JIHAD

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam agama Islam secara keseluruhannya (dengan mematuhi segala hukum hakamnya) dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang nyata bagi kamu. ” (Al-Baqarah : 208)

Jika kita meneliti sebuah kitab yang telah dikarang oleh Fadhilah Al- Allamah Prof. Dr. Yusuf Al- Qaradhawi, karyanya Fiqh Jihad Dalam Islam. Di dalam kitab tersebut terdapat suatu sudut perbincangan yang penting iaitu berkenaan dengan jihad menentang kezaliman dan kerosakan dalam negara, adakah jihad ini didahului ke atas jihad menentang kekufuran dan kezaliman di luar negara ataupun tidak. Fadhilah Syeikh Al- Qaradhawi telah menjelaskan bahawa jihad menentang golongan zalim, ahli bidaah dan golongan maksiat mempunyai tiga peringkat:

1. Berjihad dengan tangan (kuasa) sekiranya mampu.

2. Sekiranya tidak mampu, maka jihad berpindah kepada lisan (teguran dan penjelasan).

3. Sekiranya tidak mampu juga, maka jihad berpindah kepada hati (mengingkari).

Sesiapa yang mati dalam keadaan dia tidak pernah berjihad dan tidak ada niat untuk berjihad, maka dia mati dalam salah satu cabang nifak.

Dalam perbincangan jihad menentang kejahatan dan kerosakan di dalam negara Syeikh Al- Qaradhawi berkata, ” Antara peringkat jihad yang dibawa oleh Islam ialah peringkat jihad melawan kejahatan dan kezaliman serta kerosakan di dalam negara. Jihad ini sangat penting untuk menjaga masyarakat daripada runtuh, rosak dan berpecah belah kerana masyarakat Islam mempunyai asas, syarat dan ciri-ciri khusus yang membezakan dan membentuknya. Apabila asas dan syarat ini disiasiakan dan dilupakan serta diperangi maka masyarakat Islam itu tidak akan kekal bertahan. ”

Lapangan jihad menentang kezaliman dan golongan zalim bermaksud mencegah kezaliman mereka dan tidak cenderung kepada mereka. Di sini, Islam menuntut dua perkara asas daripada seorang Muslim iaitu:

1. Tidak berbuat kezaliman

2. Tidak menjadi penolong (penyokong) kepada orang zalim.

Sesungguhnya para penolong golongan zalim berada bersamanya di dalam neraka Jahanam. Oleh sebab itu, Al-Quran mengeji tentera-tentera golongan zalim sepertimana turut mengeji golongan zalim itu sendiri sepertimana yang terdapat dalam surah Al-Qasas, ayat 8. Allah mengibaratkan kesemua golongan yang melampaui batas dan tentera mereka termasuk dalam golongan yang zalim. Maka, azab Allah turun lalu meliputi dan menghukum mereka semua disebabkan perbuatan mereka sendiri. Samada kezaliman daripada golongan kaya terhadap golongan miskin, pemilik aset terhadap penyewa, majikan terhadap pekerja, komander terhadap tentera, ketua terhadap orang bawahan, lelaki terhadap wanita,
golongan tua terhadap kanak-kanak atau pemerintah terhadap rakyat.

Justeru itu, kesemuanya adalah haram dan mungkar yang wajib diperangi dan ditentang berdasarkan kemampuan seorang manusia dengan tangan, lisan dan hati sepertimana yang disebutkan dalam Sahih Muslim, daripada Ibnu Mas’ud, mafhumnya:

Tidak ada Nabi yang diutuskan oleh Allah kepada umatku sebelumku melainkan setiap Nabi mempunyai pengikut dan penyokong. Mereka mengambil sunnah Nabi mereka dan mengikut arahannya. Kemudian datang generasi selepas mereka, mereka berkata apa yang mereka tidak lakukan dan melakukan apa yang tidak diperintahkan. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan tangan, maka mereka ialah seorang Mukmin.

Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan lisan, maka dia ialah seorang Mukmin. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan hati, maka dia ialah seorang Mukmin. Selepas tiga peringkat ini, maka tidak ada lagi iman walaupun sebesar biji sawi. ” (Riwayat Muslim)

Oleh itu, Rasulullah SAW mewajibkan ke atas setiap Muslim untuk berjihad menentang golongan zalim dan melampaui batas dengan kadar yang termampu samada tangan, lisan, atau hati yang merupakan peringkat terakhir. Sesiapa yang meninggalkan kesemuanya, maka secebis keimanan pun tidak berbaki dalam dirinya walau sedikit yang menyamai biji sawi, sebagai suatu contoh yang didatangkan oleh Baginda SAW bagi menunjukkan nilai yang sangat kecil. Maka apa yang dituntut pada peringkat ini (jihad dengan hati) ialah membenci kezaliman dan kemungkaran dengan hati, membenci golongan zalim dan golongan yang melakukan kemungkaran. Jihad sebegini tidak boleh dihalang oleh seorang pun kerana hati seorang Mukmin tidak dikuasai oleh sesiapapun melainkan Tuhan yang Maha Mencipta.

Konklusinya, Syeikh Al- Qaradhawi berkata, ” Alangkah baiknya jika kita perhatikan suatu perkara bagi tujuan renungan dan perbandingan : Mengapa Rasulullah SAW mengagungkan jihad menentang kezaliman ini, menganggapnya sebaik-baik jihad dan menganggap orang yang terbunuh kerananya berada berada dalam kedudukan yang berhampiran dengan penghulu syuhada?

Jawapannya: Sesungguhnya apabila bahaya kerosakan dalaman itu besar, maka itu akan membentuk suatu bahaya yang berat dan keburukan yang amat besar ke atas umat. Oleh itu, Islam menganggap jihad menentang kezaliman dan kerosakan di dalam negara lebih diutamakan daripada jihad menentang kekufuran di luar negara kerana sesungguhnya kerosakan di dalam negara ialah jalan pembuka kepada kezaliman di luar sana.

Muhamad Shafiq Al-Hafiz bin Mohamad,

Kuliah Usuluddin

Muat turunĀ PDF Risalah Fajar Jumaat siri 442

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *