JAUHI SIFAT EGO!!!

Majoriti manusia pada hari ini memiliki sifat ego yang sukar untuk dipadam dalam kehidupan seharian. Sifat ego adalah sebahagian daripada sifat syaitan. Sebagaimana Allah memerintahkan malaikat sujud kepada Nabi Adam tanda penghormatan, maka bersujudlah mereka ketika itu kecuali iblis. Disebabkan sikap ego iblis, dia telah mengungkit asal usul kejadiannya yang dijadikan daripada api manakala Adam dijadikan daripada tanah. Firman Allah s.w.t bermaksud:-“ Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk sujud memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir ”. (Al-Baqarah:34)

Dan kadang-kadang sikap ego boleh membawa kepada sifat benci sebagaimana iblis membenci Nabi Adam sehingga Nabi Adam dikeluarkan dari syurga oleh Allah kerana memakan buah yang dilarang Allah. Firman Allah s.w.t bermaksud:- “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim. Setelah itu, maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati) ”. (AlBaqarah:35-36)

Selepas Allah merekodkan sikap ego yang ada pada iblis, Allah juga merekodkan dalam al-quran sikap ego yang ada pada Qarun yang mengenal erti kenikmatan ,kesenangan dan kekayaan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t namun dia lupa akan pemilik hakiki harta kekayaan tersebut.
Firman Allah yang bermaksud :- “ Sesungguhnya Qarun adalah dari kaum Nabi Musa, kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu”. (AlQasas: 76).

Apabila sikap bangga dan ego menguasai Qarun, akhirnya dia telah mengaku hasil kekayaan yang diperolehi bukan dari Allah tetapi datangnya dari ilmu dan kepandaiannya sendiri tiada perantaraan murabbi langsung. Dan Qarun juga enggan menyedekahkan atau mengeluarkan zakat kepada kaumnya walaupun diperintah oleh Allah dan disuruh bapa saudaranya sendiri iaitu Nabi Musa. Akhirnya Qarun dan harta kekayaannya ditenggelamkan dan dibenamkan ke dalam bumi. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:-“Maka kami tenggelamkan Qarun bersama rumah dan hartanya ke dalam bumi”(Al-Qasas: 81)

Pengajaran yang kita peroleh daripada kisah tersebut bahawa sikap angkuh, bongkak dan ego boleh memakan diri kita sendiri. Apabila kita merasa kita yang paling hebat dalam dunia ini, maka segeralah beristighfar kepada Allah sang pencipta kerana kita sedang ditipu oleh sifat ego yang telah menguasai diri. Ingatlah sesungguhnya segala kesenangan, kenikmatan dan kekayaan di dunia ini hanya bersifat sementara. Justeru, kita sebagai hamba Allah hendaklah sentiasa mensyukuri akan nikmat yang dianugerahkan agar tidak termasuk dalam golongan yang zalim.

Muhamad Naqib b. Mahyiddin,

Kuliah Usuluddin, Universiti al-azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 401

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *