JOM PILIH: KAHWIN ATAU PUASA???

Salam fajar jumaat buat mahasiswa-mahasiswi alazhar…sedar tak sedar, dah masuk minggu ketiga sesi perkuliahan bagi fasa kedua…alangkah pantasnya masa berlari meninggalkan kita. Walau apapun, luangkanlah beberapa minit untuk menghayati dan seterusnya mengambil iktibar daripada sekeping warkah coretan buat mahasiswa-mahasiswi sekalian.

Saudara-saudari, sudah menjadi fitrah insan mempunyai naluri berkasih sayang antara satu sama lain. Secara mudahnya, lelaki diciptakan untuk wanita dan wanita diciptakan untuk lelaki. Tetapi, sejauh manakah fitrah yang dianugerahkan oleh sang pencipta kepada makhluknya diterjemahkan selari dengan kehendak syariat. Lihat saja dewasa ini pelbagai jenis kemungkaran berleluasa di sana sini. Halal dan haram bukan lagi menjadi ukuran dalam pergaulan antara pemuda dan pemudi. Yang penting bagi mereka adalah kepuasan nafsu syahwat yang bergelora dalam jiwa muda. Tidak terlepas juga golongan yang berpendidikan agama masih bergelumang dalam lembah maksiat. Apakah ilmu yang ditadah selama ini sekadar ilmu semata-mata tanpa praktik dan amal? Wahai azhari-azhariah, jikalau bukan kita yang menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w maka kepada siapalah yang diharapkan penyambung risalah rabbani.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang baginya (daripada syahwat).” – (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Daud, Ibn Majah). Al-baah yang diertikan dalam hadis ini adalah bermaksud jimak seperti, iaitu sesiapa yang mampu melakukan jimak dengan menyediakan keperluan perkahwinan maka hendaklah dia berkahwin. Justeru, sesiapa yang tidak mampu berjimak kerana dia tidak mampu menyediakan keperluan perkahwinan maka hendaklah dia berpuasa. Pendapat ini sesuai dengan ucapan yang ditujukan kepada pemuda yang mempunyai perasaan syahwat yang
kuat terhadap perempuan. Maka munasabah perkara jimak ini dipertegaskan. Pendapat kedua: Al-baah bermaksud keperluan membina rumah tangga, iaitu sesiapa yang mampu menyediakannya maka hendaklah dia berkahwin dan sesiapa yang tidak mampu hendaklah dia berpuasa untuk menahan syahwatnya.

Wahai pemuda-pemudi, Rasulullah s.a.w telah menggariskan panduan bagi mengekang gelora syahwat iaitu dengan berpuasa. Tidak salah untuk mendirikan rumah tangga di alam perkuliahan sekiranya anda mempunyai kemampuan sebagaimana yang dimaksudkan dalam hadis di atas. Bagi mereka yang masih belum berkemampuan, maka lazimilah puasa kerana hikmah melaluinya adalah bukan sahaja mampu mengekang nafsu bahkan boleh menjaga kesihatan tubuh anda. Seterusnya adalah mampu memberi tumpuan dan fokus dalam menimba ilmu pengetahuan di bumi mesir ini.

Justeru, dengan adanya perkahwinan yang halal maka wujud tempat untuk mencurahkan syahwat dengan cara yang baik dan halal. Tekanan perasaan keinginan dan nafsu yang terkumpul dalam diri dapat diluahkan dengan cara yang diredai Allah. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Apabila seseorang kamu terpaut (rasa kagum) dengan seseorang perempuan lalu memberi kesan dalam hatinya maka hendaklah dia mendapatkan isteri dan menyetubuhinya kerana itu boleh menghilangkan apa yang ada dalam dirinya” – (Riwayat Muslim).

Kesimpulannya adalah apabila seseorang itu mempunyai kemampuan jimak dan keperluan membina rumah tangga maka Rasulullah s.a.w memerintahkan agar dia segera berkahwin.

Adakah anda termasuk dalam kategori yang benar -benar sudah layak mendirikan rumah tangga? Tepuk dada, tanya iman…

Ahmad Syauqi b. Mat Yaacob,
Kuliah Usuluddin, Universiti Al-azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 395

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *