JOM MUHASABAH

Menurut Ibnu Qaiyim al-Jauziah, “Muhasabah ialah membezakan antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan apa yang ditanggungnya.Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan kembali”.

Muhasabah amat dituntut oleh Islam tetapi kita sering lupa untuk melakukannya dan mengakibatkan berlaku kesalahan yang sama.

Lazimnya, muhasabah dilakukan selepas berlaku sesuatu peristiwa dan tujuannya adalah, kita boleh mengorak langkah sama ada kita dapat membaiki kesilapan yang telah berlaku supaya tidak berulang untuk kali kedua, kerana orang muslim yang hebat setiap hari bermuhasabah untuk mempertingkat kualiti diri dari semasa ke semasa.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Orang muslim itu tidak akan dipatuk ular pada lubang yang sama untuk kali kedua”.

Selain itu, dengan bermuhasabah diri kita dapat buat satu perancangan yang baik dimana kita boleh susun atur strategi untuk membaiki dan mengenalpasti kelemahan tersebut demi mencapai matlamat yang ditetapkan.

Muhasabah diri perlu untuk kita mengukur semula setiap perbuatan kita sama ada kita akan mendapat hasil yang positif atau pun negatif dan selalunya kita menyalahkan orang lain atau keadaan sekeliling apabila berlaku sesuatu musibah, pada dasarnya musibah yang berlaku berpunca daripada diri kita sendiri.

Muhasabah diri juga perlu dalam menetapkan perjalanan di jalan Allah s.w.t supaya diri kita lebih berhati-hati dalam tempoh perjalanan hidup di dunia ini yang cukup singkat, dan sentiasa merenung segala perbuatan baik serta buruk untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Kesan muhasabah diri banyak memberikan kebaikan kepada kita, antaranya adalah dapat mengelakkan diri daripada mengulangi kesalahan yang lepas dan seterusnya mempertingkat amalan soleh.

Di samping itu, kita dapat mengenali hak Allah s.w.t ke atas diri kita dan dapat mempersiapkan diri sebelum bertemu dengan Allah di akhirat kelak.

Sayidina Umar al-Khattab r.a. berkata, “Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sebelum ia ditimbang untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini”.

Sempena dengan tahun baru Islam, marilah sama-sama kita bermuhasabah untuk memperbaiki dan mempertingkat prestasi diri kita dan lebih-lebih lagi dalam mengerjakan amal ibadah kepada Allah.

Semoga kita mendapat kehidupan yang berkualiti dan menjadi hamba yang disayangi oleh Allah serta sentiasa senang dan tenang berbakti kepada-Nya.

Suhailah bt. Mahussin,
Kuliah Usuluddin, Universiti Al-azhar,Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 391

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *