-sifat musuh Allah di dalam peperangan ini dapat menjauhkan kita daripada bersifat dengan sifat-sifat mereka. Hendaklah kita mencontohi sifat mereka yang beriman. Mereka sentiasa teguh dalam menghadapi dugaan sehingga Allah Taala memberikan pertolongan kepada mereka.

Khairul Faris bin Abdul Aziz,

Kuliah Bahasa Arab, Universiti al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 451

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *