Istimewanya Wanita di sisi Islam

Tanggal 8 Mac merupakan Hari Wanita sedunia bagi mengiktiraf hak dan sumbangan wanita dalam pembangunan ummah. Sebelum kedatangan Islam, kaum wanita dipandang rendah, dizalimi dan ditindas dengan sewenang-wenangnya serta dinafikan hak-hak mereka. Setelah itu, cahaya Islam terbit menerangi kegelapan bagi wanita. Risalah agung yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w memerangi segala bentuk kezaliman dan menjamin hak manusia tanpa mengecualikan hak wanita. Istimewanya wanita disisi Islam, sehinggakan Nabi Muhammad s.a.w selalu berpesan agar berbuat baik terhadap wanita. Sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud “Aku memerintahkan kalian agar berbuat baik terhadap wanita”{HR MUSLIM}

Islam menjunjung tinggi martabat wanita yang taat kepada Allah dan RasulNya. Sepanjang zaman kita dapat lihat srikandi-srikandi Islam yang begitu teguh mempertahankan kehormatan diri serta sanggup berjuang mempertahankan Islam semata-mata kerana Allah s.w.t. Saidatina Khadijah isteri Rasullullah sebagai contoh srikandi yang berperanan besar dalam penyebaran agama Islam. Beliau bukan sahaja sanggup menginfakkan segala hartanya di jalan Islam malahan sentiasa berada di samping Rasullullah membela dan menenangkan Rasullullah di saat baginda dipulau dan diancam oleh kaum kafir. Ini membuktikan besarnya pengorbanan wanita dalam penyebaran dakwah Islam.

Sebagaimana lelaki, hak wanita juga dijamin oleh Allah s.w.t. Dan di antara kemuliaan wanita dalam Islam adalah mereka memiliki hak mendapat warisan, hak ini telah ditetapkan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran. Sebaliknya, ia berbeza dengan tradisi jahiliyyah di mana pada zaman itu harta pusaka hanya diwariskan kepada kaum lelaki. Selain itu, Al-Quran juga memberikan bukti yang nyata bahawa lelaki dan wanita adalah sama di sisi Allah dalam menunaikan kewajipan dan mendapat pahala. Firman Allah Taala yang bermaksud “Barangsiapa yang mengerjakan amal kebajikan baik lelaki mahupun wanita sedang dia orang yang beriman, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka tidak dizalimi sedikit pun.”{surah An-Nisa’ : 124}

Bukan itu sahaja, seorang wanita itu umpama sebutir mutiara yang dijaga rapi hingga tidak ada yang boleh menyentuhnya. Bagai mutiara yang mahal harganya, Islam menempatkan mereka sebagai makhluk yang mulia yang harus dijaga. Oleh itu, Allah telah mengatur dengan aturan yang khusus bagi wanita iaitu menutup seluruh tubuhnya supaya terjaga kemuliaan dan kehormatannya. Syariat ini menunjukkan tanda kasih sayang Allah kepada wanita agar kaum hawa terhindar dari fitnah. Allah telah berfirman dalam surah Al Ahzab ayat 59 yang bermaksud “Wahai Nabi! suruhlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya, cara yang demikian itu agar mereka mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun,lagi Maha Mengasihani”

Sebenarnya wanita memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ummah. Mereka merupakan madrasah awal dalam perkembangan ummah. Di sebalik kehebatan para pejuang Islam dan alim ulamak adanya seorang wanita bergelar ibu yang membimbing dan memberi semangat kepada mereka. Tiada kemuliaan terbesar yang diberikan Allah bagi wanita melainkan peranannya menjadi seorang ibu. Bahkan Rasullullah s.a.w pernah bersabda ketika ditanya oleh seorang lelaki “Wahai Rasullullah, siapakah yang paling berhak untuk aku perlakukan dengan baik? Baginda menjawab “ibumu” lelaki itu kembali bertanya “kemudian siapa?” Baginda menjawab “ibumu” lelaki itu bertanya lagi “kemudian siapa?” Baginda menjawab “ibumu” lelaki itu bertanya lagi “kemudian siapa?” jawab baginda s.a.w “kemudian ayahmu”

Daripada penerangan di atas, jelaslah bahawa wanita merupakan tonggak asas kepada masyarakat dan Negara. Islam juga telah mengangkat tinggi darjat wanita dan mengiktiraf peranan wanita dalam penyebaran Islam. Oleh itu, wanita perlu kekal menjadi yang terbaik di sisi Allah s.w.t. Dengan itu, para lelaki di sisi wanita juga beroleh manfaat dan mendapat keredhaan Allah s.w.t. “Behind a succesfull man,there is a wise woman”.

Nursyamimi binti Che Mood,

Kuliah Bahasa Arab, Al-Azhar Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 437

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *