IMTIYAZ DIBALIK SINAR MENTARI IMTIHANMU, IMTIHANKU, REDHA ALLAH YANG SATU

Taqwim masihi menjengah angka lima. Masa sudah tidak dapat diputarkan lagi. Igauan mimpi, peneman tidur setelah lelah menghadam ilmu, kini membenarkan kemunculannya. Kitabkitab, nota-nota bertimbun di atas meja. Namun, kebiasaan tempat menelaah serta muzakarah efektif para siswazah iaitu di atas tilam empuk yang beralaskan bantal sebagai meja. Inilah fenomena yang berlaku, apabila imtihan berkunjung tiba.

Sebelum kapal di perlembahan Nil memulakan pelayaran, ucapan tahniah diucapkan kepada diri masing-masing kerana memanfaatkan masa yang ada dengan menumpukan sepenuh perhatian bagi mengulangkaji pelajaran. Sesungguhnya, usaha dan ketekunan yang jitu menjadi bekalan bagi membuka langkahan ke medan pertempuran. Hamasah atau semangat untuk berdaya usaha demi mencapai marhalah imtiyaz, menjadi dambaan semua.

Lantaran itu, tiba sahaja fatrah imtihan, dalam pada diri diulit oleh ilmu, sedarkah kita sedikit sebanyak perhambaan diri sebagai makhluk kepada Allah terjejas. Ayuhlah kita merenung sejenak, mungkin sebelum imtihan kedua kaki dihayun laju menuruni anak tangga sebaik sahaja mendengar seruan azan dari Ilahi atau jari-jemari pantas mencapai Al-Quran untuk ditadabbur seusai imam membaca doa. Persoalannya, adakah ibadah ini sesempurna dulu atau sekadar sandaran kepada ketenangan. Tepuk dada, tanyalah hati yang bertatahkan iman. Bukanlah untuk kita mengurangkan atau menambahkan amalan ibadah kita hanya pada musim peperiksaan ini sahaja bahkan istiqamah dalam melaksanakannya.

Amalan membaca Al-Quran, berzikir, berdoa, solat-solat sunat bukanlah untuk kita kurangkan di musim peperiksaan sebagai alasan tidak mempunyai masa. Padahal segala ilmu yang kita cari ini, hanyalah milik Allah. Kepada siapa lagi kita meminta ilmu ini jika bukan kepada Allah. Dinukilkan dalam hadis Rasulullah SAW, mafhumnya : Siapa yang inginkan dunia maka dengan ilmu, siapa yang inginkan akhirat maka dengan ilmu dan siapa yang inginkan dunia serta akhirat juga dengan ilmu. Justeru, sentiasalah memperbaharui atau mentajdidkan niat kita bagi memperolehi keberkatan ilmu tersebut. Peliharalah hubungan dengan Allah, pencipta kita.

Di ambang imtihan, hati dan jiwa menjadi “nervous”, takut dan resah. Siapakah yang layak dijadikan tempat mengadu bagi memohon ketenangan jiwa ? Ahli keluarga ? Sahabat handai ? Pasangan ? atau Pegawai ?. Semuanya boleh. Tetapi, jika setiap hari kita mengadu hal yang sama, tentu mereka jemu. Tetapi Allah tidak pernah jemu mendengar segala rintihan dan bisikan jiwa semua hamba-Nya. Nyatakan segala yang kita inginkan. Pastinya, kita mengharapkan agar dipermudahkan hafalan dan dipermudahkan segala urusan, bermulanya imtihan sehingga berakhirnya imtihan. Prof Hamka pernah berkata : “ Sekiranya semua pintu di bumi telah tertutup, pintu di langit tetap terbuka untuk kita.” Maknanya, sekiranya tiada siapa lagi yang sudi mendengar rintihan hati kita, ingatlah Allah sudi mendengarnya.

Walau bagaimanapun, ramai terlupa akan satu hal yang tidak dapat dipisahkan antara tali pengikat hubungan dengan Allah dan sudah tentunya tali pengikat hubungan dengan sesama manusia. Kefokusan dan penghayatan yang mendalam terhadap imtihan menyebabkan kita terlupa tanggungjawab terhadap orang sekeliling. Apabila berpijak di bumi yang nyata, sekarang kita berjauhan beribu batu dengan ibu dan ayah. Sesibuk manapun kita mengejar ilmu jangan kita lupa bahawa ada insan yang sedang menunggu di hujung talian. Pada saat ini, pintalah restu dan doa dari mereka agar kita mendapat kejayaan di dunia bahkan akhirat yang kekal abadi. Ingatlah, redha Allah terletak kepada redha kedua ibu bapa.

Situasi sekarang ialah kita tinggal serumah bersama teman kita, adapun sebilik bersama sahabat kita. Adakah kita telah merealisasikan tanggungjawab sebagai seorang saudara muslim kepada saudara muslim yang lain? Janganlah dek kerana asyik bersama ilmu tanpa sempat bertegur sapa, mahupun mengukir secangkir senyuman. Hidup ini saling berhubungan antara satu sama lain kerana kita saling melengkapkan bukan melingkupkan. Para ulama’ juga ada menyebut : الدين هيد ه المعدملات ه ” yang bermaksud : Agama itu muamalah. Allah SWT berfirman, mafhumnya : “Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia…(QS Ali Imran [3]:112)

Peperiksaan bukan hanya medan menguji ketajaman fikiran dan tumpuan minda. Namun, peperiksaan ialah iman dan keyakinan kita kepada Allah. Seorang hamba yang beriman, apabila sudah berusaha sebaik mungkin dia tidak akan merasa gundah-gulana untuk menghadapi imtihan kerana dia sudah menyempurnakan amanahnya sebagai seorang pelajar dengan belajar bersungguh-sungguh dan menyerahkan urusan natijah kepada Allah. Tidak akan pernah wujud dalam kamus riwayat hidup seorang muslim kalimah putus asa. Garap dan manfaatkanlah peluang yang dikurniakan Allah dengan sebaiknya.

Tuntasnya, sebagai manusia yakni hamba, kita hanya perlu berusaha yang terbaik. Natijah itu adalah urusan Allah. Apabila kita sibuk memikirkan perihal natijah, seolah-olah kita menyibuk urusan Allah. Tawakkal dan berdoa kepada Allah dengan meletakkan seluruh pengharapan hanya kepada Allah yang pasti akan membantu hamba-hambanya.

Firman Allah SWT yanh bermaksud “Apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”. (QS Ali Imran :159)

Tangan sudah menunjukkan tanda untuk berhenti menaip, sebelum itu, marilah kita selusuri apakah maksud tersirat disebalik perkataan

“EXAM”.
“EX” – Exercises, ayuh perbanyakkan ulangkaji.
“A” – Allah, jangan pernah kurangkan ibadah terhadap Allah malah bangkit untuk mengupgradekan lagi amal ibadah kita.
“M” – Manusia, marilah pereratkan hubungan ukhuwwah sesama muslim tidak kira dimasa senggang atau sibuk.

Nur Qurrataa’ina binti Muhd Ruslan

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 420

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *